Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
WAWANCARA : Literasi digital perlu dalam menangani isu keselamatan digital
Diterbitkan:  Feb 24, 2025 2:21 PM
Dikemaskini: Feb 25, 2025 4:46 AM

Literasi digital di kalangan pengguna sosial media dan digital  adalah perkara yang utama  dalam menangani isu keselamatan digital, tegas Pensyarah Fakulti Komunikasi, Sunway Universiti, Profesor Madya Pauline Leong ketika diminta mengulas tentang platform media sosial diwajibkan memiliki lesen SKMM. 

Menurut beliau, pengguna perlu dididik mengenai cara mengenali maklumat yang sahih, selain memahami tanggungjawab mereka dalam berkongsi kandungan di platform dalam talian.

Profesor Madya Pauline Leong menitikberatkan literasi sebelum lesen

“Langkah proaktif seperti ini bukan sahaja dapat menangani isu keselamatan digital dengan lebih berkesan, malah turut membantu membina ekosistem digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab untuk semua pihak.Apabila isu keselamatan digital timbul, pihak kerajaan seharusnya mengadakan perbincangan dengan penyedia platform mengenai tindakan terbaik yang boleh diambil untuk menangani isu tersebut’ tambahnya dalam satu temuramah eksklusif bersama Malaysiakini. 

“Perbincangan sebegini juga perlu melibatkan masyarakat sivil agar kebimbangan mereka didengari dan diambil kira dalam proses pembuatan keputusan,” katanya.

Bagaimanapun menurut beliau, pada masa ini, undang-undang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia serta Kanun Keseksaan sedia ada untuk menangani isu-isu ini, menimbulkan persoalan sama ada pengenalan peraturan baharu diperlukan atau berpotensi menyekat kebebasan bersuara.

“Walaupun tindakan undang-undang telah diambil terhadap pelaku jenayah siber, persoalan tetap wujud sama ada gergasi teknologi dan penyedia platform perlu turut bertanggungjawab kerana membenarkan kandungan berbahaya dan sensitif menular di platform mereka.

Langkah-langkah pihak berkuasa ini pada dasarnya bertujuan melibatkan pemilik media sosial dalam menguruskan kesan negatif penyalahgunaan platform mereka. 

“Namun, cabarannya adalah memastikan langkah sedemikian tidak menjejaskan kebebasan bersuara yang dibenarkan, terutamanya apabila kritikan yang konstruktif dilihat tidak berbahaya tetapi penting,” tambahnya lagi. 

Kerajaan sedang berusaha menangani isu-isu yang memberi kesan buruk kepada masyarakat, seperti buli siber, eksploitasi kanak-kanak, penipuan, dan jenayah dalam talian. Trend ini juga berlaku di negara lain seperti di Indonesia. 

Sejak 1 Januari lalu, Malaysia telah memulakan langkah penting dengan melaksanakan keperluan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) bagi operasi media sosial pada platform yang mempunyai lebih daripada 8 juta pengguna tempatan. 

Lesen berkenaan mewajibkan platform media sosial mendaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Langkah tersebut bertujuan untuk memastikan bahawa platform media sosial lebih bertanggungjawab terhadap kandungan yang diterbitkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS