Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Hospital Pakar Johor perintis biopsi nod sentinel robotik untuk kanser endometrium di wilayah Selatan
Diterbitkan:  Jul 31, 2025 10:40 AM
Dikemaskini: 2:40 AM

Hospital Pakar Johor (“JSH”) berjaya melaksanakan pembedahan histerektomi robotik yang pertama di wilayah Selatan menerusi prosedur biopsi nod sentinel untuk pesakit yang menghidap kanser endometrium (lapisan dalam rahim) peringkat awal. Ini merupakan pencapaian penting dalam memperluas rawatan invasif minimum untuk wanita yang menghidapi penyakit ini.

Pembedahan tersebut menggunakan sistem robotik untuk membuang rahim sambil mengenal pasti serta mengambil sampel nodus limfa "sentinel", iaitu nodus pertama yang boleh menunjukkan tanda penyebaran kanser. Prosedur ini turut menggunakan teknik pengimejan khas menggunakan cahaya (pendarfluor) untuk membantu pasukan pembedahan mengenal pasti nodus limfa yang tepat. Pendekatan ini membolehkan doktor mengumpul maklumat penting dalam satu pembedahan yang sama dan berpotensi mengelakkan keperluan pembuangan nodus limfa yang berlebihan.

Pasukan pembedahan di JSH melakukan pembedahan dibantu robot dengan pengimejan pendarfluor untuk mengenal pasti nodus limfa sentinel.

Kanser endometrium merupakan kanser yang paling kerap menyerang sistem reproduktif wanita. Bagi pesakit yang lebih berusia atau mengalami masalah kesihatan seperti obesiti, kaedah pembedahan terbuka tradisional  berisiko tinggi dan biasanya memerlukan tempoh pemulihan yang lebih lama.. Teknik pembedahan bantuan robotik dan kaedah ‘lubang kunci’ lain dibangunkan untuk menjadikan proses pembedahan lebih selamat dan kurang invasif, dengan teknik hirisan lebih kecil, kehilangan darah yang minimum dan tempoh pemulihan yang lebih singkat bagi pesakit yang sesuai.

Chin Keat Chyuan, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare berkata, "Pencapaian ini mencerminkan fokus kami terhadap inovasi di bawah KPJ Health System untuk memberi manfaat kepada pesakit dan memperkukuh amalan klinikal. Dengan memperluaskan akses kepada teknik pembedahan yang lebih selamat dan kurang invasif, kami menyokong aspirasi 'Care for Life' kami sambil memperlengkapkan hospital dan barisan pakar kami dengan kemudahan berteknologi tinggi serta latihan yang diperlukan demi masa depan penjagaan kesihatan."

Chin Keat Chyuan, Presiden & Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad.

Dr Ahmad Shuib Yahaya, Pakar Perunding Onkologi Ginekologi di JSH, yang mengetuai prosedur itu, berkata, "Teknik ini membolehkan kami memberi tumpuan kepada nodus limfa yang paling berisiko terjejas tanpa perlu membuang terlalu banyak nodus yang tidak diperlukan. Untuk pesakit, ini boleh mengurangkan komplikasi dan mempercepatkan pemulihan, dalam masa yang sama dapat memberi kami maklumat yang diperlukan untuk merancang rawatan."

Dr Ahmad Shuib Yahaya, Perunding Pakar Onkologi Ginekologi di JSH  (empat dari kiri), mengetuai pasukannya dalam merintis biopsi nod sentinel robotik untuk kanser endometrium.

Pembedahan robotik kini semakin meluas digunakan di Malaysia merentasi pelbagai bidang perubatan. Di JSH, ia kini diterapkan dalam onkologi ginekologi sebagai sebahagian daripada perjalanan transformasi KPJ Health System untuk memperluaskan pilihan pembedahan berteknologi tinggi di seluruh rangkaiannya, termasuk dalam bidang ginekologi, urologi dan pembedahan am

Pencapaian ini juga menyokong perjalanan KPJ untuk membangunkan Pusat Kecemerlangannya dan memperkukuh integrasi subkepakaran. JSH terus menerajui penjagaan subkepakaran, disokong oleh pasukan yang mengutamakan kemajuan, ketepatan dan belas ihsan.

Bangunan Hospital Pakar Johor di Johor Bahru.

Menerusi perjalanan ini, KPJ Healthcare terus menyepadukan aspek klinikal, pendidikan dan penyelidikan bagi memastikan rakyat Malaysia mempunyai akses kepada standard penjagaan yang selamat dan cemerlang.

Untuk maklumat lanjut mengenai JSH, layari https://kpjhealth.com.my/johor.


Kandungan ini disediakan oleh KPJ Healthcare

Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS