Malakoff Corporation Berhad (“Malakoff” atau “Kumpulan”) hari ini mengumumkan keputusan kewangannya bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025 (“Q3 FY2025”). Kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM1,690.5 juta, iaitu 23.8% lebih rendah berbanding RM2,219.2 juta pada suku yang sama tahun lalu. Penyusutan ini adalah sebahagian besarnya berpunca daripada pembayaran tenaga yang lebih rendah daripada Tanjung Bin Power Sdn. Bhd. (“TBP”) dan Tanjung Bin Energy Sdn. Bhd. (“TBE”) berikutan penurunan Harga Arang Batu Digunapakai (“ACP”), serta pembayaran tenaga yang lebih rendah daripada Segari Energy Ventures Sdn. Bhd. (“SEV”) susulan penurunan daripada kadar pengagihannya.
Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (“PATMI”) bagi Q3 FY2025 adalah RM28.2 juta, berbanding RM86.9 juta pada Q3 FY2024, yang menunjukkan penurunan sebanyak 67.5%. Penyusutan ini didorong oleh kehilangan pembayaran kapasiti TBE yang berpunca daripada kebocoran paip turbin stim serta margin bahan api negatif di TBP berikutan penurunan harga arang batu. PATMI yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lalu adalah lebih tinggi berikutan pengiktirafan tuntutan insurans TBE bagi sebahagian daripada asetnya. Prestasi suku ini bagaimanapun diimbangi oleh pengembalian peruntukan nilai bersih boleh direalisi untuk inventori arang batu, selaras dengan aliran pergerakan ACP yang menggalakkan.
Subsidiari Kumpulan, Alam Flora Sdn. Bhd. (“Alam Flora”), turut mencatatkan perkembangan positf dalam perniagaan konsesi dan bukan konsesi, berikutan peningkatan jumlah sisa yang dikutip dan diuruskan. Hasil bagi suku semasa mencatatkan penyusutan kecil sebanyak 1%, manakala PATMI meningkat sebanyak 3% berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Momentum positif segmen penyelesaian alam sekitar ini dijangka dapat mengimbangi prestasi yang lebih mencabar dalam perniagaan tenaga Kumpulan. Sejajar dengan perkembangan ini, Alam Flora akan terus meneroka peluang konsesi baharu dan memperkukuh tumpuannya dalam perniagaan sisa terjadual.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Syahrunizam Tan Sri Samsudin, berkata Malakoff terus mencatat kemajuan yang konsisten dalam mengukuhkan peranannya dalam peralihan tenaga negara.
“Peralihan Malaysia ke arah tenaga boleh baharu (“RE”) semakin berkembang dan kami berbesar hati melihat Malakoff menyumbang secara bermakna ke arah agenda ini. Surat Pemberitahuan Kerajaan bagi projek solar 470 MW kami di Larut dan Matang merupakan pencapaian penting buat Malakoff. Ia bakal menjadi pembangunan solar tapak tunggal terbesar di negara ini yangdilaksanakan bersama Solarvest Holdings Berhad di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga Solar selama 21 tahun dengan Tenaga Nasional Berhad”.
“Peranan kami turut diperluas di Malaysia Timur melalui Perjanjian Pembelian Tenaga selama 30 tahun dengan Syarikat SESCO Berhad bagi projek solar 100 MW di Bintulu, Sarawak. Selain menyokong agenda RE Sarawak, projek ini dijangka membawa manfaat ekonomi yang lebih meluas termasuk penciptaan pekerjaan, pembangunan bakat dan peningkatan infrastruktur tempatan. Di samping itu, Perjanjian Tempahan dengan Mitsubishi Power Ltd. membolehkan kami mendapatkan peralatan kritikal lebih awal, memastikan pembangunan loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan 1,400 MW yang dirancang dapat diteruskan dengan lebih yakin walaupun berdepan tekanan rantaian bekalan global”.
“Kedua-dua projek ini mengukuhkan tonggak Penyelesaian Hijau kami dan memperlihatkan hala tuju Malakoff dalam menerajui inisiatif peralihan tenaga negara. Usaha ini mencerminkan skala dan aspirasi kami untuk memenuhi keperluan tenaga jangka panjang negara”.
“Dari tonggak Penyelesaian Hijau, projek Waste-to-Energy (“WTE”) kami di Sungai Udang terus mencatat kemajuan, melalui pemeteraian kontrak Kejuruteraan, Perolehan dan Pembinaan pada 13 November 2025. Ini menandakan peralihan rasmi projek tersebut ke fasa pelaksanaan dan membawa kami selangkah lebih dekat ke arah merealisasikan kemudahan WTE berskala besar pertama Malakoff. Dengan memanfaatkan sinergi bersama Alam Flora, Malakoff berada pada kedudukan yang strategik untuk membuka aliran hasil baharu dan meningkatkan nilai mampan kepada para pemegang taruh. Alam Flora baru-baru ini turut memperkukuh peranannya sebagai penyedia perkhidmatan alam sekitar terkemuka apabila menerima Anugerah Kecemerlangan Kelestarian Alam Sekitar sempena Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-20 Persatuan Pengurusan Sisa Malaysia. Pencapaian ini mencerminkan kemajuan nyata dalam mempertingkat kebersihan bandar dan mengoptimumkan amalan pengurusan sisa”.
Sempena ulang tahun ke-50 Malakoff, Kumpulan terus memperkukuh perniagaan terasnya sambil mempercepat peralihan ke arah penyelesaian tenaga yang lebih bersih dan mampan. Dengan pengiktirafan terkini di Anugerah Tenaga Kebangsaan 2025 dan Anugerah Tenaga ASEAN 2025, Malakoff mengukuhkan komitmennya terhadap agenda peralihan tenaga negara dan aspirasinya untuk membina portfolio tenaga yang lebih berdaya tahan dan memacu masa hadapan yang selari dengan amalan yang lebih lestari.
Untuk maklumat lanjut mengenai Malakoff, sila layari www.malakoff.com.my.
Kandungan ini disediakan oleh Malakoff
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected]
