Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Rayuan PM penting untuk jadi duluan, panduan masa depan

“Memang ada kewajaran untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung isu imuniti seorang perdana menteri agar statusnya di sisi undang-undang dapat diputuskan secara tuntas.”

Peguam Dr Zulqarnain Lukman bahkan menyangkal anggapan kononnya permohonan itu bersifat remeh, apatah lagi memandangkan kes berkenaan telah dijadikan isu politik oleh pihak pembangkang.

“Anwar perlu meneruskan kes dengan rayuan supaya ada keputusan muktamad dan precedent (duluan) ini boleh dipakai untuk perdana menteri akan datang kerana permohonan dilakukan di mahkamah tinggi baru-baru ini itu tidak pernah berlaku dalam sejarah penghakiman,” katanya.

Menurut Zulqarnain lagi isu yang perlu diputuskan ketika ini ialah kekebalan seorang perdana menteri jika sesuatu kes boleh mengganggu tugasnya sebagai penjawat awam.

“Perlu ada keputusan muktamad dari Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan berhubung isu itu nanti,” katanya.

Dr Zulqarnain tidak berasakan permohonan PM bersifat remeh bahkan mempunyai kewajaran untuk dirayu

Beliau juga melihat isu berkenaan saman bekas pembantu penyelidik Anwar, Muhammed Yusoff Rawther itu bukan sekadar pertikaian undang-undang malah kini menjadi isu politik apabila ada pihak tertentu cuba mencelah. 

Misalnya, kata peguam berkenaan, pembabitan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Naib Presiden PAS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee sebagai pemerhati.

Ketiga-tiga mereka membuat permohonan itu di mahkamah pada Ahad lalu.

Kata Zulqarnain, dengan perkembangan baru itu memang ada merit untuk Anwar meminta kes tersebut ditangguhkan sehingga isu perlembagaan yang berkaitan diputuskan oleh hakim.

“Justeru, kes itu bukan lagi isu peribadi di antara Yusoff dengan Anwar semata-mata,” katanya.

Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kerpada Mahkamah Persekutuan termasuk sama ada perdana menteri itu mempunyai kekebalan daripada tindakan undang-undang

Zulqarnain pada masa sama menganggap kes di antara Anwar dan Yusoff berkeza dengan saman difailkan Datuk Seri Najib Razak terhadap Tan Sri Tommy Thomas yang ketika itu berkhidmat sebagai Peguam Negara.

Kata beliau, berdasarkan fakta kedua-dua kes tersebut adalah berbeza secara prinsip undang-undang.

“Thomas berjaya dalam permohonannya untuk membatalkan saman yang difailkan Najib berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa untuk mendakwanya atas pertuduhan melibatkan 1MDB.

“Beliau (Thomas) mempunyai imuniti daripada disaman berdasarkan budi bicara yang diberikan kepadanya di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Thomas selaku Peguam Negara juga dilindungi undang-undang.

“Kes sekarang adalah berbeza kerana fakta tuduhan adalah ia berlaku sebelum Anwar menjadi perdana menteri,” katanya.

Tambah beliau lagi, perbicaraan kes tersebut akan dijalankan di mahkamah terbuka dan berpotensi memberi implikasi negatif serta menjejaskan imej negara di peringkat antarabangsa ketika kesahihan dakwaan dibuat Yusoff masih belum ditentukan.

Apabila perkara tersebut tersebar ke luar negara, katanya, ia boleh menjejaskan kredibiliti kerajaan dan menimbulkan persoalan tentang bagaimana perdana menteri dapat melaksanakan tugasnya dengan berkesan.

“Pada pendapat saya, hal ini mungkin mendorong Anwar memohon penangguhan perbicaraan,” katanya.

Berkenaan kesan permohonan yang dikemukakan Anwar, Zulqarnain berpendapat, ada dua yang boleh dijangkakan, masing-masing positif dan negatif.

Dari sudut positif, katanya, keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini sekali lagi membuktikan bahawa Anwar tidak mencampuri atau memberi tekanan kepada hakim agar memihak kepadanya.

Pun begitu, kata Zulkarnain, dari aspek negatif pula, orang mungkin melihat Anwar bertindak begitu bagi melengah-lengahkan kes tersebut.

Bagaimanapun katanya sebagai peguam dia yakin sesuatu kes itu tidak akan dirujuk kepada mahkamah tanpa alasan yang dirasakan munasabah.

“Kalau kita lihat, apa Anwar buat sekarang ialah untuk mengelak kes ini menjadi isu politik, dan pada saya tanda-tanda sebegitu sudah jelas.

“Kita boleh nampak pembangkang mahu gunakan kes Yusoff untuk menggugat kestabilan kerajaan,” katanya.

Pada 4 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, termasuk sama ada perdana menteri itu mempunyai kekebalan daripada tindakan undang-undang.

Persoalan undang-undang itu berkaitan dengan saman yang difailkan oleh Yusoff, berhubung dakwaan serangan seksual yang berlaku tujuh tahun lalu.

Hakim Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu selepas mendapati tiada satu pun daripada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan (PP) yang dikemukakan oleh pasukan pembelaan Anwar menimbulkan sebarang persoalan undang-undang perlembagaan yang nyata, substantif atau boleh diadili, yang memerlukan penentuan oleh Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128(2) PP atau Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS