Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
PM bakal ketuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat APEC ke-32 di Gyeongju sebaik tamat sidang ASEAN
Diterbitkan:  Oct 29, 2025 6:47 PM
Dikemaskini: Oct 31, 2025 8:31 AM

Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, akan menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (APEC Economic Leaders’ Meeting - AELM) ke-32 yang akan diadakan di Gyeongju, Republik Korea dari 31 Oktober hingga 1 November 2025. Mesyuarat ini akan menghimpunkan 21 Pemimpin ekonomi APEC bagi merangka strategi bersama ke arah memperkukuh kesalinghubungan, inovasi dan kemakmuran yang menyeluruh di rantau Asia-Pasifik.

Kepengerusian APEC 2025 yang dianjurkan oleh Republik Korea itu bertema “Building a Sustainable Tomorrow: Connect. Innovate. Prosper.” APEC 2025 berazam untuk memperkukuh hubungan ekonomi, merapatkan jurang digital serta memacu pertumbuhan yang mampan dan menyeluruh dalam persekitaran perdagangan global yang semakin kompleks.

YAB Perdana Menteri akan turut diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz, dan Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Hasan. Kedua-dua Menteri akan turut menghadiri Mesyuarat Menteri Menteri APEC ke-36 pada 30 Oktober 2025. Penyertaan Malaysia di Gyeongju, susulan kejayaan penganjuran sebagai Pengerusi ASEAN 2025, mencerminkan komitmen berterusan negara untuk menyelaras keutamaan ekonomi negara melalui peranan aktif dalam membentuk rencana ekonomi serantau.

Tengku Zafrul berkata, “Di sebalik dinamika ekonomi global yang semakin bergolak – daripada pola perdagangan, gangguan teknologi yang pesat hingga ke perubahan demografi – Malaysia terus menganggap APEC sebagai platform penting bagi tindakan kolektif dan kemajuan bersama. Berpandukan keyakinan kami dan prinsip MADANI, delegasi ini kekal komited kepada sistem perdagangan pelbagai hala yang adil dan telus berasaskan peraturan. Agenda kami berteraskan pertumbuhan mampan, dipacu oleh transformasi digital, kerjasama serantau dan pembangunan inklusif.”

Komitmen ini sejajar dengan tiga (3) bidang keutamaan Republik Korea bagi APEC 2025, iaitu memperkukuh kesalinghubungan melalui sistem perdagangan pelbagai hala yang telus dan inklusif; memacu inovasi melalui kerjasama kecerdasan buatan (AI) yang boleh dipercayai dan kebolehoperasian; serta mempertingkat kemakmuran melalui perdagangan yang mampan dan menyeluruh bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati di semua peringkat.

Sempena perhimpunan para Pemimpin APEC di kota bersejarah Gyeongju, mereka dijangka membincangkan hala tuju strategik rantau ini dalam menghadapi cabaran dan ketidaktentuan perdagangan global, serta mengenal pasti langkah-langkah bagi memperkukuh pertumbuhan ekonomi serantau yang mampan dan inklusif. Sejurus mencapai kata sepakat, para Pemimpin dijangka akan mengumumkan Deklarasi Gyeongju, yang merangkumi keberhasilan utama penganjuran APEC Korea, termasuk Inisiatif AI APEC, Rangka Kerja Kolaboratif Mengenai Perubahan Demografi, serta Kenyataan Pemimpin mengenai Kerjasama dalam Industri Budaya dan Kreatif (CCI).

Tengku Zafrul menambah, “Malaysia percaya bahawa agenda APEC yang kukuh mampu mengubah kemajuan teknologi, sosial dan struktur, lantas menjadi pemangkin kepada penciptaan peluang, ruang inovasi dan kemakmuran bersama. Mesyuarat AELM kali ini juga merupakan wadah penting kepada Malaysia untuk menggesa APEC memanfaatkan kekuatannya, menerima perspektif baharu, dan memperkukuh peranannya dalam ekosistem perdagangan dan pelaburan global yang sentiasa berubah.”

Di sela-sela AELM, YAB Perdana Menteri dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan sejawat, perbincangan bersama pemimpin perniagaan serta sesi bersama media ke arah memperkukuh usaha Malaysia dalam bidang perdagangan, pelaburan, inovasi AI dan pembangunan tenaga mampan.

APEC yang sehingga kini kekal sebagai pentas paling berpengaruh dalam hal-hal ekonomi global, adalah sebuah organisasi serantau yang merangkumi lebih 3 bilion penduduk dan menyumbang 61 peratus kepada KDNK dunia serta 46 peratus kepada perdagangan global. Unjuran pertumbuhan APEC dijangka meningkat sebanyak 2.9 peratus pada tahun 2026, didorong oleh perdagangan yang semakin luas, inovasi digital yang pesat dan permintaan pengguna yang kukuh. Dalam senario yang dinamik ini, AELM di Gyeongju berpotensi menjadi platform penting bagi ekonomi anggotanya, termasuk Malaysia, untuk merangka hala tuju seterusnya ke arah pertumbuhan serantau yang lebih mampan dan inklusif.


Kandungan ini disediakan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS