Majlis graduasi bagi 270 penuntut dari Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) telah berlangsung serentak, hari ini.
Menteri Pertahanan (MENHAN), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyempurnakan majlis graduasi bagi sesi 2025 itu di Auditorium Utama, Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Putrajaya.
Graduan terlibat terdiri dari pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang meliputi ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk pegawai angkatan tentera negara asing, Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) daripada kementerian dan agensi kerajaan iaitu Kementerian Pertahanan (MINDEF), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Khaled Nordin berkata, kekuatan tentera secara amnya sentiasa mencerminkan kekuatan pendidikan mereka dan kualiti tentera Malaysia mencerminkan kualiti pemikiran, latihan, dan profesionalisme mereka.
“Sebagai graduan PUSPAHANAS, tradisi kecemerlangan yang membanggakan ini harus anda teruskan dengan menjadi pejuang dan pemimpin strategik bagi meluaskan tujuan keamanan dan kestabilan.

“Persahabatan dan hubungan yang telah anda jalin di sini kini menjadi aset strategik yang satu hari nanti akan membantu menghalang konflik, membolehkan kolaborasi masa hadapan dan membina semula kepercayaan dalam saat-saat ketidakpastian.
“Ini adalah kuasa diplomasi pertahanan yang tenang namun bertindak kuat, dibina bukan berasaskan senjata, tetapi berlandaskan perkongsian, persefahaman, dan komitmen bersama,” katanya.
Bagi sesi pertama, MENHAN menyempurnakan penganugerahan sijil kursus dan lencana MKN kepada 24 orang penuntut kursus MKN siri 6/2025 yang terdiri daripada 17 orang pegawai kanan berpangkat Brigedier Jeneral dan Kolonel setaraf ketiga-tiga cabang perkhidmatan serta 7 orang pegawai kanan negara asing.
MKN merupakan institusi tunggal yang membahaskan sembilan tonggak Dasar Keselamatan Negara secara khusus serta menjadi platform mempromosikan Whole of Government Approach dan penekanan berkaitan kesedaran keselamatan.

Sesi kedua pula menyaksikan penganugerahan Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) berserta sijil kursus dan lencana MPAT kepada 70 orang penuntut kursus MPAT siri 45/2025, merangkumi pegawai kanan berpangkat Leftenan Kolonel setaraf ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM, 5 orang pegawai kanan dari angkatan tentera asing serta seorang pegawai kanan dari PDRM, seorang pegawai kanan APMM dan dua orang pegawai kanan dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Pengajian MPAT bertujuan melahirkan pegawai kanan tentera dan awam yang dapat berinteraksi secara efisien dengan badan pemerintah, ahli akademik dan cendekiawan bagi aspek pertahanan dan keselamatan.
Sesi terakhir disempurnakan menerusi penganugerahan diploma beserta sijil kursus dan lencana MTAT kepada 176 orang penuntut kursus MTAT siri 54/2025 berpangkat mejar dan setaraf ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM, 33 orang pegawai tentera negara asing dan seorang pegawai kanan APMM.
Kursus MTAT bertujuan melahirkan pemimpin yang berkualiti dan memiliki kemahiran merancang, melaksanakan dimensi peperangan serta pengurusan sumber dalam domain peperangan bersama.
Turut hadir adalah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam bin Jaffar; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Sri Muhammad Hafizuddeain bin Jantan; Panglima Tentera Laut; Laksamana Tan Sri Dr. Zulhelmy bin Ithnain; Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Sri Muhamad Norazlan bin Aris; Presiden PUSPAHANAS, Laksamana Madya Datuk Sabri bin Zali; atase-atase pertahanan serta pegawai kanan ATM dan awam.
