Johor Bahru, 1 Disember 2025 - KPJ Healthcare Berhad (“KPJ Healthcare” atau “Kumpulan”) hari ini melancarkan Pusat Kecemerlangan pertama di bawah KPJ Health System (“KPJHS”), menandakan langkah penting dalam transformasi Kumpulan ke arah sistem kesihatan akademik yang bersepadu. Pusat Kecemerlangan Jantung dan Paru-paru yang pertama ini ditubuhkan di Johor Specialist Hospital (“JSH”) dan akan menjadi teras penyelarasan perkhidmatan melalui protokol rawatan yang seragam, semakan kes multidisiplin dan penambahbaikan berasaskan data di seluruh rangkaian KPJ.

Dilancarkan pada tahun 2024, KPJHS mengintegrasikan tiga komponen utama iaitu Amalan Klinikal, Pendidikan (melalui KPJ Healthcare University; KPJU) serta Penyelidikan dan Inovasi bagi mengukuhkan tadbir urus klinikal serta meningkatkan pengalaman pesakit yang lebih konsisten di semua hospital KPJ. Selaras dengan pembangunan ini, KPJ Healthcare telah memeterai penglibatan khidmat rundingan dengan Mayo Clinic Global Consulting untuk memperkukuh keupayaan klinikal dan akademik Kumpulan, merangkumi standard klinikal, pengalaman pesakit, rangka kerja pendidikan dan bidang penyelidikan bagi menyokong pembangunan Pusat Kecemerlangan berasaskan amalan terbaik antarabangsa.

Dato’ Syed Mohamed Syed Ibrahim, Presiden & Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Pengerusi KPJU dan Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan KPJHS, berkata, “Penubuhan pusat kecemerlangan ini membawa mandat yang jelas: satu sistem, satu standard, hasil yang lebih baik. KPJHS menyediakan hala tuju yang lebih tersusun untuk mencapai hasil yang boleh diukur, sekali gus memastikan pesakit menerima rawatan yang lebih selamat, akses yang lebih pantas dan pengalaman yang lebih konsisten di hospital-hospital kami.”
Chin Keat Chyuan, Presiden & Pengarah Urusan KPJ Healthcare berkata, “Pelancaran pusat kecemerlangan pertama ini menandakan peralihan kami ke arah sistem kesihatan bersepadu yang menyeluruh. Melalui KPJHS, amalan klinikal diperkukuh dengan pendidikan berstruktur dan penyelidikan yang diterapkan dalam rutin harian supaya kami dapat meningkatkan hasil rawatan dan menyediakan pengalaman yang lebih konsisten di seluruh rangkaian.”

Fokus utama Pusat Kecemerlangan Jantung dan Paru-Paru JSH meliputi:
Pendekatan klinikal yang seragam melalui protokol rawatan, perkongsian kepakaran dan semakan kes multidisiplin bagi menyokong rawatan yang tepat pada masanya serta berasaskan bukti.
Pembangunan kapasiti klinikal melalui kerjasama dengan KPJU, termasuk latihan berasaskan simulasi, penempatan klinikal dan sesi semakan kes untuk membangunkan bakat yang bersedia untuk masa hadapan.
Integrasi digital dan data dalam proses kerja klinikal bagi menyokong keputusan klinikal dan meningkatkan konsistensi dalam penyampaian rawatan.
Penambahbaikan berterusan melalui inisiatif peningkatan amalan yang sedang dilaksanakan di JSH untuk memperkukuh hasil rawatan dan akauntabiliti di seluruh perkhidmatan klinikal.

Penubuhan Pusat Kecemerlangan Jantung dan Paru-Paru di JSH membuka lembaran baharu dalam pembangunan rangkaian 15 Pusat Kecemerlangan yang akan direalisasikan sehingga tahun 2030. Inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada KPJHS untuk meningkatkan keupayaan klinikal, akses perkhidmatan dan nilai kepada pesakit serta komuniti di seluruh negara. Pelancaran ini disaksikan oleh Tan Sri Dato’ Sri Dr Ismail Bakar, Pengerusi KPJ Healthcare; Chin Keat Chyuan, Presiden & Pengarah Urusan KPJ Healthcare; Royston Lek, Naib Presiden, Global Commercial Solutions, Mayo Clinic International; serta barisan pemimpin klinikal kanan dari seluruh rangkaian KPJ.
Kandungan ini disediakan oleh KPJ healthcare
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected]
