Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Subsidi bersasar boleh cetus peningkatan produktiviti rakyat, negara

WAWANCARA | Pakar ekonomi meramalkan langkah penjimatan yang dirangka kerajaan melalui penyasaran subsidi RON95 membawa penjimatan sehingga hampir RM7 bilion dan boleh dikembalikan kepada rakyat melalui pelbagai cara.

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, hasil pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan bakar itu - dijangka pertengahan tahun ini - boleh dialihkan kepada sektor-sektor kritikal seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur.

Langkah itu, katanya, kemudian berpotensi menjana produktiviti lebih tinggi untuk negara dalam jangka masa sederhana dan panjang.

“Anggaran kami ialah kerajaan bakal mencatatkan penjimatan sekitar RM6.9 billion sekiranya rasionalisasi subsidi RON95 dilaksanakan pada pertengahan tahun ini. 

“Memandangkan subsidi RON95 kini bersifat pukal dan banyak memanfaatkan golongan T20, maka rasionalisasi dirancang itu bakal menyaksikan penjimatan yang signifikan kepada kerajaan. 

“Seharusnya penjimatan ini dapat digunakan ke arah perbelanjaan yang lebih mendatangkan produktiviti tinggi dalam jangka masa sederhana dan panjang seperti perbelanjaan ke arah pendidikan, kesihatan dan infrastruktur,” katanya.

Dr Afzanizam menganggarkan penjimatan hampir RM7 bilion sekiranya kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi RON95 bermula pertengahan tahun ini

Jelas Afzanizam, pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan bakar secara keseluruhannya mempunyai kesan rantaian yang positif sekiranya dimanfaatkan secara optimum untuk menyokong usaha-usaha membina negara. 

Misalnya, menurut beliau, pelajar yang mendapat pendedahan kepada persekitaran pendidikan berkualiti tinggi berpeluang mencapai prestasi akademik lebih cemerlang, sekali gus menyumbang kepada peningkatan inovasi negara.

“Bilik darjah yang uzur dan tidak menarik boleh dibaik pulih termasuk mengecat semula ruang pembelajaran bagi mewujudkan suasana lebih kondusif dan ceria.

“Selain itu, penyediaan prasarana yang baik juga mampu membangkitkan semangat guru untuk mengajar dengan lebih berkesan dan memperkukuh ekosistem pendidikan negara secara menyeluruh,” katanya.

Menurut Afzanizam lagi, dalam sektor kesihatan, penjimatan yang diperoleh hasil daripada pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 boleh digunakan untuk menambah bilangan hospital baharu, mempertingkatkan kemudahan peralatan perubatan serta menambah kapasiti tenaga kerja kesihatan.

Subsidi bersasar menggunakan MyKad boleh menyokong usaha-usaha  pembangunan negara

“Dengan pertambahan tenaga kerja dan penggunaan peralatan perubatan yang lebih canggih, masa menunggu pesakit dapat dikurangkan, dengan itu rakyat Malaysia dapat menikmati tahap kesihatan yang lebih baik dan boleh menyumbang kepada peningkatan produktiviti negara,” katanya.

Mengulas kewajaran subsidi bersasar melalui data demografi dan sosioekonomi daripada MyKad, beliau berkata, penggunaan sumber kewangan negara yang lebih cekap boleh dimanfaatkan secara optimum untuk menyokong usaha-usaha membina negara. 

Menurutnya, hal itu kerana subsidi hanya diberikan kepada golongan yang benar-benar layak berdasarkan pendapatan, selain mengurangkan ketirisan subsidi kepada golongan T20 atau pengguna yang tidak sepatutnya mendapat bantuan.

“Jika subsidi mengalir kepada golongan tersebut, ini boleh dikatakan satu bentuk ketirisan dan kerugian kerana subsidi sepatutnya hanya untuk golongan berpendapatan pertengahan dan rendah.

“Apabila berlaku pembaziran, ia merugikan ekonomi. Ini boleh dikatakan satu kos melepas. Mungkin ini yang kerajaan cuba cuba perbaiki menggunakan teknologi dalam MyKad.

“MyKad dilihat sebagai satu usaha kerajaan untuk mencari keseimbangan bagi memastikan setiap perbelanjaan subsidi menepati golongan sasaran dan pada masa sama memastikan rasionalisasi subsidi diminimumkan serta dilaksanakan dengan lebih lancar,” katanya.

Cabaran penggunaan MyKad sebagai mekanisme penyasaran subsidi perlu diatasi sebelum pelaksanaan bermula

Penggunaan MyKad untuk menyalurkan subsidi bersasar RON95 sememangnya satu pendekatan yang berpotensi berkesan, namun menurut Afzanizam, terdapat beberapa cabaran teknikal yang perlu diatasi untuk menjayakan pelaksanaannya. 

Misalnya, menurut beliau, kerajaan perlu meneliti pelbagai isu teknikal khususnya dari aspek peranti yang akan digunakan.

“Persoalan utama yang perlu diberi perhatian ialah sama ada pengusaha stesen minyak perlu memasang peranti baharu atau tidak, serta bagaimana kos pelaksanaan tersebut akan ditanggung.

“Adakah kos tersebut perlu dibiayai sendiri oleh pengusaha atau disubsidi oleh kerajaan? 

“Ini merupakan antara perkara penting yang perlu dipertimbangkan secara menyeluruh,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa dari segi capaian infrastruktur teknologi, di kawasan bandar mungkin tidak menghadapi masalah besar. 

Namun katanya, cabaran sebenar mungkin timbul di kawasan luar bandar yang mempunyai keterbatasan dari segi rangkaian telekomunikasi serta logistik.

“Cabaran logistik dan capaian teknologi ini berpotensi menjejaskan keberkesanan pelaksanaan subsidi bersasar. 

“Bagaimanapun, saya percaya kerajaan telah memulakan projek rintis bagi mengenal pasti kelemahan dan kekangan yang wujud sebelum ia dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.

Penggunaan MyKad diyakini sebagai platform yang mampan untuk menyokong penyasaran subsidi RON95 seperti kejayaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA). 

Seramai 3.9 juta penerima SARA telah menggunakan MyKad malah peratus tertinggi yang dicatatkan adalah di Sabah dan Perlis.

Dalam Kerangka Ekonomi MADANI, rasionalisasi subsidi RON95 adalah salah satu strategi untuk menaikkan siling fiskal negara.

Langkah itu juga bertujuan mengurangkan ketirisan serta menyalurkan semula penjimatan kepada golongan yang benar-benar memerlukan - antaranya SARA.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS