Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Rakyat yakin negara lebih stabil, penilaian positif terhadap Anwar cecah 55 peratus

Tinjauan Merdeka Center pada Mei tahun ini mendapati 55 peratus pengundi memberi penilaian positif terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding 43 peratus pada Jun tahun lalu.

Menurut organisasi bebas penyelidikan bebas itu, hasil kajian terhadap 1,208 pengundi berdaftar menunjukkan persepsi rakyat terhadap kestabilan negara semakin baik dengan penurunan ketidakstabilan politik dan kepimpinan Anwar yang disokong majoriti dua pertiga di Parlimen.

“Reformasi institusi seperti Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 memberi isyarat kembalinya tadbir urus yang berprinsip,” menurutnya dalam kenyataan.

Merdeka Center berkata, keresahan rakyat terhadap kos sara hidup juga semakin berkurangan susulan peningkatan gaji minimum kepada RM1,700 berserta bantuan tunai semasa perayaan kepada penjawat awam serta subsidi bahan api yang masih diteruskan ketika inflasi berada di tahap terendah dalam tempoh tiga tahun iaitu 1.4 peratus pada Mac 2025 dan pertumbuhan ekonomi mencecah 4.4 peratus pada suku pertama.

Menurut kenyataan itu lagi, walaupun tinjauan menunjukkan ekonomi kekal sebagai kebimbangan utama rakyat, ketiadaan kejutan harga meskipun subsidi diesel ditarik balik pada 2024 turut menyumbang kepada pemulihan sentimen.

“Walaupun tinjauan masih menunjukkan bahawa kebimbangan utama rakyat ialah ekonomi, pengunduran subsidi pada 2024 tidak mengakibatkan kejutan harga, sekali gus membantu mengurangkan sentimen ini,” katanya.

Merdeka Center memaklumkan Anwar juga melonjakkan profil Malaysia di peringkat antarabangsa dengan menjadi tuan rumah kepada Presiden China Xi Jinping serta mempengerusikan ASEAN tahun ini.

“Perjanjian pelaburan baharu, kerjasama perdagangan dan kepimpinan dalam inisiatif Selatan Global telah memperkukuh imej beliau di dalam negara,” katanya.

Pada masa sama, pusat itu menyatakan bahawa penarafan Kerajaan Persekutuan meningkat kepada 50 peratus pada Mei 2025 berbanding 40 peratus pada Jun 2024.

Ia memaklumkan tahap ketidakpuasan terhadap Kerajaan Persekutuan pula berkurangan kepada 48 peratus berbanding 58 peratus tahun lalu.

“Jurang yang tipis antara positif dan negatif sebahagian besarnya adalah didorong oleh kebimbangan berterusan mengenai tekanan terhadap kos sara hidup dan terdapat sedikit kegusaran tentang pemotongan subsidi yang dijadual dilaksana dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.

Tinjauan juga mendapati 50 peratus responden berpendapat negara sedang menuju ke arah yang salah berbanding 61 peratus pada tahun sebelumnya manakala jumlah pengundi yang berpendapat negara berada di landasan betul meningkat kepada 43 peratus berbanding 29 peratus pada Jun tahun lalu.

“Sebab utama yang mendorong pandangan negatif tersebut adalah hala tuju ekonomi negara dan prestasi semasa pentadbiran kerajaan,” katanya.

Tinjauan itu dijalankan antara 12 dan 23 Mei lalu bagi menilai persepsi pengundi terhadap perkembangan semasa ketika Kerajaan MADANI memasuki pertengahan penggal pentadbirannya.

Seramai 1,208 responden ditemubual melalui telefon tetap dan mudah alih merangkumi 52 peratus Melayu, 29 peratus Cina, tujuh peratus India, enam peratus Bumiputera Islam serta enam peratus Bumiputera bukan Islam dari Sabah dan Sarawak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS