Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Bantuan Penghargaan SARA jadi pemangkin peniaga kecil lebih berdaya saing

WAWANCARA | Bantuan tunai Penghargaan SARA bernilai RM100 mungkin kelihatan sedikit, namun bagi ramai peniaga kecil ia menjadi titik tolak penting untuk memulakan atau memperkukuh perniagaan masing-masing.

Bantuan berkenaan bukan sekadar sokongan sementara, tetapi pemangkin peningkatan siling ekonomi rakyat yang berpendapatan rendah melalui aktiviti keusahawanan kecil.

Langkah itu membuktikan bahawa walaupun nilai bantuan sederhana, impaknya besar terhadap kesejahteraan rakyat dengan membantu memperkukuh asas ekonomi isi rumah serta menaikkan siling ekonomi negara ke tahap lebih baik.

Ikuti temubual Malaysiakini baru-baru ini bersama beberapa peniaga yang bijak mencipta peluang dan meningkatkan taraf hidup melalui Penghargaan SARA: 

1. Penjual aiskrim Malaysia guna RM100 beli gula, susu dan kordial 

Peniaga aiskrim tempatan, Ruzaini Azreen Azmi menyatakan bahawa walaupun jumlah bantuan Penghargaan SARA tidak besar, ia tetap memberi makna kepada peniaga kecil sepertinya kerana mampu mencipta peluang baharu untuk berkembang.

Beliau yang menjalankan perniagaan aiskrim sepenuh masa di Kajang berkata, jumlah bantuan itu digunakan sepenuhnya untuk membeli bahan asas seperti susu, gula dan kordial, sekali gus membolehkannya menghasilkan kira-kira 800 batang aiskrim.

“Mulakan dengan apa yang ada. Jangan pandang rendah pada permulaan yang sederhana kerana dari situ kita boleh kembangkan perniagaan,” katanya sambil menasihatkan usahawan kecil agar tidak memandang ringan nilai bantuan kerajaan yang diterima.

Ruzaini Azreen Azmi menasihatkan usahawan kecil agar tidak memandang ringan nilai bantuan Penghargaan SARA sebanyak RM100 yang diterima

Ruzaini berkata, hasil jualan sebanyak 800 batang aiskrim boleh mencecah RM400, dengan modal sekitar RM100 dan keuntungan bersih kira-kira RM300, ia bukti bahawa bantuan kecil mampu menjana pulangan yang berterusan.

“Kalau 800 batang aiskrim dijual, hasilnya kira-kira RM400. Modal saya sekitar RM100, untung bersih dalam RM300. Jadi, boleh dikatakan berbaloi sebab beranak juga hasilnya.

“Saya pun bukan buat aiskrim premium seperti yang banyak dijual sekarang,” kata Ruzaini yang menggunakan resepi arwah nenek sejak awal berniaga.

Kejayaan beliau mencerminkan semangat Ekonomi MADANI yang menekankan peningkatan siling ekonomi rakyat melalui penciptaan peluang dan pengukuhan daya tahan isi rumah. 

Inisiatif seperti Penghargaan SARA bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi akar umbi apabila rakyat memanfaatkannya untuk memperkukuh perniagaan dan memperluas pasaran.

Beliau yang menjual aiskrim Malaysia berharga RM0.50 sebatang melalui platform Rae Home di TikTok menerima tempahan secara borong atau untuk majlis sahaja.

2. Pengusaha makanan untung RM300 seminggu guna duit penghargaan SARA 

Berkongsi pengalaman sama, pengusaha Ain Hana Bakes dan makanan panas, Nurain Farhana Bahruddin 33, berkata, sebaik menerima sumbangan Penghargaan SARA, beliau menggunakan bantuan itu sebagai modal pusingan perniagaan bagi menambah hasil jualan.

Menurut beliau, langkah itu bukan saja memperluas operasi, sekali gus menyumbang kepada usaha menaikkan siling ekonomi isi rumah melalui peningkatan pendapatan dan keupayaan berdikari.

Dengan modal RM100, Nurain mampu menjana semula jualan mingguan antara RM400 hingga RM500

Dengan modal RM100, Nurain mampu menjana jualan mingguan antara RM400 hingga RM500, dengan keuntungan bersih sekitar RM300. 

“Daripada sumbangan itu, saya dapat beli barang asas seperti beras, makaroni, spageti dan bahan-bahan kering lain.

“Bagi saya, Penghargaan SARA memang bermanfaat. Bukan sekadar bantu saya, tetapi juga ramai suri rumah lain yang ingin menjana pendapatan sendiri dari rumah,” katanya.

Menurut beliau, inisiatif seperti itu memberi ruang kepada golongan suri rumah untuk menjana pendapatan dari rumah sekali gus memperkukuh asas ekonomi keluarga  dalam membina masyarakat yang lebih sejahtera dan berdaya tahan.

3. RM100 hasilkan 100 bekas bubur sagu sum sum berharga RM5 setiap satu

Sementara itu, suri rumah Siti Norsara Zainal, 35, berkata bantuan Penghargaan SARA menjadi titik permulaan penting untuknya memulakan jualan Bubur Sagu Sum Sum Gula Melaka selepas suaminya kehilangan pekerjaan.

Beliau berkata, bermodalkan RM100, dia mampu menghasilkan 100 bekas bubur untuk dijual pada harga RM5 setiap satu, sekali gus memperoleh pendapatan bulanan sekitar RM900 selepas ditolak kos bahan mentah.

“Alhamdulillah, walaupun nampak kecil, hasilnya besar bagi saya. Ia beri semangat untuk terus berniaga dan bantu keluarga,” katanya yang kini memasarkan produknya melalui media sosial dan vendor tempatan.

Melalui Penghargaan SARA RM100, Siti Norsara berjaya meraih keuntungan bersih sekitar RM900 sebulan selepas ditolak kos bahan mentah

Menurut Siti Norsara, tanpa bantuan Penghargaan SARA, beliau mungkin sukar untuk memperoleh modal kerana sebelum ini beliau tidak mempunyai pendapatan tetap. 

Katanya, inisiatif tersebut bukan sahaja membuka peluang menjana pendapatan, tetapi turut membantu menaikkan siling ekonomi keluarga dengan memberi ruang untuk berdikari dan mengukuhkan kestabilan kewangan isi rumah.

Beliau turut menzahirkan kesyukuran apabila mengetahui program itu akan diteruskan pada tahun hadapan.

“Saya bersyukur apabila dapat tahu program ini akan diteruskan. Harap kerajaan boleh bantu menganjurkan kelas pemasaran atau pengurusan kewangan untuk peniaga kecil seperti kami kembangkan lagi perniagaan selepas ini,” katanya.

Norsara bersyukur kerana program Penghargaan SARA akan diteruskan lagi pada tahun hadapan

Sejak 31 Ogos lebih 18.3 juta rakyat atau 83 peratus daripada penerima Penghargaan SARA telah berbelanja sebanyak RM1.63 bilion ringgit. Sumbangan itu sah digunakan sehingga 31 Disember 2025.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS