Seorang pakar ekonomi berkata, penekanan terhadap reka bentuk cip diyakini boleh meluaskan peranan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor sekaligus mencapai matlamatnya untuk menjadi pengeluar semikonduktor terbesar dunia.
Provos Malaysia University of Science and Technology (MUST), Prof Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, usaha itu adalah sebahagian daripada rancangan Malaysia untuk keluar daripada kegiatan pemasangan dan pengeksportan semikonduktor sahaja.
“Mengikut perancangan jangka masa panjang, Malaysia mahu menunjukkan industri ini sebagai pemain utama dalam industri perkilangan negara.
“Ini hanya dapat direalisasikan sekiranya Malaysia berupaya menguasai industri E&E sepenuhnya, maknanya tidak mengharapkan negara maju untuk membekalkan reka bentuk asas yang boleh diselesaikan di sini.
“Jika usaha ini diteruskan, kita berharap dalam masa lima tahun, Malaysia dapat keluar daripada kelompok pembekal yang terlalu bergantung dengan syarikat-syarikat maju ini,” katanya.
Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan, Malaysia memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global, khususnya dalam sektor semikonduktor lalu menjadikan ia pengeksport industri Elektrikal dan Elektronik (E & E) kesembilan terbesar dunia.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) memaklumkan, pengeluaran semikonduktor negara pada masa kini merangkumi 13 peratus pasaran dunia dalam rantaian pemasangan, pengujian dan pembungkusan cip sekaligus menjadikan Malaysia tumpuan pemain industri global.
Dr. Barjoyai berkata, Malaysia mempunyai kelebihan dalam sektor itu hasil pengalaman yang dikumpul selama lebih 50 tahun.
“Hari ini, kita terkenal dalam sektor semikonduktor sehingga seluruh dunia mencemburui kita kerana Malaysia berpengalaman dan berupaya menarik pelabur-pelabur asing khususnya dari Amerika Syarikat (AS).
“Sektor ini akan terus berkembang dan nilainya dijangka melebihi USD1 trilion (RM4.278 trilion) pada 2030, jadi Malaysia perlu mengambil peluang ini untuk menerokai sektor itu sepenuhnya.
“Antara aspek yang perlu menjadi tumpuan Malaysia buat masa ini adalah reka bentuk cip bagi semikonduktor,” katanya.
Untuk rekod, industri semikonduktor merangkumi komponen-komponen elektronik yang menjadi teras dalam pelbagai perkakas elektrik seperti telefon pintar, komputer riba malah kereta elektrik.
Proses penghasilan cip itu melibatkan reka bentuk litar yang kompleks dan rumit bagi memastikan cip semikonduktor berfungsi dengan betul dan efisien.

“Jika ini berlaku, kita boleh mengembangkan industri E&E ini sendiri tanpa bergantung dengan negara maju. Itu matlamat kita,” katanya.
Dr. Barjoyai menjelaskan bahawa Malaysia saling bergantung dengan Amerika Syarikat (AS) untuk menghasilkan produk semikonduktor yang lengkap.
Katanya, Malaysia mendapatkan bahan mentah dan reka bentuk cip dari AS manakala negara barat itu memerlukan semikonduktor yang sudah dipasang, dibungkus dan diuji dari Malaysia.
Bagaimanapun, AS kini giat meneroka pasaran dan potensi industri semikonduktor di negara-negara ASEAN lain seperti Thailand dan Vietnam yang mewujudkan persaingan jangka pendek dan pertengahan dengan Malaysia.
Dr. Barjoyai berkata, Malaysia sudah mula bergerak ke arah menubuh dan melatih syarikat tempatan untuk menceburi bidang reka bentuk cip, iaitu bahagian teratas dalam rantaian bekalan semikonduktor.
“Kita telah berbelanja lebih RM1 bilion ke arah usaha memupuk bakat tempatan dalam reka bentuk cip ini dengan kerjasama beberapa syarikat dari AS dan Jerman misalnya NVIDIA,” katanya.

Selain melatih bakat sedia ada, Pengarah Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Dr. Nungsari Ahmad Radhi berkata negara juga ke arah memupuk dan menghasilkan graduan dalam bidang reka bentuk cip semikonduktor bermula di peringkat institut pengajian tinggi.
Menurut beliau, inisiatif itu menggabungkan agenda Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) syarikat-syarikat berkepentingan dengan institusi pengajian bagi membuahkan hasil yang menyeluruh serta melahirkan tenaga kerja mahir dan berdaya saing.
“Beberapa tahun lepas, Collaborative Research in Engineering, Science and Technology (CREST) Center di Pulau Pinang melakukan penyelidikan bersama mahasiswa dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang merangkumi keseluruhan rantaian pembuatan.
“Ia lebih mencabar kerana kolaborasi itu mendorong mereka untuk menghasilkan produk meliputi semua peringkat proses iaitu mereka bentuk, mengeluarkan produk, membentuk prototaip dan memasarkan produk tersebut.
“Inisiatif seperti ini boleh dikembangkan lagi menerusi kolaborasi antara institut pengajian tinggi dan syarikat semikonduktor bagi menghasilkan graduan dalam bidang reka bentuk cip supaya input itu boleh disalurkan ke kilang-kilang sedia ada,” katanya.

Dr. Nungsari turut menjelaskan bahawa peningkatan tenaga kerja mahir tempatan dalam reka bentuk cip itu juga akan mencipta kitaran ekosistem yang sihat dalam bidang STEM bagi memacu peningkatan bilangan pekerja masa depan.
Pengarah Malaysia Airports Holdings itu berkata, terdapat persepsi yang meluas dan meruncing dalam kalangan pelajar bahawa bidang STEM tidak menjanjikan masa depan yang cerah dan terjamin.
Khususnya dalam industri semikonduktor, gaji bagi pekerja dalam sektor pemasangan dan pembuatan di Malaysia adalah tidak setara dengan gaji pereka bentuk cip dan pegawai pemasaran di luar negara.
Hal itu mewujudkan jurang yang tinggi antara negara-negara aktif dalam industri semikonduktor.
“Di Malaysia, kita ada tenaga kerja mahir untuk sektor pemasangan misalnya jurutera namun apabila kita ke sektor reka cipta yang memerlukan lebih banyak penyelidikan, bekalan pekerja itu tidak ramai.
“Jadi kita kena bermula dari peringkat sekolah lagi dengan meyakinkan generasi baharu bahawa ada pekerjaan dengan gaji setimpal, malah lebih tinggi dari kadar semasa buat mereka jika mereka menceburi bidang ini,” katanya.

Secara umumnya, gaji bagi pekerja dalam sektor pembuatan dan pemasangan semikonduktor diunjurkan mencecah RM4,510 menjelang 2030 manakala gaji bagi pereka bentuk cip yang sedang digiatkan dalam negara sekarang boleh bermula dari RM6,000.
Gaji berdaya saing itu hanya boleh diperluaskan lagi kepada lebih ramai pekerja sekiranya lebih ramai pelabur memasuki industri semikonduktor Malaysia.
Dr. Nungsari menjelaskan bahawa kemasukan pelabur pula bergantung semula kepada bekalan pekerja berkemahiran negara bagi membangunkan dan mengembangkan perusahaan mereka.
“Sumber manusia kita juga adalah salah satu tarikan buat pelabur khususnya dari luar negara.
“Bila ada bakat tempatan, pelaburan akan masuk dan itu mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat.
“Rakyat Malaysia yang berkemahiran ini boleh bekerja di situ dan sudah tentu dengan kemahiran yang lebih tinggi dalam kegiatan di peringkat atas dalam rantaian bekalan maka gaji pun akan lebih tinggi,” jelasnya.
Sistem itu akan membentuk ekosistem yang berdaya maju, kompetitif dan mampan untuk industri semikonduktor negara namun titik permulaannya harus bermula dari sekarang.
