Kementerian Kesihatan Malaysia (“KKM”), dengan kerjasama strategik bersama KPJ Healthcare Berhad (“KPJ Healthcare”), semalam, secara rasmi melancarkan Malaysia International Healthcare (“MIH”) Megatrends 2025, sebuah persidangan penjagaan kesihatan utama yang meletakkan Malaysia ke hadapan dalam transformasi dan inovasi kesihatan serantau.

Acara ini akan berlangsung dari 25 hingga 27 November 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dengan tema “Innovating for a Healthier Sustainable Future”. Tema ini mencerminkan hala tuju strategik Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.

MIH Megatrends 2025 akan menghimpunkan barisan pemimpin pemikiran global, penggubal dasar kesihatan, pakar klinikal, inovator serta pemain industri kesihatan untuk bertukar pandangan dan meneroka penyelesaian berskala dalam pelbagai bidang penting seperti penjagaan berasaskan nilai (value-based care), kecerdasan buatan, kesihatan mental, bioteknologi, dan kemampanan dalam penjagaan kesihatan.
Edisi tahun ini menampilkan beberapa elemen baharu seperti trek tematik khusus, zon penglibatan interaktif, dan pameran selama tiga (3) hari yang akan dibuka kepada orang ramai pada hari ketiga. Bagi mengukuhkan lagi kedudukan MIH Megatrends 2025 sebagai platform utama untuk dialog dan kemajuan penjagaan kesihatan, acara ini akan turut menampilkan lebih ramai penceramah daripada kalangan pemimpin utama kerajaan, industri, dan institusi kesihatan global.

Setakat ini, MIH Megatrends 2025 telah berjaya meraih penyertaan daripada pelbagai syarikat. Sambutan awal ini mencerminkan minat yang kian meningkat daripada industri dalam menyokong keutamaan kesihatan di peringkat nasional dan serantau melalui kolaborasi strategik dan perkongsian pengetahuan.

MIH Megatrends 2025 dijangka menjadi satu pencapaian penting dalam perjalanan transformasi sistem kesihatan Malaysia secara menyeluruh. Acara ini juga sejajar dengan keutamaan strategik Kementerian, khususnya dalam merealisasikan aspirasi yang digariskan dalam Kertas Putih Kesihatan untuk menangani cabaran kesihatan negara serta memperkukuh aspek ekuiti, kemampanan dan daya tahan sistem penjagaan kesihatan negara.
Untuk maklumat lanjut mengenai MIH Megatrends 2025, termasuk pendaftaran dan peluang sebagai rakan kerjasama, sila layari www.mihmegatrends.my.
Kandungan ini disediakan oleh KPJ Healthcare
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected]
