Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Laporan WCR bukti negara bukan sahaja pulih, lebih baik dari sebelumnya - pakar ekonomi

Malaysia melakar pencapaian membanggakan apabila melonjak 11 anak tangga dalam laporan Penarafan Daya Saing Dunia (WCR) 2025 dan ia menjadi bukti ekonomi negara sedang melalui proses pemulihan kukuh, kata Prof Emeritus Dr Barjoyai Badai.

Beliau berkata, peningkatan ekonomi Malaysia sekarang adalah kesan gabungan reformasi dasar fiskal yang berhati-hati, subsidi tersasar dan keyakinan pelabur asing terhadap negara ini.

“Lonjakan besar sedemikian adalah senario yang memang jarang berlaku dalam ekonomi global.

“Malaysia naik 11 anak tangga dalam WCR 2025 iaitu dari tangga ke-34 menjadi kedudukan ke-23. Sedangkan tahun lalu Malaysia jatuh tujuh anak tangga.

“Negara kini bukan sahaja pulih, malah adalah lebih baik dari sebelumnya,” katanya.

Dr Barjoyai Bardai berkata, peningkatan ekonomi Malaysia kesan hasil gabungan reformasi dasar fiskal yang berhati-hati, subsidi tersasar dan keyakinan pelabur asing

Tambah Barjoyai, penyelarasan subsidi bahan bakar dilihat mulai memberi kesan yang positif kepada struktur ekonomi negara.

Menurut pakar ekonomi itu, kejayaan tersebut menunjukkan usaha kerajaan dalam menambah baik tatakelola fiskal sedang membuahkan hasil.

“Walaupun peningkatan ekonomi ketara, kesannya kepada rakyat belum sepenuhnya dirasai. 

“Namun, untuk jangka sederhana, rakyat dijangka dapat melihat kesan melalui peluang pekerjaan dan pendapatan.

“Pada masa sama, kedudukan baharu Malaysia akan dapat merangsang pasaran kerja dan ekonomi domestik manakala gaji sektor swasta dijangka meningkat seiring dengan prestasi ekonomi dan keyakinan pasaran yang bertambah baik,” katanya.

Wael Sawan berkunjung bersama delegasinya melawat Anwar Ibrahim semalam bagi membincangkan hala tuju negara

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pegawai Eksekutif Global Shell, Wael Sawan menyuarakan keyakinan terhadap arah tuju negara apabila memaklumkan syarikat gergasi minyak itu bakal menambah pelaburan melebihi RM9 bilion bagi tempoh pelaksanaan dua hingga tiga tahun akan datang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran di Facebook memaklumkan hasrat Global Shell sewaktu Wael dan delegasi berkunjung melawat beliau semalam.

Kata Anwar, pelaburan itu adalah manifestasi keyakinan pelabur antarabangsa terhadap dasar ekonomi negara yang teguh dan kepimpinan yang jelas serta langkah itu sekali gus mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang lebih banyak.

“Saya manfaatkan kesempatan ini untuk berkongsi pendekatan strategik Kerajaan MADANI dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang stabil, mampan dan berdaya tahan bukan hanya untuk hari ini, tetapi demi generasi mendatang.

“Insya-Allah, Malaysia mampu terus melakar masa depan yang makmur dan berdaya saing,” katanya.

Shell bukan sekadar nama besar dalam dunia tenaga, tetapi telah menjadi rakan pelaburan utama negara dan sebahagian daripada perjalanan ekonomi Malaysia sejak sekian lama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS