WAWANCARA | Tindakan Malaysia sebagai pengantara Thailand dan Cambodia susulan konflik persempadanan di Preah Vihear membuktikan kemampuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengendalikan isu geopolitik yang sensitif, kata pakar.
Menurut Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik di Universiti Kebangsaan Malaysia (KITA-UKM), Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Anwar bertindak dengan cermat dan cepat, sekali gus menunjukkan keterampilannya di pentas global.
“Inisiatif Perdana Menteri itu memberi mesej bahawa ASEAN komited dalam menjadi rantau yang aman dan selamat.
“Sebagai Pengerusi ASEAN ke-25 juga, beliau hanya mahukan satu keamanan yang tidak akan merebakkan perkelahian ke kawasan-kawasan lain di Asia Tenggara.
“Penglibatannya sebagai orang tengah dalam konflik itu juga adalah dijangka, malah saya pasti negara-negara ASEAN lain turut bersetuju akan tindakan yang diambil oleh beliau,” katanya.

Dr. Shamsul Amri berkata, Anwar turut mempamerkan nilai-nilai keperibadian unggul, menjadikan Perdana Menteri itu seorang pemimpin yang diterima perwakilan dunia secara meluas sepanjang tempoh beliau memerintah.
Jelasnya, ketokohan Anwar itu mengukuhkan hubungan bilateral yang sudah sekian lama terjalin antara Malaysia dengan dua negara berkenaan.
“Thailand dan Cambodia rapat dengan Malaysia dalam pelbagai segi misalnya dari aspek ekonomi dan bantuan kemanusiaan.
“Malaysia pernah membantu Cambodia dalam usaha pembangunan semula selepas peperangan Vietnam dahulu dan menjadi orang tengah buat Thailand ketika konflik memuncak di selatan negara itu.
“Hubungan akrab ini memberikan Malaysia satu kekuatan, terutamanya dalam situasi genting seperti ini,” katanya.

Dr. Shamsul Amri meluahkan rasa optimis akan persetujuan gencatan senjata yang dicapai antara Thailand dan Cambodia baru-baru ini namun beliau turut tidak menolak kemungkinan pencetusan semula peperangan.
“Bila ada satu konflik dan ada satu pihak menjadi orang tengah, penentuan gagal tidak akan dianggap satu keganjilan.
“Jika Anwar berjaya, semua orang akan gembira tetapi jika sebaliknya, mungkin ada orang lain yang boleh ambil alih.
“Hanya mereka yang tidak memihak kepada Anwar Ibrahim mungkin akan memandang senario kedua itu sebagai kegagalan beliau jika terjadi,” katanya.
Bagaimanapun, Dr. Shamsul Amri berkata, Malaysia boleh mengambil beberapa pendekatan untuk meredakan konflik antara kedua-dua buah negara tersebut.

Menurut beliau, Malaysia boleh menghantar pasukan peninjau ke zon terbabit bagi memastikan persetujuan gencatan senjata dihormati dan dipatuhi supaya tiada lagi jiwa terkorban dan penduduk kehilangan tempat tinggal.
Beliau turut menyarankan agar Malaysia yang sudah lama terlibat dalam pembangunan ekonomi khususnya di Cambodia untuk mempengaruhi satu pihak agar lebih terbuka kepada pilihan-pilihan menjurus keamanan.
“Saya tahu ada penyelidik ekonomi yang telah ke Cambodia melalui UNESCO, jadi kita mempunyai satu kekuatan dari segi berapa rapatnya hubungan kita dalam aspek bantuan.
“Kita boleh menganjurkan lebih banyak bantuan buat penduduk Cambodia yang akan mendorong negara itu untuk mahu terus berunding dan terus aman.
“Kalau pembangunan yang dibawakan, ekonomi yang dibawakan, mesti mereka akan gembira dan berpuas hati,” katanya.
