Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digalakkan untuk lebih proaktif menceburi sektor berimpak tinggi dan membawa nilai tambah yang menjadi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, sektor seperti peralihan tenaga, teknologi digital, elektrik dan elektronik, pertanian dan industri asas tani moden yang memiliki pertumbuhan dan bernilai tinggi (HGHV) menawarkan prospek besar untuk melonjakkan sosioekonomi veteran ATM
“Saya yakin veteran ATM mampu menjadi penyumbang kepada usaha RMK13 untuk menjadikan Malaysia sebagai consumption powerhouse yang mengeluarkan produk dan perkhidmatan Made by Malaysia,” katanya.
Pada masa sama, Adly menggalakkan veteran ATM agar memperkukuh ilmu dan menguasai teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kebolehpasaran dan daya saing selaras dengan arus digitalisasi.
Beliau menambah, penguasaan teknologi, kreativiti dan inovasi turut membuka peluang pekerjaan dan pemasaran digital melalui media sosial untuk memperluas capaian produk.
“Saya cadangkan kita turut belajar daripadanya kerana ia mampu memberi banyak maklumat bermanfaat untuk perniagaan,” katanya.
Adly berkata demikian pada Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) di Tawau, Sabah, kelmarin.
Beliau turut menyampaikan Geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) kepada sembilan usahawan veteran ATM, berjumlah RM54,000.00.
Turut hadir, Ketua Pengarah Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT), Datuk Ts. Amir Md. Noor dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki.

Seramai 225 veteran ATM menerima manfaat daripada geran SPKLB berjumlah RM1.13 juta sejak dilancarkan pada 2023 hingga kini.
PUVET ATM yang sebelum ini dilaksanakan sebanyak 11 siri di Semenanjung Malaysia, buat julung kalinya diperluas ke Sabah.
Inisiatif tersebut sekali gus memperlihatkan kesungguhan Kementerian Pertahanan melalui PERHEBAT dalam meningkatkan taraf sosioekonomi veteran ATM melalui pelbagai inisiatif di seluruh negara.

Menurut Amir, tahun ini, PUVET ATM mengorak langkah baharu dengan mencorakkan semula pengisian program melalui lawatan industri bersama usahawan veteran secara langsung ke lapangan.
Katanya, melalui pendekatan itu, veteran diberi peluang bertemu pengusaha industri serta wakil agensi kerajaan negeri dan persekutuan.
“Veteran dapat menimba pengetahuan baharu mengenai perkembangan industri, memahami amalan terbaik dalam memulakan perusahaan sendiri serta memperolehi akses jaringan terhadap geran dan insentif yang ditawarkan agensi terbabit,” katanya.
Untuk rekod, sebagai permulaan, PUVET ATM membawa seramai 35 orang veteran ATM melawat tiga sektor industri utama sekitar Tawau seperti industri pelancongan dan rekreasi di Taman Rekreasi Hutan Simpan Mambalua, industri pertanian di Taman Kekal Pertanian Makanan dan Ladang Ternakan Ayam Pedaging. Ketiga-tiga premis ini diusahakan sendiri oleh veteran ATM dengan bimbingan PERHEBAT.
Sementara itu, penerima geran SPKLB Mohd Ali Osman, 51, berkata, beliau dan isteri yang mengusahakan sambal Menaq teruja menerima insentif untuk kelengkapan bagi memperluaskan perniagaan yang ditubuhkan pada 2016.
Katanya, beliau kini merancang untuk memperluaskan pasaran produk Menaq yang menampilkan sambal jenis ikan masin, udang kering, kicap pedas serta sambal tauhu pedas hingga ke Brunei.
“Saya mulakan perniagaan ini sebaik bersara daripada ATM. Dalam sebulan, dianggarkan lebih 400 botol (400 gram setiap satu) permintaan yang kami dapat.
“Selain itu, kami menjual produk secara pakej 50 gram serta 80 gram,” katanya yang menambah pengiktirafan Sijil Halal pula membantu meningkatkan jualan Menaq.
Bagi pengusaha kek lapis, Ummarang Manti, 52, usaha PERHEBAT banyak membantu usahawan veteran seperti beliau terutama dari segi kewangan dan membimbing dengan ilmu pengetahuan melalui program disediakan hingga berjaya.
“Saya pencen pada 2016, dan perniagaan dimulakan dua tahun kemudian. Namun, perusahaan yang dimulakan itu berdepan sedikit masalah sewaktu pandemik Covid-19.
“Saya bangkit selepas Covid-19 melalui PERHEBAT. Bisnes kek lapis saya semakin berkembang dan saya merancang untuk menumpukan pasaran di kawasan lapangan terbang Tawau kerana ia menjadi pintu kemasukan pelancong,” katanya yang memulakan perniagaan itu terlebih dahulu secara dalam talian.
Menurut Ummarang, selepas menerima geran, pendapatan perniagaan yang diusahakan meningkat sebanyak RM3,000 hingga ke RM4,000 sebulan.
“Dahulu pendapatan RM1,000 sebulan. Saya berharap dengan insentif diberikan ini, jualan kek lapis saya dapat berkembang dan menjana pendapatan sekurang-kurang hingga RM8,000 sebulan,” katanya.
Menurut pengusaha kabinet atau sewaan kanopi Azran Soud, 48, dia memulakan perniagaan dengan kos permulaan sebanyak RM40,000.
Beliau berkata, diharap geran yang diterima dapat mengembangkan perusahaannya di seluruh pelosok Sabah dan syarikatnya menjadi pesaing kepada pengusaha perabot lain.
“Rezeki yang saya dapat akan dimanfaatkan untuk membesarkan perniagaan,” katanya.
