Perjudian dalam talian sukar dibendung kerana ia beroperasi di luar batasan fizikal kerana pemain boleh berjudi di mana-mana tanpa perlu hadir secara fizikal di pusat perjudian asalkan mempunyai akses Internet.
Menurut Pensyarah Kanan Komunikasi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Syed Agil Alsagoff, ketiadaan lokasi tetap dan anonimiti pemain menyukarkan pihak berkuasa untuk mengesan serta mengambil tindakan terhadap aktiviti ini.

“Premis perjudian komputer secara dalam talian tanpa sebarang perkakasan fizikal termasuk dalam takrifan 'rumah perjudian terbuka' di bawah Seksyen 2(d) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.
“Hal ini merupakan suatu jenayah yang boleh melibatkan kesalahan denda dan penjara jika didapati bersalah,” katanya.
Menurut Syed Agil, dengan kemajuan teknologi, ramai pengguna perjudian dalam talian berisiko dimanipulasi melalui unsur-unsur penipuan seperti scam, pemalsuan maklumat, serta strategi licik yang boleh menyebabkan kerugian besar atau muflis.
“Oleh itu, setiap anggota komuniti harus memastikan bahawa pengguna tidak mudah terpengaruh dengan iklan palsu yang mendorong mereka berjudi dalam talian melalui aplikasi tertentu, sekali gus mempertaruhkan nasib mereka tanpa kawalan kendiri,” katanya.
Bahaya Perlesenan Perjudian Dalam Talian

Beliau menegaskan, perlesenan perjudian dalam talian tidak seharusnya dilaksanakan kerana ia boleh membawa kemudaratan besar kepada pengguna dan mendorong aktiviti jenayah.
Katanya, lebih membimbangkan, tanpa kawalan dan perlindungan kendiri, individu mungkin tidak menyedari impak negatif perjudian terhadap kehidupan mereka.
“Walaupun beberapa negara seperti United Kingdom, Malta, dan Filipina memberikan lesen kepada pengendali perjudian dalam talian, dalam konteks Malaysia, saya berpendapat bahawa aktiviti ini perlu dibendung. Ia jelas melanggar Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Akta 289) dan harus diawasi oleh PDRM, agensi kerajaan berkaitan, serta SKMM bagi memastikan masyarakat terlindung daripada risiko penipuan, manipulasi maklumat, dan ancaman keselamatan.
“Masyarakat perlu menyedari bahawa setiap klik pada pautan perjudian membawa risiko besar iaitu ketagihan, kehilangan harta, jenayah, dan kehancuran moral,” katanya.
Undang-undang perlu diperketatkan, dan penguatkuasaan mesti lebih tegas tanpa kompromi. Masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan melaporkan aktiviti perjudian melalui talian aduan 997.
Pendidikan dan Kesedaran Awal: Tanggungjawab Bersama
Mencegah lebih baik daripada mengubati. Kesedaran mengenai bahaya perjudian dalam talian harus diterapkan sejak di bangku sekolah. Golongan muda yang mudah terpengaruh perlu dididik tentang risiko yang menanti mereka jika terlibat dalam aktiviti ini.
Selain itu, literasi digital mengenai ancaman perjudian dalam talian perlu diperluaskan kepada semua lapisan masyarakat. Ini penting kerana perjudian bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga membuka peluang kepada penggodam untuk memanipulasi data peribadi, sekaligus menimbulkan ketidakstabilan sosial dan ekonomi.
Sejumlah 5,026 laman sesawang judi telah disekat sejak 2022 hingga 1 Februari lalu.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama penyedia perkhidmatan internet turut berjaya menurunkan sebanyak 224,403 kandungan perjudian di media sosial bagi tempoh sama.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata daripada jumlah berkenaan, 209,006 kandungan perjudian bersamaan 93.14 peratus berjaya diturunkan menerusi media sosial Facebook.
"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) melaksanakan pemantauan proaktif bagi memastikan persekitaran internet di negara ini bebas daripada kandungan dalam talian yang melanggar undang-undang, termasuk kandungan perjudian dalam talian,” katanya.
