Oleh Joc Cing Tay Ph.D., Naib Presiden Kejuruteraan di Gogolook
Transformasi digital di Asia bukan lagi satu matlamat yang jauh—ia sedang berlaku sekarang. Perniagaan yang dapat memanfaatkan AI dengan berkesan akan memimpin perubahan ini. Daripada memberi tumpuan semata-mata kepada pengambilan bakat AI yang khusus, syarikat boleh mencapai impak yang lebih besar dengan memberdayakan tenaga kerja sedia ada mereka dengan literasi AI dan alat-alat yang diperlukan.
Laporan terkini daripada IDC menekankan transformasi ini: menjelang 2025, AI akan memperkasakan 50% daripada tenaga kerja di Asia-Pasifik, manakala 55% organisasi telah pun mengintegrasikan AI ke dalam sekurang-kurangnya satu fungsi. Angka-angka ini bukan sekadar unjuran; ia merupakan seruan mendesak untuk perniagaan segera bertindak. AI tidak menggantikan pekerja—sebaliknya ia mempertingkatkan keupayaan mereka, meningkatkan kecekapan, dan membuka ruang inovasi.
Revolusi AI Malaysia: Lebih Daripada Sekadar Visi
Malaysia sedang giat memajukan revolusi digital, seperti yang dapat dilihat melalui inisiatif MyDIGITAL dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia. Malaysia menyasarkan untuk menjadi peneraju serantau dalam transformasi digital, dengan ekonomi digital dijangka menyumbang 25.5% daripada KDNK menjelang 2025. Ini merupakan peningkatan ketara daripada sasaran awal 22.6%, mencerminkan pertumbuhan kukuh dan momentum yang memberangsangkan.
Selain menetapkan matlamat, Malaysia juga mengambil langkah konkrit untuk memacu penerapan AI:
Pelancaran Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) pada tahun 2024 memastikan pelbagai inisiatif AI dibangunkan secara berstruktur, berskala, dan selari dengan keutamaan nasional.
Syarikat teknologi global, termasuk Google, Microsoft, dan Amazon Web Services (AWS), juga melabur dalam infrastruktur AI di Malaysia, sekali gus mengukuhkan status negara ini sebagai hab inovasi serantau.
AI kini mengubah landskap keselamatan siber dan pencegahan penipuan. Whoscall, yang dibangunkan oleh Gogolook dan merupakan rakan strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM), memanfaatkan AI untuk mengesan dan meramalkan panggilan penipuan. Dengan penilaian risiko yang dipacu oleh AI, ia meningkatkan keselamatan digital untuk perniagaan dan individu, serta membantu mengurangkan kerugian berkaitan penipuan di seluruh rantau ini.

Kejayaan Malaysia dalam penerapan AI bergantung pada satu faktor kritikal: pemerkasaan tenaga kerja. Syarikat yang melabur dalam peningkatan kemahiran AI bukan sahaja akan mengukuhkan kelebihan daya saing mereka, malah turut menyumbang kepada transformasi digital negara secara keseluruhan.
Literasi AI: Kemahiran Asas untuk Setiap Pekerja
AI kini tidak lagi terhad kepada pasukan teknikal. Dengan kemajuan dalam model bahasa berskala besar (LLM), platform tanpa kod (no-code), dan pelbagai alat automasi, pekerja bukan teknikal juga dapat mengintegrasikan AI ke dalam aliran kerja mereka, mengembangkan potensi mereka sepenuhnya.
Penulis seperti Nick Bostrom telah meramalkan bahawa kecerdasan super buatan (artificial superintelligence) mungkin muncul dalam dekad akan datang. Sama ada ramalan ini menimbulkan rasa teruja atau kebimbangan, satu perkara jelas—revolusi AI sudah tiba, dan perniagaan harus bertindak sekarang. Mereka yang melabur dalam literasi AI hari ini akan meraih kelebihan daya saing yang ketara.
Untuk merapatkan jurang ini, syarikat mesti melaksanakan latihan AI secara terstruktur di setiap jabatan. Di syarikat kami, program AI selama 12 minggu telah mengubah cara pasukan bekerja:
Jurutera menguasai alat pengaturcaraan berasaskan AI seperti Python dan PyTorch.
Bukan jurutera memanfaatkan platform automasi berkuasa AI seperti ChatGPT dan Zapier.
Pasukan UI/UX memperkemaskan analisis maklum balas dengan menggunakan alatan semantik berasaskan AI.
Pasukan pemasaran meningkatkan penciptaan kandungan dan SEO melalui penyelidikan kata kunci yang dibantu AI.
Dengan memanfaatkan pengetahuan AI merentasi semua fungsi, perniagaan dapat memacu inovasi, mengoptimumkan aliran kerja, dan memastikan tenaga kerja mereka bersedia untuk masa depan dalam dunia yang semakin digerakkan oleh AI.
Menggerakkan Inovasi melalui Kolaborasi AI antara Pasukan
Literasi AI sahaja tidak mencukupi. Kemajuan terbesar berlaku apabila pengetahuan AI dikongsi merentasi jabatan. Organisasi yang menghapuskan sekatan dalaman dan menggalakkan kerjasama AI akan memperoleh kelebihan daya saing yang jelas.
Untuk memupuk minda ini, kami melancarkan hackathon AI dalaman dan pertandingan antara pasukan. Pekerja dari bahagian pemasaran, reka bentuk, analisis data, dan kejuruteraan bekerjasama untuk membangunkan penyelesaian berasaskan AI.
Perbezaannya jelas:
Sebelum latihan: Integrasi AI terhad, kepakaran teknikal terasing.
Selepas latihan: Perkerja yang bukan jurutera juga dapat menggunakan alat AI untuk membangunkan penyelesaian yang berfungsi.
Satu contoh yang menonjol adalah apabila pasukan bukan kejuruteraan berjaya membangunkan bot Telegram berasaskan AI yang memberikan cadangan pakaian berdasarkan pilihan pengguna. Projek ini, yang dihasilkan tanpa pengetahuan pengaturcaraan mendalam, membuktikan bahawa inovasi AI tidak hanya terhad kepada jurutera. Kejayaan ini menekankan kepentingan memberikan pekerja akses kepada alat dan latihan AI, memastikan pengetahuan AI dikongsi merentasi jabatan dan tidak hanya tertumpu dalam pasukan teknikal. Mewujudkan budaya eksperimen dan penyelesaian masalah adalah kunci kejayaan AI dalam jangka panjang. Perniagaan yang menggalakkan kolaborasi berasaskan AI akan menikmati peningkatan ketara dalam kecekapan, pembuatan keputusan, dan inovasi produk.
Keperluan Mendesak bagi Perniagaan
AI bukan lagi sekadar konsep masa depan—ia kini satu keperluan. Syarikat yang gagal mengintegrasikan AI ke dalam aliran kerja mereka berisiko kehilangan daya saing dalam dunia yang semakin automatik dan berasaskan data. AI memperkemaskan operasi, meningkatkan kecekapan dalam membuat keputusan, dan membuka peluang baharu untuk pertumbuhan.
Namun, penerapan AI masih tidak sekata. Banyak perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta industri bukan teknikal, berdepan kesukaran dalam pelaksanaannya akibat kekurangan kepakaran, kekangan bajet, dan ketidakpastian mengenai peranan AI dalam operasi mereka.
Untuk merapatkan jurang ini, perniagaan perlu melangkaui kesedaran pasif dan mengambil langkah konkrit:
Meningkatkan kemahiran pekerja melalui program latihan AI yang terstruktur.
Mengimplementasikan alat berasaskan AI yang dapat meningkatkan produktiviti merentasi jabatan.
Menggalakkan kolaborasi rentas fungsi bagi memacu penyelesaian masalah dan inovasi berasaskan AI.
Penggunaan AI bukanlah untuk menggantikan pekerjaan—tetapi untuk memperkasa pekerja agar bekerja dengan lebih bijak dan menghasilkan nilai perniagaan yang lebih besar. Masa untuk bertindak ialah sekarang. Syarikat yang melabur dalam integrasi AI dan pembangunan tenaga kerja pada hari ini akan membentuk masa depan industri mereka, sekali gus meletakkan asas kukuh untuk kejayaan jangka panjang.
Tentang Penulis:

Joc Cing Tay ialah seorang pakar AI berpengalaman dengan ijazah Ph.D. dalam Kecerdasan Buatan dari Nanyang Technological University dan MBA dari National University of Singapore. Dengan 24 tahun pengalaman dalam peranan kejuruteraan kanan di syarikat perisian terkemuka seperti Appier dan Tremor Video, beliau kini mengetuai pasukan kejuruteraan di Gogolook. Joc pakar dalam penyelidikan AI, pembangunan, serta pertumbuhan pasukan kejuruteraan, memacu inovasi dan pencapaian dalam aplikasi AI di bawah kepimpinannya.
Kandungan ini disediakan oleh Whoscall.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
Berminat untuk menyiarkan pengumuman anda di Malaysiakini? Hubungi kami di [email protected] atau WhatsApp di talian +60 17-323 0707 untuk sebarang pertanyaan.
