Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Institusi fatwa negara tak terjejas dengan keputusan Mahkamah Persekutuan

Kerajaan akan meneliti keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang memihak kepada pertubuhan Sisters In Islam Forum (Malaysia) - atau lebih dikenali sebagai SIS Forum -  bagi memastikan kedudukan dan kewibawaan institusi fatwa tidak terjejas dalam jangka panjang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, kerajaan menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan keputusan kehakiman yang dibuat.

“Saya ingin menegaskan bahawa fatwa tetap memainkan peranan penting membimbing umat Islam dalam isu-isu semasa yang memerlukan panduan syariah,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, kata Mohd Na’m, kerjasama antara institusi kehakiman, perundangan dan pihak berkuasa agama amat penting untuk diperkukuhkan.

Tambah beliau, Kerajaan MADANI akan memastikan pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia dilaksanakan secara adil serta berlandaskan prinsip syura, ilmu serta berpaksikan lunas undang-undang negara.

“Ia supaya fungsi dan kewibawaan institusi fatwa kekal dihormati dalam kerangka sistem perlembagaan negara kita.

“Pada masa sama, Kerajaan MADANI akan terus mempertahankan kedudukan institusi agama Islam selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 2014 yang mengisytiharkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam tidak boleh dikuatkuasakan terhadap SIS Forum.

Panel empat hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, fatwa berkenaan hanya terpakai kepada orang perseorangan beragama Islam dan bukannya syarikat atau pertubuhan.

Mais mengisytiharkan SIS Forum serta mana-mana individu atau kumpulan menganut fahaman liberalisme dan pluralisme sebagai sesat dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Pada 11 tahun lalu, SIS Forum memohon untuk membatalkan fatwa Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang mendakwa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menyeleweng daripada ajaran Islam kerana didakwa menganut fahaman liberalisme dan pluralisme agama.

Fatwa diwartakan kerajaan Selangor pada 31 Julai 2014 itu mengisytiharkan SIS Forum serta mana-mana individu atau kumpulan yang menganut fahaman liberalisme dan pluralisme sebagai sesat dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Sementara itu Persatuan Peguam Syarie Malaysia menegaskan keputusan Mahkamah Persekutuan itu tidak membatalkan atau menafikan keabsahan fatwa yang dikeluarkan Selangor.

Presidennya Musa Awang berkata fatwa tersebut tetap terpakai pada individu beragama Islam termasuk mereka yang bertanggungjawab ke atas sesebuah pertubuhan atau syarikat.

Untuk rekod Tengku Maimun semasa membaca ringkasan penghakiman pagi tadi menegaskan keputusan berkenaan dibuat berdasarkan ketetapan dalam perlembagaan.

Katanya mereka juga tidak memberikan sebarang komen atau pendapat terhadap kandungan fatwa Selangor, khususnya frasa: “[...] fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.”

Hakim-hakim terbabit juga, kata Tengku Maimun, tidak menyentuh mengenai ketetapan fatwa yang menggariskan “mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam” kerana ia adalah perkara dalam bidang kuasa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

“Rayuan di hadapan kami hanya berkenaan had-had kuasa responden-responden untuk menggubal fatwa tersebut dari segi pemakaiannya dalam lingkungan had yang ditetapkan oleh Butiran 1 (Perlembagaan Persekutuan),” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS