JOHOR BAHRU, 25 Ogos 2025 – Johor Specialist Hospital (“JSH”), yang merupakan sebahagian daripada rangkaian KPJ Healthcare Berhad (“KPJ Healthcare”), telah menjadi hospital pertama di Malaysia yang menggunakan Sistem Visualisasi Robotik ZEISS KINEVO 900 S untuk pembedahan saraf. Sistem terkini ini digunakan dalam tiga bidang khusus di JSH iaitu pembedahan saraf, pembedahan tulang belakang dan gabungan pembedahan mikro endoskopik. Kemajuan teknologi ini memperkukuhkan perkhidmatan subkepakaran dan menawarkan akses kepada pilihan rawatan lanjutan yang lebih meluas buat pesakit.

Pakar Bedah Saraf Dr Sharon Casilda Theophilus dan pasukannya baru-baru ini menjalankan prosedur invasif minimum untuk membuang tumor di sebelah kiri tengkorak. Rawatan tersebut menggabungkan sistem baharu ini dengan platform navigasi pembedahan untuk membantu dalam visualisasi dan pemanduan alat pembedahan.
Teknologi ini menyediakan paparan imej 4K tiga dimensi untuk rujukan bersama pakar bedah dan pasukan mereka dalam masa sebenar, sekaligus meningkatkan mutu kerjasama dan latihan. Ia amat berguna untuk prosedur otak yang rumit, termasuk pembaikan aneurisme, tumor pituitari dan pembedahan pangkal tengkorak.
Ia juga membolehkan penyasaran bagi biopsi dan rangsangan otak dalam, membantu penempatan skru tulang belakang dan pembetulan kecacatan, serta digunakan untuk pembinaan semula pada telinga, hidung, tekak (“ENT”) dan pembedahan sinus. Fungsi bantuan robotik pula membantu mengurangkan gangguan aliran kerja dan meminimumkan pelarasan secara manual, sekaligus membolehkan pakar bedah kekal fokus semasa prosedur yang panjang dan rumit.
Chin Keat Chyuan, Presiden & Pengarah Urusan KPJ Healthcare berkata, "Setiap langkah yang diambil adalah berpandukan komitmen kami terhadap ‘Care for Life’. Dengan memperkenalkan sistem ini di JSH, kami sedang dalam usaha memperkasakan keupayaan pembedahan dan membangunkan generasi pakar yang akan datang. Inilah transformasi KPJ Health System dalam memacu peningkatan berterusan melalui cara kami merawat (We Heal), mendidik (We Teach) dan meneroka (We Discover), agar pesakit menerima penjagaan yang berkualiti dan berteknologi tinggi."
Dr Sharon Casilda Theophilus menambah, "Bersama-sama dengan Pakar Bedah Saraf Dr Ahmad Khan dan pasukan pembedahan, kami mempraktikkan sistem ini untuk mengukuhkan penjagaan dalam prosedur otak dan tulang belakang yang kompleks. Ia memberi kami pandangan yang lebih jelas dan kawalan yang lebih kukuh dalam pembedahan yang rumit, dan ia merupakan platform berharga untuk membimbing dan melatih generasi pakar bedah saraf yang akan datang."

Pelaksanaan teknologi canggih ini di JSH memperkukuh subkepakaran ini dan memajukan pembangunan Pusat Kecemerlangan sebagai sebahagian daripada transformasi KPJ Health System yang mengintegrasikan penjagaan klinikal, penyelidikan dan pendidikan.
Untuk maklumat lanjut mengenai KPJ Healthcare dan JSH, layari https://kpjhealth.com.my/johor.
Kandungan ini disediakan oleh KPJ Healthcare
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected]
