Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
ASEAN perluas pengaruh, peranan sebagai blok kuasa ketiga dunia

WAWANCARA | Kesepakatan antara negara anggota yang kukuh dan bersepadu akan memperlihat ASEAN sebagai blok kuasa dunia ketiga yang stabil dan seimbang terutamanya di kala ketegangan kuasa besar dunia.

Menurut Felo di International Centre for Counter-Terrorism (ICCT) IIUM, Dr Ahmad El-Muhammady Muhammad Uthman El-Muhammady, ASEAN berpotensi muncul sebagai kuasa ketiga yang kuat khususnya sektor ekonomi kerana rantau ini stabil dan bebas dari konflik berdarah seperti di Asia Barat dan Ukraine di Eropah.

“Mungkin bukan sebagai kuasa ketiga dalam konteks ketenteraan, tetapi kuasa ekonomi yang kuat dan berpotensi.

“Kestabilan rantau amat penting untuk perdagangan dan ekonomi dunia,” katanya.

Menurut beliau, kunci kepada kestabilan ASEAN terletak pada pendekatan sabar dan kekang yang strategik dalam mengurus dan menyelesaikan konflik agar tidak menjadi lebih teruk dan terjerumus kepada kematian dan ketenteraan. 

Felo di International Centre for Counter-Terrorism (ICCT) IIUM, Dr Ahmad El-Muhammady Muhammad Uthman El-Muhammady

Tambahnya lagi, amalan tersebut menjadi kekuatan ASEAN untuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam diplomasi serantau dan penyelesaian konflik misalnya isu Laut China Selatan. 

Beliau menjelaskan pendekatan itu juga selari dengan Visi ASEAN 2045 yang dikongsi negara serantau menunjukkan kebijaksanaan, kesederhanaan dan pendekatan pragmatik pemimpin bagi memacu masa depan bersama. 

Dr Ahmad berkata, walaupun berhadapan dengan keadaan geopolitik dan ekonomi dunia yang tidak menentu, ASEAN terus mengorak langkah ke hadapan dengan yakin, berani dan berstrategi.

“Visi ASEAN 2045 menunjukkan kebijaksanaan pemimpin ASEAN dalam menentukan nasib bersama, terutamanya dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN kali ini,” kata Penolong Profesor di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC-IIUM) itu

Menurut Dr Ahmad, kepengerusian ASEAN yang dipegang oleh Malaysia ketika ini mendapat sokongan padu negara-negara anggota, berdasarkan kehadiran semua pemimpin dalam mesyuarat ASEAN bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

ASEAN mengambil pendekatan tidak campur tangan dalam konflik antara kuasa besar, misalnya China dan Amerika Syarikat (AS) sebaliknya lebih tertumpu kepada diplomasi dua hala (kredit foto: Fulcrum.sg)

Jelas beliau, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan sosok yang sangat dihormati dalam kalangan pemimpin serantau dan menjadi faktor penyatuan ASEAN khususnya ketika berhadapan dengan keadaan geopolitik yang tidak menentu.

Penyertaan aktif negara-negara rantau dan kemunculan pemimpin yang berwibawa menjadi antara penggerak utama ke arah usaha mencapai Visi ASEAN 2045, menjadikan sidang kemuncak ASEAN ke-46 itu sebagai titik penting.

Kerjasama silang antara negara-negara rakan itu juga, menurut Dr Ahmad, mempamerkan peranan ASEAN yang semakin berkembang dalam percaturan geopolitik dunia khususnya dalam sektor ekonomi. 

“Semua kuasa besar berebut untuk datang ke rantau ini atas faktor geografi, populasi penduduk yang ramai dan potensi kuasa ekonominya. 

“Dari segi geopolitik, ia amat strategik,” katanya.

Populasi ASEAN mencapai 700 juta menjelang 2025, menunjukkan perkembangan pasaran dalam pelbagai sektor yang signifikan untuk diteroka oleh negara luar (kredit foto: Pexels)

Namun, beliau berkata, ia bergantung kepada pemimpin terutamanya Pengerusi ASEAN untuk mengambil peluang dan menggunakan pengaruh itu untuk berinteraksi dengan kuasa besar dunia.

Tambah Dr Ahmad, kesepakatan dan kepakaran pemimpin-pemimpin dalam mengurus isu-isu serantau dengan baik tanpa mempengaruhi integriti hubungan dua hala juga penting dalam membentuk rantau yang berpengaruh dan berorientasikan rakyat di mata dunia, selain melibatkan kuasa luar.

Sidang kemuncak ASEAN ke-46 yang dijadualkan berlangsung selama dua hari bermula 26 hingga 27 Mei itu mempamerkan kerjasama serantau yang meluas meliputi transformasi digital, perdagangan intra-ASEAN dan penubuhan Grid Kuasa ASEAN. 

Kongres antarabangsa yang mengumpulkan pemimpin dan pegawai-pegawai kanan 10 buah negara itu bertujuan mencapai kesepakatan dalam memenuhi Visi Komuniti ASEAN 2045 iaitu membentuk rantau yang berdaya tahan, inovatif dan berorientasikan rakyat.

Blok ASEAN turut mengamalkan dialog dan diplomasi bersama negara-negara dan blok-blok lain bagi memperluas pengaruh rantau Asia Tenggara lalu muncul sebagai satu kuasa dunia yang utuh, lantang dan berpotensi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS