Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Tanah Rizab Melayu, status tanah kekal bawah Akta PSB

Kerajaan menjelaskan tiada elemen yang disembunyikan dalam Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) khususnya berhubung tanah rizab Melayu yang dijamin akan kekal statusnya, begitu juga dengan tanah pegangan bebas.

Ketua Pengarah PlanMalaysia (PlanM), Datuk TPr Dr. Alias Rameli, memberi jaminan bahawa keutamaan RUU PSB ialah memastikan hak milik asal kekal terpelihara dan komuniti tradisional terus dilindungi. 

Malah, menurut Alias, tempoh pajakan tanah dengan kebenaran sementara boleh dipanjangkan melalui budi bicara kerajaan negeri, sekali gus memberi kelebihan kepada projek perumahan bandar.

“Hakikatnya tanah rizab Melayu tidak berubah dan kelangsungan, manakala hak milik asal dan perlindungan komuniti tradisional adalah keutamaan dalam mana-mana projek pembaharuan semula bandar,” katanya dalam sidang media khas berhubung RUS PSB di Parlimen semalam.

Menurut beliau, isu pemilik asal sering menjadi hasad dalam konteks pembaharuan semula bandar. 

Kata Alias, pada masa ini, proses pembaharuan bandar hanya boleh dilakukan melalui peruntukan Akta Pengambilan Balik Tanah (APT) 1960 yang membawa kepada pengambilan tanah secara paksa.

“Melalui RUU PSB, kerajaan mahu mengelakkan berlakunya pengambilan paksa (land acquisition) terhadap bangunan-bangunan usang di bandar, sebaliknya melaksanakan pendekatan lebih inklusif yang menjaga kepentingan pemilik asal,” katanya.

Beliau turut menjelaskan proses pembaharuan semula bandar akan melalui dua peringkat perundingan dengan penduduk sebelum ambang persetujuan diambil oleh badan pengurusan bersama (JMB).

“Jika usia bangunan tersebut melebihi 30 tahun, persetujuan 75 peratus diperlukan; jika kurang dari 30 tahun, persetujuan 80 peratus diperlukan; manakala bagi bangunan yang tidak selamat atau terbengkalai, hanya 51 peratus persetujuan diperlukan.

“Apabila ada proses rundingan, itu yang membantu kefahaman penduduk dan tidak ada elemen paksaan langsung,” katanya.

Ketua Pengarah PlanMalaysia (PlanM), Datuk TPr Dr. Alias Rameli

Malah, kata Alias lagi, RUU PSB turut memperuntukkan bahawa jika penduduk sendiri secara sukarela mendaftar dengan jawatankuasa eksekutif persekutuan atau jawatankuasa eksekutif negeri, mereka perlu membuktikan persetujuan penuh 100 peratus.

“Pendekatan 75 peratus atau 80 peratus itu adalah proses perundingan awal. Selepas rundingan lanjut dibuat dan persetujuan sebenar diperoleh, barulah notis penamatan strata dikeluarkan. 

“Notis penamatan ini tetap memerlukan 100 peratus persetujuan seperti yang termaktub dalam subseksyen 57 Akta Hak Milik Strata 1985, dan perkara ini tidak berubah,” tegasnya.

Pada masa sama, Alias menjelaskan, RUU PSB menghormati sepenuhnya peranan kerajaan negeri dalam urusan tanah, perancangan dan kuasa pihak berkuasa tempatan, sekali gus mengelakkan salah faham bahawa peruntukan baharu itu mengambil alih bidang kuasa berkenaan.

“Saya ingin tegaskan sekali lagi, RUU PSB bukan untuk menggantikan undang-undang sedia ada dan kita telah meneliti dengan halus 17 perundangan selain daripada Perlembagaan Persekutuan, termasuk perkara 13 berhubung pelucutan hak yang mensyaratkan pampasan setimpal, dan perkara 153 yang memperuntukkan hak istimewa bagi orang Melayu dan bumiputera. Semua ini tidak akan terjejas,” katanya.

Menurut beliau lagi, tanggungjawab RUU PSB hanyalah untuk melengkapkan undang-undang sedia ada, bukan mengambil alih kuasa yang termaktub dalam Kanun Tanah Negara, Akta Perancangan Bandar dan Desa, serta undang-undang lain yang berada di bawah kuasa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Penjelasan itu dibuat susulan sekumpulan penyokong Perikatan Nasional (PN), sebahagian persatuan penduduk di Wilayah Persekutuan dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) berhimpun di pintu utama bangunan Parlimen, semalam.

Mereka menyerahkan memorandum bantahan bagi mendesak kerajaan menangguhkan bacaan kali kedua RUU PSB di Dewan Rakyat hari ini.

Semua 68 ahli parlimen dari PN mendakwa mereka sedia berdepan hukuman digantung daripada menghadiri sidang Parlimen selama enam bulan kerana sebulat suara dalam menentang RUU itu.

Pembangkang juga dilaporkan akan meminta undian belah bahagi sekiranya RUU PSB perlu diluluskan Dewan Rakyat.

Sebelum ini kerajaan menjemput secara rasmi ahli parlimen pembangkang untuk menyertai proses libat urus berkaitan cadangan menggubal akta tersebut, selain menganjurkan lawatan tapak pada Mei lalu.

Sesi berkenaan dirancang bagi memberi peluang kepada semua wakil rakyat melihat sendiri keadaan kawasan pembaharuan. 

Namun, tiada seorang pun yang hadir. 

Alias berkata, kerajaan sebelum itu tidak pernah menutup pintu dialog apabila sebanyak 108 sesi libat urus dan penerangan berhubung pelaksanaan RUU PSB kepada semua pihak berkepentingan diberi ruang untuk dibincangkan.

“Berkaitan dengan keterbukaan dan juga sesi libat urus, sehingga 26 Ogos (semalam), kami telah menganjurkan 108 Sesi libat urus,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS