Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Keseragaman pengekalan data pastikan semua penyedia tertakluk undang-undang sama

Pengekalan data yang standard, pemeliharaan dan pendedahan data merentas semua pembekal perkhidmatan akan menangani ketidakselarasan sedia ada sekali gus menutup jurang bukti serta memastikan semua penyedia beroperasi di bawah kewajipan dan perlindungan berkanun yang sama. 

Pakar Kriminologi dan Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM), Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid berkata, dari segi perspektif undang-undang, ini akan mengurangkan pertikaian mengenai kebolehterimaan dan bidang kuasa.

“Dari segi kriminologi, ia akan menyelaraskan proses, meminumkan kelewatan dan memastikan akses tepat pada masa kepada bukti kritikal, meningkatkan kemungkinan gangguan jenayah dan mendapatkan sabitan sementara mengekalkan kepercayaan awam,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, kata Haezreena, inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mewujudkan rangka kerja pengekalan, pemeliharaan dan pendedahan data dilihat sebagai tindakan yang relevan dengan tuntutan era digital.

Menurut beliau, perkembangan teknologi pesat menjadikan langkah itu penting bagi membanteras jenayah siber, dengan syarat privasi dilindungi dan undang-undang dipatuhi.

Bahkan katanya, ketiadaan rangka kerja yang konsisten atau diwajibkan oleh undang-undang pula berisiko membawa mudarat serius terhadap keselamatan awam.

“Dari perspektif undang-undang, keadaan ini boleh mengakibatkan tahap pematuhan yang tidak sekata dalam kalangan penyedia perkhidmatan, sekali gus menyebabkan pemadaman bukti penting sebelum akses sah dapat diperolehi.

“Hal ini mewujudkan jurang keterangan, melemahkan pendakwaan, dan boleh menjejaskan proses keadilan.

Pakar Kriminologi dan Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM), Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid 

Dalam kriminologi, pengekalan data yang tidak seragam menyukarkan siasatan, melambatkan pengesanan suspek, dan memberi peluang penjenayah khususnya dalam kes siber, eksploitasi kanak-kanak dan keganasan menggunakan penyedia tanpa dasar kukuh sebagai tempat selamat.

“Kehilangan petunjuk melemahkan kes individu dan mengurangkan keupayaan penguatkuasaan undang-undang untuk merungkai rangkaian jenayah, mencegah kesalahan berulang dan melindungi mangsa,” katanya.

Menurut Haezreena, akses tepat pada masanya kepada metadata komunikasi seperti rekod panggilan, alamat IP dan data geolokasi adalah penting dalam menangani jenayah serius termasuk penipuan siber, eksploitasi kanak-kanak dan keganasan.

Beliau menjelaskan, dari segi undang-undang, akses sedemikian memastikan bukti diperolehi secara sah, dipelihara dan boleh diterima di mahkamah di samping memenuhi keperluan proses sewajarnya serta membolehkan siasatan segera dilakukan sebelum data penting hilang.

“Dari sudut kriminologi, akses pantas menyokong pengenalpastian suspek, menggagalkan rangkaian jenayah dan melindungi mangsa,” katanya.

Mengulas berhubung kebimbangan privasi, Haezreena berkata ia adalah wajar, namun perlindungan seperti akses terhad, pemantauan kehakiman dan pengekalan hanya pada metadata boleh mewujudkan keseimbangan jika digubal jelas, dikuatkuasakan ketat dan disemak secara bebas.

“Dari segi undang-undang, langkah ini memastikan data digunakan secara sah dan berpatutan bagi penguatkuasaan, sekali gus mengurangkan risiko pengawasan berlebihan atau pencerobohan.

“Dari segi kriminologi, pengekalan metadata dengan akses yang memerlukan kebenaran rasmi mengekalkan nilai siasatan sambil melindungi privasi dan kepercayaan awam,” katanya.

“Keseimbangan ini bergantung pada pengawasan yang kuat, sekatan tulen terhadap kesalahan serius, dan tempoh pengekalan tidak lebih daripada yang diperlukan,” katanya.

Haezreena berkata, penolakan terhadap cadangan MCMC itu lazimnya berpunca daripada kekurangan maklumat tepat atau rasa curiga terhadap kerajaan.

Sehubungan itu, menurut beliau, pihak berkuasa dan pakar bebas perlu menangani kebimbangan yang timbul secara telus, penjelasan yang boleh diakses tentang skop dan had rangka kerja, menekankan pengawasan kehakiman, skop terhad dan kawalan akses yang ketat.

“Audit bebas, laporan awam dan kajian kes tentang penggunaan metadata tepat pada masanya boleh membantu menunjukkan bagaimana ia mencegah bahaya serta menjadikan perdebatan lebih berasaskan fakta.

“Penglibatan dengan masyarakat sivil, pejuang privasi dan sektor teknologi melalui perundingan terbuka adalah penting untuk mengatasi naratif yang didorong ketakutan dan memupuk pemahaman awam.

“Pemeliharaan dan pengekalan data adalah alat yang sangat diperlukan untuk penguatkuasaan undang-undang moden, tetapi ia mesti beroperasi dalam rangka kerja yang berkadar, telus dan menghormati hak.

“Saya menggalakkan orang ramai untuk turut serta dalam perundingan awam yang sedang dijalankan MCMC supaya pelbagai pandangan dapat dipertimbangkan, menangani kebimbangan dan pertimbangkan penambahbaikan terhadap rangka kerja ini jika perlu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS