Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN beri pelbagai limpahan positif

Wawancara | Kepengerusian Malaysia dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dijangka memberi impak jangka panjang, meskipun negara ini bukan kuasa besar dari segi ekonomi atau geopolitik.

Pensyarah kanan bagi program sains politik di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Muhammad Rahimi Hasan, menjelaskan impak tersebut berpunca daripada pendekatan Putrajaya yang mengutamakan libat urus menyeluruh, keputusan kolektif dan prinsip kesepakatan sepanjang kepengerusiannya.

“Kita tidak harus menilai Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berdasarkan pelaksanaannya yang berlangsung pada 23 hingga 27 Mei 2025 semata-mata.

“Sebaliknya, terdapat lebih 540 program yang merangkumi persidangan, mesyuarat, sesi libat urus dan bengkel yang dijadualkan berlangsung di Malaysia sepanjang tahun ini,” katanya.

Muhammad Rahimi berpandangan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 turut memberi impak jangka panjang dalam bentuk tidak ketara, khususnya melalui pengukuhan peranan dan imej Malaysia dalam mempengaruhi hala tuju agenda serantau dan global.

“Meskipun Malaysia merupakan sebuah negara kecil, acara ini membuka ruang dan peluang strategik untuk mengetengahkan isu-isu penting seperti pembangunan belia, pemberdayaan wanita, pemeliharaan budaya serta kelestarian alam sekitar,” katanya.

Muhammad Ruhaimi berkata, ASEAN 2025 membawa tiga impak kepada Malaysia iaitu dari segi jangka panjang, jangka panjang bentuk tidak ketara dan jangka pendek bersifat sementara

Selain itu, menurut beliau, wujud juga impak jangka pendek yang bersifat sementara seperti limpahan manfaat kepada ekonomi Malaysia dari segi pelancongan dan perniagaan, hasil kedatangan delegasi asing serta petugas media. 

“Dengan pelaksanaan berskala besar, ia dijangka memberikan pulangan ekonomi yang signifikan kepada negara,” katanya.

Menurut Muhammad Rahimi, penerimaan Visi Komuniti ASEAN (ACV) 2045: Masa Depan Bersama oleh pemimpin serantau dalam sidang baru-baru ini memang bukanlah satu misi yang mudah, tetapi jelas ia bukan sesuatu yang mustahil.

Kata beliau, wujud kesinambungan apabila ACV 2045 menggantikan dokumen ASEAN 2025: Forging Ahead Together yang diguna pakai sebelum ini. 

Tambahnya, kesemua usaha yang dinyatakan, termasuk komitmen kolektif, perancangan strategik, dan pelaksanaan yang konsisten, sememangnya memerlukan perencanaan yang teliti.

“Kegagalan untuk merancang adalah langkah pertama ke arah kegagalan. Oleh itu, perancangan yang rapi sangat penting. 

Shamsul Amri berkata pelantikan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bukan sekadar simbolik malah menunjukan peranan penting dimainkan negara sebagai pengantara

“Semua negara anggota ASEAN sepakat untuk menandatangani dokumen tersebut dan kini adalah masa untuk melangkah ke hadapan.

“Reaksi pemimpin-pemimpin adalah positif dengan pelbagai penekanan masing masing seperti Thailand mengenai integrasi yang lebih mendalam; Indonesia dengan soal ketidaktentuan global; Vietnam dengan tiga prinsip utama mengenai pembangunan inklusif, kesalinghubungan negara anggota dan ketahanan serantau. Ini akan menjadi cabaran. 

“Jadi, saya optimis ASEAN boleh mencapai ACV 2045 jika ia meletakkan nilai keterangkuman dan kemampanan sebagai keutamaan. Namun, saya tidak menolak kemungkinan ia bukan mudah untuk dicapai kerana setiap negara tentu mengambil kira kepentingan nasional masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Felo Akademi Sains Malaysia dan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berkata, pelantikan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN kali ini merupakan amanah besar yang mencerminkan kepercayaan tinggi negara-negara anggota terhadap kemampuan dan kredibiliti Malaysia. 

Tanggungjawab itu, katanya, bukan sekadar simbolik, malah memperlihatkan peranan penting yang boleh dimainkan oleh Malaysia sebagai pengantara yang diyakini dalam menyelesaikan beberapa konflik utama di rantau ini.

“Hubungan pelbagai budaya yang menjadi teras masyarakat Malaysia membolehkan Malaysia melihat dengan lebih jelas peranannya mewujudkan perpaduan di ASEAN yang juga beraneka kepelbagaiannya,” katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan mesyuarat berkaitan, yang berlangsung di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia tahun ini dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan pada 26 dan 27 Mei membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang mendesak.

Pada 26 Mei lalu, ASEAN mengesahkan penerimaan ACV 2045: Masa Depan Bersama melalui Deklarasi Kuala Lumpur, yang menegaskan prinsip berteraskan rakyat dan kelestarian sebagai tunjang utama bagi hala tuju pembangunan serantau dalam tempoh dua dekad akan datang.

Berasaskan ACV 2025, rangka kerja baharu itu membayangkan sebuah komuniti ASEAN yang berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berpaksikan rakyat, dengan matlamat mengukuhkan peranan rantau ini sebagai hab pertumbuhan utama di Indo-Pasifik.

Dokumen itu disokong oleh empat tonggak utama iaitu politik dan keselamatan; kerjasama ekonomi, sosiobudaya serta kesalinghubungan.

Visi itu juga bertujuan meningkatkan kedudukan ASEAN di peringkat global dengan menangani trend mega dan menggalakkan pembangunan lestari.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS