Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Malaysia perlu lahirkan lebih ramai “hero kimia” untuk industri global

Layari portal NIMP sekarang dan mohon segera untuk membina kerjaya masa depan anda

WAWANCARA | Pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) yang diterajui oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dengan fokus kepada pengukuhan ekosistem kimia dan kejuruteraan dijangka merancakkan permintaan terhadap jurutera keselamatan proses di negara ini.

Dengan NIMP 2030 menekankan pemodenan industri kimia, peningkatan standard keselamatan serta penggunaan teknologi berimpak tinggi, keperluan kepakaran dalam menganalisis risiko, mengurus operasi berbahaya dan memastikan pematuhan piawaian antarabangsa semakin mendesak.

Seiring berkembangnya fasiliti kimia dan petrokimia, jurutera keselamatan proses memainkan peranan penting dalam melindungi nyawa, aset dan alam sekitar. Namun, negara masih berdepan kekurangan tenaga mahir yang benar-benar berpengalaman dalam disiplin ini.

Bagi memastikan transformasi industri di bawah NIMP 2030 dapat dicapai sepenuhnya, Malaysia perlu melahirkan lebih ramai jurutera keselamatan proses melalui peningkatan latihan praktikal, pengukuhan pensijilan, serta kerjasama rapat antara universiti dan pemain industri.

Langkah itu penting bagi memastikan sektor kimia dan kejuruteraan negara terus berkembang dengan selamat, berdaya saing dan sejajar aspirasi NIMP 2030.

Ikuti temubual Malaysiakini dengan Jurutera Keselamatan Proses Petronas, Ir.Ts. Amirzudin Mizuar bagi memahami perjalanan kerjayanya, masa depan sektor itu serta cabaran sebenar di lapangan berkenaan.

Bagi Amirzudin, minat terhadap proses keselamatan kimia tumbuh ketika bidang itu masih baharu dan sangat memerlukan kepakaran tempatan. 

Beliau melihatnya sebagai peluang kerjaya yang besar untuk membangunkan program keselamatan proses, sekali gus menyumbang kepada pengurangan risiko dalam industri.

“Industri kimia melibatkan proses mengolah bahan mentah dan kebanyakannya bukan organik serta berasal daripada hasil galian yang berbahaya, toksik serta mudah terbakar kepada produk pertengahan atau pengguna yang lebih selamat.

“Proses ini menggunakan pelbagai prinsip dan formula kimia yang diiktiraf, termasuk teknik seperti bancuhan, sulingan, serapan, pemisahan dan tindak balas pada suhu serta tekanan tinggi,” katanya.

Mengimbas awal kerjayanya, Amirzudin berkata, beliau bermula sebagai eksekutif operasi di kilang penapisan minyak pada tahun 1998.

Katanya, pengalaman dalam lapangan itu menjadi asas kepada kepakarannya hari ini.

“Saya mengawasi tangki, jeti, perkapalan, rawatan air dan bancuhan minyak. Selepas itu saya berpindah ke seksyen reliability di jabatan penyelenggaraan dan kemudian ke proses keselamatan kimia hingga kini,” katanya.

Kemahiran kritikal: Gabungan teknikal, perundangan dan analisis risiko

Menurut Amirzudin, seorang jurutera keselamatan proses perlu memiliki kemahiran kritikal khususnya dalam sektor minyak dan gas bagi menempatkan diri sebagai profesional yang kompeten dalam bidang tersebut.

“Seseorang jurutera perlu memiliki pemahaman dan pengalaman mendalam tentang kawalan serta peralatan keselamatan loji, sifat bahan kimia, piawaian reka bentuk loji, selain pengetahuan mengenai undang-undang keselamatan pekerja dan risiko bahaya besar.

“Kemahiran menganalisis risiko secara kualitatif dan kuantitatif menjadi keperluan asas dalam memastikan keselamatan proses berada pada tahap terbaik,” katanya.

Menurut beliau, cabaran terbesar dalam memastikan proses keselamatan, terutamanya ketika berurusan dengan bahan kimia berisiko tinggi, ialah mengimbangi kos dan keselamatan mengikut prinsip ‘As Low As Reasonably Practicable.’

Selain itu, katanya, membentuk dan mengekalkan budaya keselamatan proses dalam kalangan semua pekerja syarikat serta memperoleh kepercayaan majikan untuk melaburkan sumber, masa, tenaga dan kewangan juga menjadi aspek kritikal, terutamanya apabila syarikat sering menghadapi tekanan untuk mengambil jalan pintas dan bekerja lebih cepat.

Pada masa sama, Amirzudin menekankan bahawa graduan baharu dalam bidang kejuruteraan kimia masih menghadapi beberapa jurang kemahiran asas. 

Katanya, antara cabaran utama ialah kurang mahir mengira perubahan tekanan, memahami sifat bahaya bahan kimia, berinteraksi dengan ketua dan pekerja bawahan, serta mengenali peralatan dan kelengkapan loji.

Namun, beliau percaya jurang sebegitu boleh diatasi. 

“Ia boleh dilakukan melalui latihan di lapangan, bimbingan daripada pensyarah berpengalaman industri, serta pendedahan praktikal yang memberikan pengalaman sebenar kepada graduan sebelum menyertai pasaran kerja,” katanya.

Guna pendekatan popular 

Amirzudin mencadangkan, untuk menarik minat generasi muda kepada bidang kimia, boleh menggunakan pendekatan elemen budaya popular. 

Beliau menekankan bahawa platform media sosial boleh dijadikan medium untuk mempamerkan kerjaya dalam kejuruteraan kimia secara menarik, sekali gus menjadikan bidang itu lebih dekat dan relevan dengan kehidupan seharian pelajar.

“Pembikin filem wajar hasilkan drama, filem, kandungan YouTube atau TikTok mengenai hero dalam bidang kimia atau kejuruteraan kimia. Biar mereka nampak kerjaya ini menarik,” katanya.

Beliau berkata, usaha menarik minat pelajar sekolah menengah ke dalam bidang kimia dan kejuruteraan kimia perlu diperkasakan bagi memastikan Malaysia memiliki bekalan tenaga pakar yang mencukupi untuk menyokong aspirasi industri, terutamanya dalam keselamatan proses berisiko tinggi.

Menurut Amirzudin, langkah memupuk minat terhadap bidang itu harus bermula di peringkat sekolah melalui pendedahan awal seperti lawatan industri, program mentor–mentee bersama jurutera sebenar, serta aktiviti eksperimen yang menggambarkan aplikasi kimia dalam dunia sebenar. 

Pendekatan itu, katanya, mampu menggambarkan prospek kerjaya yang luas dan berimpak tinggi dalam industri tenaga, pembuatan dan petrokimia.

Mengulas mengenai peranan institusi pendidikan tinggi, industri dan kerajaan, Amirzudin menegaskan bahawa kerjasama lebih erat antara ketiga-tiga pihak adalah kunci untuk melahirkan lebih ramai profesional keselamatan proses tempatan yang berkemahiran tinggi.

“Pensyarah perlu mempunyai pendedahan praktikal di industri, bukan hanya terlibat dalam penyelidikan. Industri pula perlu memberi ruang kepada pensyarah untuk menjalankan tugasan sebenar sebagai jurutera keselamatan, manakala kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi (MOHE), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Kementerian Pelaburan Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Kewangan boleh memperkukuh dasar atau insentif yang mewajibkan kerjasama ini berlangsung,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan meningkatkan pelaburan dalam sektor pengeluaran kimia industri berat dan operasi major hazard supaya wujud permintaan berterusan terhadap jurutera keselamatan proses.

“Malaysia mempunyai ramai graduan kejuruteraan kimia yang sudah memiliki asas ilmu keselamatan proses. Mereka hanya perlu dilatih untuk menjadi pakar. 

“Kita juga mempunyai banyak syarikat pengurusan risiko tempatan dan antarabangsa yang beroperasi di sini, bersedia menyokong pembangunan bakat tersebut,” katanya.

Amirzudin menambah bahawa pandangan pakar tempatan harus dimanfaatkan dalam pembentukan dasar dan pelan industri seperti NIMP 2030, manakala JKKP pula boleh memperkukuh penguatkuasaan keperluan tenaga profesional bertauliah dalam sektor berkaitan.

Usaha menyeluruh itu diyakini mampu melahirkan lebih ramai jurutera keselamatan proses tempatan, seterusnya mengukuhkan daya saing industri kimia dan kejuruteraan negara.

Potensi masa depan, Malaysia boleh menjadi pemain global

Menurut Amirzudin, bidang keselamatan proses kimia berada di bawah piawaian global seperti The American Petroleum Institute (API), Center for Chemical Process Safety (CCPS), International Association of Oil & Gas Producers (IOGP) dan Institution of Chemical Engineers (IChemE), justeru, ini adalah satu peluang untuk Malaysia membina reputasi antarabangsa.

Beliau berkata, dengan pembangunan industri kimia bernilai tinggi dan tumpuan NIMP 2030 kepada keselamatan, inovasi dan kelestarian, Malaysia berpotensi menjadi hab bakat dan rujukan global dalam keselamatan proses.

“Selagi manusia perlukan bahan kimia untuk memudahkan hidup, selagi itu jurutera keselamatan proses diperlukan untuk melindungi pekerja dan penduduk,” katanya.

Dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang itu, Amirzudin muncul sebagai antara tenaga pakar dalam bidang kejuruteraan dan keselamatan proses di PETRONAS, khususnya dalam aspek penilaian risiko dan pematuhan piawaian teknikal industri.

Beliau pernah berkhidmat sebagai staf Penilaian Risiko di Group Technical Solutions (GTS) PETRONAS dan terlibat secara langsung dalam penyediaan beberapa dokumen penting di bawah PETRONAS Technical Standards (PTS), termasuk yang berkaitan dengan HAZID dan HAZOP.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS