Seorang pakar industri semikonduktor berkata, adaptasi transformasi ekologi dalam operasi perusahaan semikonduktor berpotensi membuka pintu buat sektor itu mengembangkan agenda kelestariannya.
Menurut Pengurus Pasaran Mikroelektronik Veolia, Mehbub Khan, pendekatan itu bakal membantu banyak syarikat khususnya di bahagian hadapan rantaian bekalan semikonduktor ke arah mencapai matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Beliau berkata, transformasi ekologi merangkumi tiga aspek iaitu manusia atau khususnya penggiat industri semikonduktor, nyahkarbon dan penjanaan semula.
Jelasnya, industri gergasi itu sedang mengalami pembangunan pesat di bahagian tersebut dan berpotensi menubuhkan lebih banyak syarikat pembuatan wafer semikonduktor, tetapi kegiatan itu juga akan menyebabkan peningkatan penggunaan air dan bahan buangan.
“Kita tidak boleh mengabaikan kesannya. Ia sedang berlaku di Johor dan kebarangkalian akan merebak ke tempat-tempat lain juga.
“Orang tidak sedar yang industri ini sebenarnya sangat mencemarkan dari segi kuasa, air dan bahan dalamannya serta sisa buangan khususnya PFAS.
“Isu-isu ini seharusnya menjadi tumpuan Malaysia apabila ia ingin memasuki dan membangunkan bahagian hadapan rantaian pembuatan semikonduktor dengan giat,” tekannya.

Mehbub berkata sedemikian ketika menjadi ahli panel dalam forum Greening the Chips: How ESG is Shaping the Future of ASEAN’s Semiconductor Industry di Asean Semiconductor Summit (ASEMIS) 2025 bertempat di One World Hotel, Bandar Utama pada 24 Julai lalu.
Penekanan itu, menurut beliau, berkaitan aspek pertama dalam transformasi ekologi iaitu pengusaha industri perlu memahami cara pencemaran berlaku, isi kandungan bahan kimia tersebut dan langkah terbaik mengendalikannya bagi kesejahteraan bersama.
Katanya, praktis mesra alam tidak sewajarnya terhad kepadai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) syarikat atau badan berautoriti tempatan sahaja tetapi dikembangkan sebagai aspirasi yang lebih besar dan menyeluruh kepada semua bahagian dalam bekalan rantaian.
Mehbub kemudian mengurai ringkas aspek kedua, nyahkarbon yang menjadi antara tumpuan syarikatnya, Veolia untuk dimajukan melalui proses Penyelidikan dan Inovasi (R&I).
“Kami sedang berusaha keras dan melaburkan dengan begitu banyak dalam Penyelidikan dan Inovasi nyahkarbon.
“Inisiatif ini adalah bagi membangunkan sumber tenaga cekap atau teknologi yang kurang menggunakan bahan kimia supaya ia dapat membantu perusahaan semikonduktor mengurangkan jejak karbon walaupun sedikit,” katanya.
Untuk rekod, nyahkarbon adalah sebuah proses peralihan penggunaan sumber bahan api fosil kepada tenaga alternatif yang lebih bersih dan efisien bagi mengurangkan pelepasan karbon dan kesan rumah hijau.

Menyentuh aspek ketiga, Pengurus Pasaran Mikroelektrik itu berkata, penjanaan semula adalah perkara yang paling menarik untuk diterokai kerana ia boleh menjadi satu bentuk pulangan pelaburan (ROI) bagi syarikat di saat ESG tampak tidak menguntungkan.
Menurut Mehbub, proses itu merangkumi usaha mendapatkan semula pelarut dan logam-logam berharga daripada sisa buangan yang menjadi sumber penting bagi pembuatan semikonduktor.
“Paling menarik adalah penjanaan semula pelarut kerana pelarut misalnya isopropil alkohol banyak digunakan dalam jumlah yang besar.
“Kami mencipta sistem-sistem untuk tujuan itu, supaya ia mendatangkan semula hasil dan nilai kepada syarikat.
“Orang lain mungkin menganggap ESG sebagai beban atau kos, namun jika diteliti semula, syarikat akan melalui fasa pemulihan yang membawa pulangan pelaburan melalui ESG,” katanya.
Tiga tiang transformasi ekologi itu, tegas Mehbub, dapat membantu perusahaan menangani masalah pencemaran sekaligus mendekatkan mereka ke arah masa depan yang lebih mesra alam.

Lebih sukacita, ahli panel itu memaklumkan bahawa pendekatan itu juga sudah terbukti berhasil susulan penghasilan teknologi Macro Porous Polymer Extraction (MPPE) oleh Veolia yang berfungsi khusus untuk mengitar semula sisa buangan.
Katanya, sistem itu membantu perusahaan untuk menjalankan kegiatan kitar atau penjanaan semula di premis atau kilang masing-masing tanpa memerlukan bantuan pihak luar lalu menjadikan keseluruhan proses itu lebih mampan.
“Teknologi yang telah banyak kami keluarkan sejak 2019, khususnya bagi pasaran semikonduktor adalah sangat mampan.
“Antara yang paling popular iaitu MPPE, adalah sebuah teknologi yang bukan sahaja mengitar semula sisa air buangan namun ia mengasingkan bendasing dalam air dengan pelarut.
“Walaupun pelarut itu tidak lagi setulen yang anda suka atau boleh gunakan semula, syarikat masih boleh menjualnya di pasaran misalnya kepada pengusaha cat atau menghantar pelarut itu ke penyuling yang boleh menyulingnya ke tahap anda boleh gunakan,” katanya.
Implementasi teknologi seperti itu telah banyak dilaksanakan di Taiwan, Singapura dan Amerika Syarikat (AS) maka Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam membentuk industri semikonduktor yang mampan dan lestari, kata Mehbub.

Pengarah Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Dr. Nungsari Ahmad Radhi berkata, peralihan industri kepada tenaga boleh diperbaharui adalah peluang untuk negara melakukan lompatan yang bermakna.
Katanya, anjakan itu adalah agenda yang besar buat Malaysia maka kerajaan melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) banyak merangka dasar misalnya Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) bagi mendukung aspirasi tersebut.
“Jika kita berjaya menukar kebergantungan kita kepada sumber tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan hidrokarbon, kesan pencemaran dan jejak karbon akan berkurangan.
“Itu matlamatnya, jadi kita buat dasar-dasar yang menentukan sasaran dari segi jejak karbon, kemampanan dan sebagainya untuk kita capai,” ulasnya ringkas.
