MELAKA, 8 September 2025 — Bandar bersejarah Melaka bakal menjadi tumpuan rantau ini apabila Menteri-menteri dan Pegawai-pegawai Kanan ASEAN yang bertanggungjawab dalam keselamatan dan pembanterasan jenayah rentas sempadan berkumpul pada 9 hingga 11 September 2025 bagi menghadiri 19th ASEAN Ministerial Meeting on Transnational Crime (19th AMMTC).
Rangkaian mesyuarat bermula dengan Preparatory SOMTC yang menghimpunkan pegawai kanan, sebelum diteruskan dengan sesi utama peringkat menteri yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri Malaysia. Mesyuarat kali ini amat signifikan kerana ASEAN Plan of Action in Combating Transnational Crime (2016–2025) akan tamat pada penghujung 2025, dan pada masa sama akan mengesahkan pelan tindakan baharu untuk sepuluh tahun akan datang, iaitu ASEAN Plan of Action in Combatting Transnational Crime (2026–2035).
Antara inisiatif penting yang akan dimuktamad termasuk penubuhan Kumpulan Kerja SOMTC mengenai Pengubahan Wang Haram, penerimaan ASEAN Border Management Cooperation Roadmap, dan pengisytiharan penting seperti Melaka Declaration on Combatting Transnational Crime. Menteri-menteri turut dijangka memperakukan beberapa ASEAN Leaders’ Declarations meliputi penguatkuasaan undang-undang rentas sempadan, pencegahan pengubahan wang haram, serta inisiatif kreatif melalui aktiviti sukan bagi mengekang ekstremisme ganas.
Selain agenda substantif, mesyuarat ini juga membuka ruang untuk mengukuhkan sokongan politik bagi proses penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN. Negara itu kini giat menyiapkan langkah perundangan bagi menyertai ASEAN Convention on Counter Terrorism (ACCT) dan ASEAN Convention Against Trafficking in Persons, Especially Women and Children (ACTIP), sebagai sebahagian daripada perjalanan menuju keahlian penuh yang dijangka dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober akan datang.
Kandungan ini disediakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN)
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected]
