Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Pengerusi ASEAN: Peluang Emas untuk Memacu Ekonomi Negara
Diterbitkan:  Feb 14, 2025 12:27 PM
Dikemaskini: 4:27 AM

Kepengerusian ASEAN tahun ini membuka peluang emas untuk Malaysia menyerlah sebagai peneraju rantau ini. Ia bukan sekadar mengukuhkan peranan negara di pentas serantau, malah merintis laluan baharu untuk perdagangan, pelaburan, dan kerjasama strategik bersama negara jiran.

Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN kali kelima bermula 1 Jan dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan. Sebelum ini Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015 — setiap satu mencatatkan detik penting dalam sejarah kerjasama serantau.

Tahun 2025 pula menandakan ulang tahun ke-10 Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), simbol kejayaan integrasi ekonomi serantau. Sepanjang tempoh ini, AEC telah memperkukuh hubungan pelaburan, meningkatkan mobiliti tenaga kerja, dan mengukuhkan jaringan ekonomi di kalangan negara anggota.

Blok ekonomi dan dasar ASEAN, yang terdiri daripada 10 negara anggota Asia Tenggara, muncul sebagai ekonomi kelima terbesar di dunia, dengan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM3.8 trilion pada 2023, dijangka berkembang antara 4.5% hingga 5.5% dari tahun 2025 hingga 2030, meletakkannya di landasan untuk menjadi blok ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang tahun 2030.

Memperkukuh Hubungan Dua Hala dan Kerjasama ASEAN

Anwar (kanan) mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba (kiri) di Sidang Kemuncak APEC 2024

“Kebelakangan ini, kita telah menyaksikan lonjakan pelaburan hasil daripada usaha Malaysia untuk mengukuhkan hubungan dua hala dengan pemain utama global seperti Jerman, New Zealand, Singapura, China, Rusia, dan Jepun. Kerjasama ini bukan sahaja mengukuhkan prospek ekonomi Malaysia tetapi juga memposisikan negara ini sebagai rakan strategik dan boleh dipercayai di pentas global,” kata Dorris Liew, pakar ekonomi dari Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS).

“Langkah seterusnya bagi Malaysia adalah terus membina hubungan perdagangan yang kukuh dan kerjasama institusi pelbagai hala. Inisiatif utama seperti memajukan perjanjian perdagangan ASEAN-GCC dan mengukukan hubungan ASEAN-EU akan menjadi penentu kepada kepimpinan Malaysia dalam ASEAN,” ulasnya.

Dalam konteks ASEAN, Malaysia mempunyai kedudukan unik untuk memimpin usaha meningkatkan rantaian bekalan serantau, menyelaraskan sistem perdagangan, dan merundingkan peningkatan pelaburan. Ini termasuk usaha pengoptimuman rangkaian kereta api dan udara yang terintegrasi, seperti Rangkaian Kereta Api Pan-Asia. Malah, Malaysia juga akan memainkan peranan penting dalam merealisasikan Grid Kuasa ASEAN dan memperkenalkan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA), satu langkah penting yang diharapkan dapat merangsang perubahan besar apabila ASEAN menegaskan dirinya sebagai penyelesaian ideal dalam rantaian bekalan global.

Membuka Jalan Bagi Integrasi Digital Serantau

“Dengan dasar seperti Perjanjian Kerangka Ekonomi Digital (DEFA), Pelan Induk Digital ASEAN 2026-2030, Kerangka Peralihan Tenaga Negara dan sistem pembayaran digital rentas negara ASEAN, akan menjadi kunci dalam membentuk rantau ASEAN yang terhubung secara digital dan berdaya saing ekonomi. Kemajuan dalam bidang ini bukan sahaja akan memperkukuh integrasi serantau, tetapi juga menjadi bukti kepimpinan berkesan Malaysia semasa menjadi pengerusi ASEAN,” katanya.

Meningkatkan Daya Saing PMKS Malaysia

Kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN turut memberi kelebihan kepada perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) tempatan untuk berkembang ke negara jiran. Dengan strategi yang betul, PMKS Malaysia boleh memanfaatkan peluang ini untuk meningkatkan daya saing, mengembangkan jenama ke peringkat global, dan menjana pertumbuhan ekonomi. Melalui pemadanan sistem perdagangan dan peningkatan integrasi rantai bekalan serantau, perniagaan tempatan dapat mengakses pasaran serantau dengan lebih luas, sekaligus membolehkan mereka bersaing dengan lebih berkesan di luar sempadan negara.

Selain itu, kepimpinan Malaysia dalam ASEAN berperanan untuk memacu inovasi dalam sektor-sektor kritikal seperti tenaga boleh diperbaharui, pertanian pintar, dan teknologi hijau. Sebagai contoh, inisiatif seperti ASEAN Smart Cities Network dan usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) akan meningkatkan daya saing dan keberdayaan ekonomi serantau.

Malaysia juga dilihat akan memanfaatkan kedudukan ini untuk memperkukuh peranan ASEAN dalam menyelesaikan cabaran global. Dengan komitmen terhadap dasar keberlanjutan, Malaysia dapat menggerakkan agenda pembangunan ekonomi yang bertanggungjawab, yang sejajar dengan matlamat PBB dalam mencapai Kesejahteraan Sejagat (SDGs).

Secara keseluruhannya, kepengerusian ASEAN Malaysia tahun ini meletakkan negara pada kedudukan strategik dalam memacu pertumbuhan ekonomi global, memperkukuh kerjasama serantau, dan memimpin ASEAN ke arah kemampanan serta integrasi yang lebih utuh. Dengan komitmen kepada perubahan dan pembangunan, Malaysia berpotensi untuk muncul sebagai peneraju utama dalam merangka masa depan ekonomi yang inklusif dan mampan bagi seluruh rantau Asia Tenggara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS