Paling Popular
Terkini

Sebagai menghargai rakyat yang menyokong Kerajaan Madani, Perdana Menteri ke-10 (PMX) Datuk Seri Anwar mengumumkan harga petrol RON95 akan turun lebih rendah iaitu RM1.99 seliter selepas penyasaran subsidi bahan bakar itu dilaksanakan kelak.

Hal itu diumumkan oleh beliau dalam ucapan khas Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia oleh YAB Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung menerusi saluran media utama di Kuala Lumpur.

Perdana Menteri berkata, langkah itu bakal memberi manfaat kepada lebih 18 juta rakyat Malaysia termasuk pemandu kereta, penunggang motosikal, pekerja gig serta termasuk belia seawal usia 16 tahun.

Selain itu, PMX juga mengumumkan kerajaan bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol melibatkan 10 lebuh raya tahun ini bagi memastikan rakyat terus menikmati kadar sedia ada.

Katanya, kerajaan menanggung pampasan lebih RM500 juta kepada syarikat konsesi, walaupun pelarasan kadar tol sepatutnya berlaku mengikut perjanjian oleh kerajaan terdahulu.

Dalam pengumumannya itu, Anwar turut mengisytiharkan bersempena Hari Kebangsaan 31 Ogos ini, setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas akan menerima 100 ringgit secara one-off melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Beliau berkata, ia merupakan ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup, selain sebagai penghargaan kepada rakyat yang memberi manfaat kepada 22 juta penduduk dengan peruntukan RM2 bilion.

PMX pada masa sama memaklumkan tiada kenaikan bil elektrik kepada majoriti pengguna domestik Semenanjung Malaysia susulan penstrukturan semula tarif elektrik yang berkuat kuasa bulan ini.

Beliau berkata, sebanyak 85 peratus pengguna domestik menikmati penurunan bil elektrik hingga 14 peratus bagi Julai 2025 untuk penggunaan sama, berbanding enam bulan pertama tahun ini.

Bersempena Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini, Anwar mengumumkan 15 Sept nanti sebagai hari kelepasan am tambahan sebagai menghargai ukhuwah perpaduan dan keistimewaan pembentukan negara ini.

PMX juga mengumumkan peruntukan Jualan Rahmah MADANI tahun ini ditingkatkan sekali ganda lagi menjadi RM600 juta, berbanding yang diumum sebelum ini RM300 juta.

Beliau berkata, peruntukan tambahan itu antaranya akan meningkatkan kekerapan jualan dan memperluas jumlah lokasi di seluruh negara meliputi kesemua 600 Dewan Undangan Negeri (DUN).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS