Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
MPPK kutuk tindakan mahasiswa bakar karikatur Anwar

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan sekumpulan mahasiswa yang membakar karikatur Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu mengadakan protes di Kota Kinabalu, Sabah, Ahad lalu.

Meskipun menghormati prinsip kebebasan bersuara dan mengiktiraf peranan mahasiswa sebagai suara intelektual bebas, MPPK menyifatkan tindakan tersebut bersifat provokatif, berlebihan dan mencemar citra institusi pengajian tinggi sebagai medan ilmu dan intelektualisme. 

“Kebebasan ini merupakan salah satu tunjang penting dalam membina ekosistem demokrasi yang matang dan beradab di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT). 

“Namun begitu, tindakan sekumpulan mahasiswa yang terlibat dalam membakar karikatur pemimpin tertinggi negara baru-baru ini jelas bertentangan dengan nilai dan adab seorang mahasiswa.

“Insiden terbabit bukan sahaja mencerminkan ketandusan pemikiran rasional, malah berisiko mengganggu ketenteraman awam serta menghakis nilai kesarjanaan yang sewajarnya dijunjung tinggi oleh warga universiti,” katanya dalam kenyataan.

MPPK menegaskan, sebagai mahasiswa yang dididik dalam suasana berasaskan kesantunan dan intelektualisme, mereka seharusnya mengangkat prinsip penghormatan dan kemampuan untuk berbeza pandangan secara beradab, 

“Bukan melalui tindakan ekstrem, biadab atau menghina mana-mana pihak,” katanya.

MPPK turut menghargai dan memuji tindakan berjiwa besar Perdana Menteri,  Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak universiti untuk tidak mengambil tindakan keras hingga menamatkan pengajian mereka yang terbabit sungguhpun menjadi sasaran dalam insiden ini.

Badan itu berkata, pendekatan penuh ihsan itu jelas mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan tiada anak muda yang tercicir daripada akses kepada pendidikan hanya kerana kekhilafan yang dilakukan supaya mereka dapat melakar kecemerlangan pada masa hadapan. 

Tunku Nashrul pada taklimat harian PMO hari ini

“Kami menyeru semua pihak agar menolak sebarang bentuk tindakan yang mencetuskan gangguan kepada ketenteraman awam, dan bersama-sama memastikan keamanan kampus dan negara terus dipelihara demi masa depan yang lebih bermaruah dan bersatu.

“MPPK kekal komited untuk memelihara keharmonian dan ketenteraman kampus sebagai ruang intelektual yang aman, sejahtera dan kondusif untuk pembangunan ilmu, sahsiah serta kepimpinan mahasiswa,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata Anwar yang juga tokoh berasal dari gerakan mahasiswa, sangat memahami kemarahan yang ditunjukkan oleh sekumpulan mahasiswa semasa protes terbabit.

Justeru, beliau menitipkan bahawa semangat perubahan sememangnya bermula dengan keberanian anak muda menyuarakan kebenaran berlandaskan fakta dan niat yang tulus. 

Di pihak kerajaan, katanya, komitmen melaksanakan reformasi kekal teguh dan ia sedang dan telah diterjemahkan ke dalam tindakan nyata.

“Insiden pembakaran karikatur perdana menteri di Kota Kinabalu baru-baru ini mengingatkan kita tentang betapa besarnya harapan rakyat agar rasuah dibanteras sampai ke akar umbi,” katanya dalam taklimat harian PMO hari ini.

Menurut Tunku Nashrul, Anwar menjadi saksi bahawa walau sepedas mana pun kritikan yang dilontarkan, ia adalah antara bahagian yang penting untuk meraikan demokrasi.

“Komitmen reformasi ini tidak akan terhenti setakat ini, dan ia akan terus diperhalusi dan dilaksanakan dengan berstruktur,” katanya.

Insiden membakar karikatur Anwar itu berlangsung pada penghujung demonstrasi Gempur Rasuah Sabah 2.0 yang disertai kumpulan Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Karikatur Anwar itu disertai tulisan “Madani Pelindung Rasuah Sabah” sebagai simbol kemarahan kumpulan terbabit kepada kerajaan yang dianggap gagal menunaikan janji berkaitan reformasi institusi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS