Penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) melalui kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) MMM 2024 di Dewan Rakyat baru-baru ini disambut baik namun ahli-ahli yang dilantik mestilah proaktif, bebas dan profesional dalam menjalankan tugas.
Pengarang berita Malaysiakini, Zikri Kamarulzaman berkata, dengan adanya wakil kerajaan dalam MMM, isu ketelusan dikhuatiri boleh timbul sekiranya anggota yang dilantik menyalahgunakan kedudukan mereka.
“Penubuhan MMM amat dialu-alukan, namun terdapat kelemahan yang diharapkan suatu hari dapat diperbaiki.
“Mungkin wakil kerajaan sekarang tidak akan salah guna keahlian dalam majlis, tetapi tiada jaminan ia tidak akan berlaku pada masa depan.
“Apa akan berlaku jika sesebuah kerajaan bersikap authoritarian malah tidak mesra media yang memerintah suatu hari nanti?” katanya.

Menurut Zikri, kewujudan wakil kerajaan juga secara tidak langsung boleh menimbulkan persepsi terhadap cengkaman kerajaan atau kebebasan pengamal media.
Beliau berkata, senario itu terbukti berlaku sewaktu zaman pemerintahan bekas perdana menteri, Najib Abdul Razak berhubung siasatan dana syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Skandal 1MDB itu disifatkan sebagai berita palsu dan naratif tersebut diangkat oleh media arus perdana yang pada ketika itu akur dengan kerajaan.
“Jadi, dengan adanya wakil kerajaan, dan juga wakil media milik parti politik, kemungkinan kuasa kerajaan digunakan untuk mengekang kebenaran masih wujud.
“Selain itu, undang-undang seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 berpotensi menjadi alat untuk sebuah kerajaan mengekang kebebasan media,” katanya.

Bagaimanapun, menurut beliau, penubuhan MMM membawa faedah penting kepada industri media dan negara kerana ia membantu meningkatkan kualiti kandungan yang disampaikan kepada masyarakat.
“MMM berperanan memastikan media menyampaikan maklumat dengan lebih berhati-hati dan penuh tanggungjawab,” katanya.
Justeru, menurut Zikri, undang-undang-undang juga perlu diperkenalkan supaya pemilikan media oleh ahli politik atau parti tertentu - sama ada secara langsung atau tidak langsung - adalah telus supaya MMM tidak menjadi badan yang mencengkam media massa.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyifatkan RUU MMM 2024 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 26 Feb lalu sebagai kemenangan besar untuk kebebasan media di Malaysia.
Beliau berkata, ia adalah saat bersejarah buat industri media memandangkan cadangan rang undang-undang itu mula diutarakan pada 1973, iaitu kira-kira 52 tahun lalu.
Ia antara lain bertujuan menjamin kebebasan media dalam memastikan masyarakat mendapat informasi sahih, berintegriti dan adil.
