Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Rumah Ronald McDonald di HCTM UKM Sokong Keluarga Pesakit Pediatrik
Diterbitkan:  Nov 12, 2025 5:57 PM
Dikemaskini: 10:13 AM

Bagi ibu bapa yang menjaga anak sakit, setiap hari adalah ujian kasih dan ketabahan—berjaga di hospital, berulang-alik dari jauh, serta menanggung pelbagai kos demi memastikan anak menerima rawatan terbaik.

Di Rumah Ronald McDonald (RMH), pelbagai kemudahan disediakan untuk keluarga yang memerlukan, khususnya mereka yang mempunyai anak yang sedang menjalani rawatan perubatan.

Sempena Program Bulan Komuniti McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) yang ke-9 tahun ini, McDonald’s Malaysia bersama RMHC Malaysia telah mengadakan lawatan khas di Rumah Ronald McDonald, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM).

Kemudahan Lengkap RMH HCTM UKM Ringankan Beban Keluarga

Sejak mula beroperasi pada tahun 1999, RMH HCTM UKM merupakan rumah pertama di Malaysia dan di Asia Tenggara yang dibangunkan sebagai sumbangan RMHC Malaysia kepada pihak hospital. Rumah banglo tiga tingkat ini berfungsi sebagai penginapan sementara kepada hampir 1,000 keluarga setiap tahun, lengkap dengan 18 bilik tidur, dapur, ruang makan, bilik dobi, surau, taman permainan dan mini gimnasium.

Di RMH, setiap kanak-kanak disambut dengan mainan percuma semasa penginapan, menambahkan keceriaan dan boleh dibawa pulang sebagai kenangan manis sepanjang rawatan mereka. Rumah ini juga dilengkapi dengan kemudahan dapur lengkap seperti ketuhar, air fryer, serta bahan-bahan asas seperti beras, kicap dan rempah, membolehkan ibu bapa menyediakan masakan sendiri untuk anak-anak, seperti di rumah sendiri.

“Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025, RMH di seluruh negara mencatat kadar penghunian purata 82%, menunjukkan keperluan yang berterusan terhadap kemudahan penginapan berhampiran hospital. 

Teras kepada usaha kami ialah menyediakan perkhidmatan penting yang dapat meringankan beban keluarga serta menyokong proses penyembuhan apabila anak memerlukan rawatan, dikelilingi kasih sayang keluarga mereka,” kata Mohd Nasri Mohd Nordin, Pengurus Besar RMHC Malaysia.

Berdasarkan kajian Persatuan Profesional Kehidupan Kanak-Kanak (Professional Association for Children’s Life, ACLP), sokongan emosi daripada ibu bapa dan pakar kehidupan kanak-kanak (child life specialists) membantu anak berasa lebih tenang, selamat, serta dapat mengurangkan tahap kebimbangan dan tekanan semasa berada di hospital. 

Di sinilah peranan Rumah Ronald McDonald, bukan sekadar tempat bermalam, tetapi sebuah rumah yang menjadi ruang untuk keluarga saling menyokong antara satu sama lain.

Hospital & RMHC Malaysia Bersama Perkukuh Penjagaan Pesakit Pediatrik

Menurut Datin Dr. Anita Sulong, Timbalan Pengarah (Diagnostik & Sains Kesihatan), Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani (TABTAR), Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM, pihak hospital amat menghargai kerjasama erat bersama RMHC Malaysia dan McDonald’s Malaysia yang telah menjadi rakan penting dalam menyokong keluarga pesakit kanak-kanak sejak tahun 1999. Usaha ini bermula dengan pesakit pediatrik di Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan kini diteruskan melalui perkhidmatan kepada keluarga pesakit di TABTAR, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM.

Beliau turut berkata bahawa HCTM UKM dan TABTAR komited untuk terus bekerjasama dengan RMHC Malaysia dalam memperkukuh penjagaan kesihatan berasaskan keluarga atau Family-Centered Care. Harapan beliau agar lebih ramai keluarga dapat merasai manfaat dan sokongan yang disediakan melalui RMH di hospital tersebut.

RMHC Meneruskan Tradisi Menyokong Komuniti

Bagi Nur Hazwani Binti Harun, salah seorang ibu yang menginap di RMH, beliau berkongsi kisah bersama anaknya, Muhammad Aisy Al-Amin Bin Zulfadhli yang menghidap kronik paru-paru. Beliau berkongsi, “Sebelum mendapat tempat di sini, kami terpaksa tidur di dalam kereta demi memastikan kami boleh berada di hospital secepat mungkin apabila doktor ingin berjumpa dengan kami berkaitan keadaan anak saya, Aisy.”

“Apabila kami tiba di Rumah Ronald McDonald, perasaannya sungguh melegakan—seperti berada di rumah sendiri walaupun jauh dari rumah. Kemudahan yang disediakan, terutama bilik dobi, amat membantu kerana saya masih boleh menguruskan keperluan harian sambil menemani Aisy,” tambahnya.

Bagi beliau, suasana positif di rumah ini memberi semangat tambahan kepada anaknya untuk terus berjuang. Rumah ini turut menyediakan ruang selesa untuk kanak-kanak pulih selepas kemoterapi, membolehkan mereka berehat tanpa risiko komplikasi, sambil menerima sokongan moral daripada ibu bapa dan keluarga lain yang senasib.

Sementara itu, Teruna Bin Timpal, seorang bapa turut berkongsi kisah anaknya, Nor Aliya Natasha Binti Teruna, yang menghidap leukemia dan mula menjejakkan langkah rawatan di rumah ini sejak berusia dua tahun.

Menurut beliau, RMH membolehkan keluarga mereka tinggal berdekatan dengan hospital tanpa perlu menanggung kos perjalanan tinggi setiap hari. Sepanjang menetap di sini, mereka menikmati kemudahan lengkap seperti dapur dan ruang dobi yang memudahkan urusan harian, manakala anak-anak dapat bermain dan bersosial dengan rakan sebaya yang turut menerima rawatan, membentuk komuniti yang saling menyokong.

Aliya sendiri berkongsi bahawa dia mempunyai ramai kawan di rumah ini, terutama yang menjalani rawatan serupa. Mereka sering bersama-sama menyambut ulang tahun dan menyertai pelbagai aktiviti bulanan, menjadikan pengalaman ini bukan sahaja membantu proses rawatan, tetapi juga memberi peluang kepada kanak-kanak untuk bersosial dan merasa normal walaupun sedang menghadapi penyakit serius.

Selain RMH HCTM UKM, terdapat tiga lagi Rumah Ronald McDonald di seluruh Malaysia iaitu di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur, dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah. 

RMHC Malaysia turut menjalankan tiga lagi inisiatif utama yang keseluruhannya menyentuh aspek kebajikan, kesihatan dan pendidikan kanak-kanak. 

Selain daripada Rumah Ronald McDonald, RMHC Malaysia juga menyumbang Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald kepada hospital pengajar, pusat-pusat pendidikan khas dan pusat-pusat jagaan anak-anak istimewa di 36 lokasi di seluruh negara.

RMHC Malaysia juga memberi tajaan penuh pembedahan pembetulan kepada anak-anak yang dilahirkan klef (sumbing bibir dan lelangit) melalui program Anugerah Senyuman, dan Pek Kembali ke Sekolah kepada anak-anak keluarga asnaf dan berpendapatan rendah. 

Segala usaha ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan berterusan daripada McDonald’s Malaysia dan sumbangan para pelanggan melalui tabung RMHC dan kiosk pesanan di semua restoran McDonald.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS