Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Lawatan Anwar ke Rusia bawa banyak faedah, perlu seimbang hubungan Rusia, AS

Wawancara | Kehadiran Malaysia dalam dialog secara langsung untuk berunding dengan pemimpin tertinggi Rusia menghantar isyarat yang kuat kepada dunia bahawa Kuala Lumpur mempunyai keberanian berunding dengan mana-mana negara.

Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya (UM), Datuk Prof Dr Awang Azman Awang Pawi berkata mesej itu dihantar secara tidak langsung oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Kremlin.

Katanya, Anwar mengadakan pertemuan bersemuka dengan Presiden Vladimir Putin ketika Barat mengenakan sekatan ke atas negara yang tidak disenangi mereka itu.

Pada masa sama, katanya, Anwar memperlihatkan sikap Malaysia dalam dasar luarnya yang berteraskan diplomasi berkecuali dan pragmatisme ekonomi. 

“Pendekatan itu menekankan hubungan seimbang di antara kuasa Barat dan Timur. 

“Ini mencerminkan kematangan polisi luar Malaysia dan konsisten dengan dasar berkecuali ASEAN, penekanan kepada pragmatisme ekonomi, serta pemeliharaan kedaulatan negara. 

Prof Dr Awang Azman mencadangkan  Malaysia menyeimbangkan kerjasama ekonomi dengan Rusia  sambil mengekalkan hubungan kukuh dengan AS

“Pendekatan ini juga selaras dengan komitmen Malaysia terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Ia memberikan Malaysia peluang menjadi jambatan komunikasi antara dunia membangun dan kuasa besar seperti Rusia serta China, terutama dalam konteks pakkatan BRICS dan Selatan Global,” katanya.

Untuk rekod BRICS melibatkan negara kuasa besar ekonomi dunia dengan Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan sebagai anggota terasnya.

Awang Azman yang juga Pengarah Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu UM itu bagaimanapun mengingatkan, Malaysia mungkin berdepan tekanan tersirat dalam menyeimbangkan hubungan strategik antara Rusia dan Amerika Syarikat (AS) terutama dalam konteks geopolitik semasa yang kompleks.

Beliau berkata, walaupun dasar luar Malaysia yang berkecuali membolehkan negara ini menjalin hubungan dengan pelbagai kuasa besar, cabaran utama adalah berdepan tekanan diplomatik daripada AS dan Kesatuan Eropah (EU).

Awang Azman berkata, Malaysia perlu teroka pasaran baharu sekiranya AS mengekalkan kadar tarif baharu

“Persepsi simpati terhadap Rusia dalam konteks konflik Ukraine boleh menyebabkan keakraban Malaysia dengan negara itu disalah tafsir sebagai kecenderungan politik tertentu.

“Tambahan pula, terdapat keterbatasan dalam aspek teknologi dan pelaburan dari pihak Rusia berbanding dengan AS.

“Walaupun hubungan diplomatik yang erat dengan Rusia adalah penting, dari segi teknologi dan pelaburan, AS kekal sebagai rakan strategik yang lebih dominan,” katanya.

Justeru, menurut beliau, Malaysia perlu menyeimbangkan kerjasama ekonomi dengan Rusia dalam bidang seperti tenaga, pertahanan, dan makanan, sambil mengekalkan hubungan kukuh dengan AS melalui pelaburan, perdagangan, dan pendidikan. 

“Strategi dual-engagement adalah pendekatan terbaik dalam konteks geopolitik multipolar hari ini,” katanya.

Dalam menghadapi kemungkinan pengenaan tarif timbal balik oleh Presiden AS, Donald Trump, Awang Azman berkata, Malaysia perlu meneroka pasaran baharu untuk mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional.

Menurut beliau, pasaran eksport perlu didiversifikasi ke Eurasia, Afrika, Asia Selatan dan Asia Barat dengan menggunakan BRICS dan EAEU (Kesatuan Ekonomi Eurasian) sebagai platform.

“Perjanjian perdagangan dua hala dengan Rusia, Iran, India dan Brazil boleh dirunding sebagai perlindungan terhadap sekatan perdagangan AS.

“Produk halal, teknologi kesihatan, dan kelapa sawit boleh dipasarkan secara agresif ke pasaran bukan tradisional.

“Lawatan ini secara simbolik membuka jalan ke pasaran yang kurang dijelajahi oleh Malaysia sebelum ini, terutama pasaran berasaskan komoditi dan makanan di Rusia dan Asia Tengah,” katanya.

Lawatan rasmi Anwar ke Rusia selama empat hari bermula 13 Mei lalu memberi tumpuan kepada pengukuhan hubungan dua hala serta pembukaan peluang ekonomi dan teknologi baharu antara kedua-dua negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS