Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Kisah dari lapangan: Seberang Perai berkembang hasil inisiatif komuniti setempat
Diterbitkan:  Jan 22, 2026 12:12 PM
Dikemaskini: 4:12 AM

Di Permatang Pauh, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkunjung ke sebuah galeri kecil yang menyimpan warisan salah seorang tokoh besar budaya Pulau Pinang. 

Galeri Nordin Ahmad terletak di bangunan lama Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir. Ruangnya tidak besar, namun terasa lebih luas apabila dipenuhi cerita.

Beliau meluangkan masa meneliti foto-foto arkib dan memorabilia pelakon legenda tersebut - anak jati Permatang Pauh yang dikenang melalui watak-watak ikonik dalam Semerah Padi (1956) dan Hang Jebat (1961), sekali gus mencorakkan era kegemilangan perfileman Melayu. 

Bagi komuniti setempat, kunjungan itu menjadi detik membanggakan dan mengingatkan bahawa kekuatan Seberang Perai terletak pada rakyat serta kisah warisannya.

Dari galeri ini, tumpuan beralih ke seluruh Seberang Perai. Di sepanjang pesisir pantainya yang merentasi hutan bakau, pasar tempatan dan pekan-pekan lama, Seberang Perai sedang menemukan semula keyakinannya. 

Perubahan ini tidak  digerakkan oleh projek berskala besar, sebaliknya lahir daripada  penduduk setempat yang mula melihat kawasan tempat tinggal mereka dengan sudut pandang  baharu.

Dengan sokongan program Levelling Up Seberang Perai (LUSP) oleh Think City, usaha-usaha setempat ini membuka peluang baharu di seluruh wilayah ini.

Program ini dirangka selari dengan visi MADANI, menekankan  kemakmuran bersama dan keseimbangan pembangunan antara wilayah. Pada masa yang sama, ia memberi peluang kepada penduduk setempat untuk menerajui perubahan.

Hasilnya mula dapat dilihat melalui pertumbuhan ruang kreatif, penggunaan platform digital oleh penggiat kraf, inisiatif pemeliharaan alam sekitar, serta peningkatan keyakinan bahawa Seberang Perai sedang bergerak ke sebuah fasa baharu.

Bab baharu ini bermula dengan rakyat.

Amir Amin: Bakat kreatif dari Seberang Perai Utara

Amir Amin Abdul Halim berasal dari Penaga, sebuah pekan pesisir di Seberang Perai. Di sini, nelayan turun ke laut awal pagi, dan pasar minggu sentiasa menjadi tumpuan penduduk. Dalam komuniti yang mesra ini, kreativiti terserlah melalui sentuhan sederhana—papan tanda ukiran tangan, wau buatan sendiri, atau bot nelayan yang dicat semula.

Melalui KaryaSpot.com, Amir, 35, berusaha memastikan semangat seni yang lahir daripada kehidupan seharian terus diraikan - sambil menghubungkan penggiat kreatif tempatan dengan pelanggan dan membuka peluang kerja yang lebih adil.

KaryaSpot.com menjadi direktori kreatif tempatan yang menghimpunkan penggiat seni dan kraf  di Seberang Perai.

“Banyak bakat hebat di sini, tapi ramai tidak mendapat peluang yang sepatutnya,” katanya. “Saya pernah jumpa pereka yang hanya mengenakan RM50 untuk sebuah logo. Itu bukan nilai sebenar kerja kreatif.”

KaryaSpot dibina bagi memastikan hasil kerja kreatif  lebih mudah ditemui, dihargai nilainya, dan dibayar secara adil. Pelanggan boleh memuat naik tugasan - sama ada mural, rekaan pembungkusan, atau produk buatan tangan - dan artis tempatan pula boleh mengemukakan cadangan.

Urusan bayaran dikendalikan terus melalui platform bagi mengelakkan isu kerja tanpa bayaran. Menariknya, KaryaSpot tidak mengambil komisen daripada artis, sebaliknya memperoleh pendapatan melalui pengiklanan projek.

Amir membangunkan KaryaSpot untuk membuka ruang kepada bakat kreatif tempatan mempamerkan hasil kerja mereka kepada orang ramai.

Setakat ini, Amir bersama pasukan kecilnya telah mengumpulkan maklumat sekitar 50 hingga 70 penggiat kreatif di seluruh Seberang Perai - termasuk pelukis mural dan pereka, sehinggalah pembuat kraf serta artisan tradisional.

Usaha ini menjadi asas kepada pembinaan sebuah direktori kreatif tempatan. “Itu baru permulaan,” katanya. “Kami mahu buktikan Seberang Perai ada denyut kreatifnya yang tersendiri.”

Projek ini turut menerima Geran Pekan Kecil Seberang Perai daripada Think City, yang disifatkan Amir sebagai “kerjasama yang amat bermakna”. Selain sokongan kewangan, Think City membantu pasukannya membina jaringan bersama komuniti serta memperkemas strategi libat urus.

“Mereka beri kami dorongan dan sudut pandang yang kami perlukan,” ujarnya. “Ini bukan sekadar melancarkan sebuah platform, kami sedang membina sebuah komuniti.”

Amir berkongsi ilmu pemasaran bersama artisan tempatan.

KaryaSpot dilancarkan pada bulan Disember, disusuli pelbagai inisiatif awal seperti gerai pop-up untuk mendaftarkan lebih ramai artisan serta video tutorial bagi mereka yang baru menggunakan platform digital - khusunya penggiat kraf berusia seperti pembuat wau dan pengukir keris.

“Mereka ada kemahiran luar biasa, cuma akses digital agak terhad,” kata Amir. “Kami mahu memastikan mereka turut dapat memanfaatkan platform ini.”

Dr Mohd Zulhafiz Said: Memetakan kisah terpendam di Seberang Perai

Bagi Dr Mohd Zulhafiz Said, ahli akademik Universiti Putra Malaysia (UPM), Seberang Perai bukan sekadar rangkaian jalan - setiap laluan seolah-olah menyimpan cerita tersendiri. Ada kisah yang dibawa angin dari rimbunan bakau; ada yang hidup dalam kemeriahan pasar dan gelak tawa para peniaga; dan ada juga yang terpamer dalam kebanggaan seorang pemilik homestay di tepi sungai.

Melalui projek terbaharunya, “The Hidden Gem: Eco and Heritage Destinations of Seberang Perai”, beliau bertekad untuk memastikan warisan dan kisah tempatan ini terus diingati dan dihargai - dan memetakannya untuk diterokai lebih ramai orang.

Peta Zulhafiz yang memaparkan gambaran keseluruhan Seberang Perai Utara.

Dibiayai oleh Think City melalui program LUSP, projek ini bertujuan mengetengahkan destinasi kurang dikenali di Seberang Perai Utara, Tengah, dan Selatan.

Berbeza daripada brosur promosi yang lain, Zulhafiz, 40, bersama pasukan kecilnya, memilih untuk membangunkan tiga peta interaktif bertema eko, warisan, dan kulinari yang boleh dikemas kini dari masa ke semasa.

Dilancarkan pada 13 November di Pulau Pinang dan 22 November di Butterworth, peta ini beroperasi secara dalam talian, membolehkan pemandu pelancong tempatan, komuniti setempat, dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menambah penemuan baharu.

Penggiat kraf sedang bekerja di sebuah bengkel besi di Permatang Benuan.

“Kami mahu pemandu pelancong tempatan dan pihak majlis perbandaran diberi ruang untuk mengemas kini peta ini,” jelasnya. “Banyak ikonnya juga dilukis tangan agar lebih mencerminkan karakter setiap lokasi.”

Ini merupakan geran Think City kedua buat Zulhafiz. Geran pertamanya sebelum ini menghasilkan peta eko-warisan Batu Kurau. Menurutnya, Think City bukan sahaja membantu menyediakan dana, tetapi turut berperanan sebagai pembimbing.

“Mereka menganjurkan latihan seperti penciptaan kandungan, fotografi, malah program berkaitan alam sekitar,” katanya. “Bimbingan seperti inilah yang memberi nilai.”

Zulhafiz (kiri) sedang berbincang dengan rakan sekerja dalam satu sesi perancangan.

Pasukannya terdiri daripada gabungan pelbagai latar—pensyarah dan penyelidik dari UPM, Universiti Kebangsaan Malaysia, dan Universiti Sains Malaysia, selain seorang penulis pelancongan dari Pulau Pinang.

Mereka menghabiskan masa berbulan-bulan di lapangan, merakam foto, menggunakan dron, menemu bual penduduk, dan mengesahkan setiap cerita. Namun yang membezakan peta ini ialah proses pemilihan dan susunan kandungannya yang teliti.

“Kami sengaja tidak mahu menampilkan tempat yang semua orang sudah kenal,” kata Zulhafiz. “Fokus kami ialah lokasi yang jarang disinggah. Dalam masa yang sama, kami letakkan beberapa tempat sebagai ‘penanda utama’ - contohnya Kampung Agong di Penaga - supaya pelawat boleh merangka laluan perjalanan yang lebih mudah di sekitarnya.”

Pendekatan itu, jelasnya, selari dengan konsep pelancongan berasaskan pengetahuan: pengalaman yang menekankan cerita, konteks dan nilai, bukan sekadar pemandangan yang cantik.

Apabila orang datang untuk memahami sesuatu tempat, manfaatnya turut dinikmati komuniti - daripada pemilik homestay dan kedai makan kecil, hinggalah pengusaha bot, pembuat kraf dan pengendali tapak glamping yang menyokong ekosistem pelancongan setempat.

Stor amunisi lama yang tidak ramai mengetahui kewujudannya di Pulau Gedung - dibina oleh tentera British pada tahun 1901 - merupakan antara lokasi menarik yang ditampilkan dalam peta warisan Zulhafiz.

“Pulau Pinang memang mudah menarik perhatian, tetapi Seberang Perai mengajak orang ramai meneroka dengan lebih santai,” kata Zulhafiz.

Beliau merujuk Pulau Aman sebagai contoh perubahan itu: “Dulu orang datang untuk makan tengah hari dan terus pulang. Sekarang, semakin ramai keluarga memilih untuk bermalam, memancing, dan meneroka kawasan sekitar.”

Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS): Melindungi Laluan Burung Hijrah

Sejak beberapa dekad lalu, MNS cawangan Pulau Pinang berperanan sebagai penjaga “senyap” alam semula jadi negeri ini - melindungi hutan paya bakau, dataran lumpur, serta ruang langit yang menjadi laluan burung-burung hijrah.

Kini, melalui program LUSP anjuran Think City, persatuan ini menumpukan usaha kepada antara kawasan ekologi paling penting di Malaysia, iaitu persisiran pantai Teluk Air Tawar–Kuala Muda (TAT-KM).

Projek yang secara rasmi bertajuk “Pemerkasaan Komuniti Tempatan untuk Pembangunan Eko-Pelancongan yang Mampan di Seberang Perai Utara” meliputi kira-kira 10 kilometer kawasan pesisir pantai, bermula dari Kuala Muda hingga ke Teluk Air Tawar.

Burung bangau malam bermakhota hitam bertenggek di dahan pokok. Ekosistem paya bakau pula menjadi habitat penting yang menyokong pelbagai spesies hidupan liar.

Kawasan ini terletak di sepanjang Laluan Burung Hijrah Asia Timur Australasia, antara laluan migrasi utama dunia yang menghubungkan Artik hingga ke hemisfera selatan.

Setiap tahun, sekitar 15,000 burung hijrah daripada hampir 200 spesies singgah di kawasan ini untuk berehat dan mencari makanan. Kebanyakannya merupakan spesies terancam, dan mereka bergantung pada kelestarian ekosistem paya bakau untuk terus hidup.

“Paya bakau ini ibarat nadi kehidupan,” kata Kanda Kumar, ahli MNS Pulau Pinang yang telah lama mengetuai jelajah pemerhatian burung serta pelbagai usaha pemuliharaan.

“Apabila kita melindunginya, kita bukan sahaja menjaga burung-burung ini, tetapi juga seluruh rantaian kehidupan yang menyokong komuniti setempat.”

Kanda Kumar (kanan) menyertai tinjauan burung bersama sukarelawan dari MNS cawangan Pulau Pinang.

Hubungan MNS dengan kawasan TAT-KM sememangnya sudah lama terjalin. Selama lebih dua dekad, para sukarelawannya menjalankan bancian burung, aktiviti pembersihan, serta bengkel komuniti - di samping mengumpul data saintifik secara berterusan untuk menyokong usaha perlindungan kawasan ini.

Kesungguhan itu akhirnya membuahkan hasil pada tahun 2022 apabila separuh daripada kawasan berkenaan digazetkan sebagai Hutan Simpanan Kekal - satu pencapaian besar yang terhasil daripada usaha berterusan, bukti yang kukuh, dan kerjasama pelbagai pihak.

Selepas itu, dua cadangan untuk menukar sebahagian kawasan pesisir kepada kolam akuakultur turut berjaya ditolak, diperkukuh oleh advokasi MNS yang berasaskan data.

Akar yang padat daripada spesies Avicennia marina membantu menstabilkan pesisir pantai, selain bertindak sebagai benteng semula jadi yang meredam hentaman ombak kuat.

Dengan sokongan Think City, MNS kini beralih daripada sekadar melindungi kepada membina penglibatan komuniti. Matlamatnya adalah menjadikan usaha pemuliharaan sebagai model eko-pelancongan yang dipacu oleh masyarakat, sekali gus memberi manfaat kepada komuniti nelayan tempatan.

“Eko-pelancongan boleh mempelbagaikan sumber pendapatan,” jelas Kanda. “Nelayan boleh menjana hasil sebagai pemandu pelancong, menawarkan bot pelancongan atau inap desa, manakala ahli keluarga turut terlibat dalam aktiviti kraf dan hospitaliti. Yang penting, peluang diwujudkan tanpa menjejaskan alam sekitar.”

Inisiatif ini turut menekankan aspek kesiapsiagaan melalui latihan, peningkatan kesedaran, dan penyertaan komuniti. Ramai dalam kalangan komuniti nelayan menyambut baik usaha ini kerana mereka memahami bahawa paya bakau yang sihat bermaksud sumber ikan yang lebih terjamin.

Dataran lumpur yang dipelihara bukan sahaja menyokong mata pencarian, malah membuka ruang kepada masa depan pelancongan yang lebih bertanggungjawab.

“Male fiddler crabs”, yang mudah dikenali melalui sepitnya yang besar, antara penghuni paya bakau yang menarik perhatian.

Peranan Think City, kata Kanda, jauh melangkaui bantuan kewangan semata-mata. “Mereka membantu memperluas kesedaran melalui rangkaian yang ada, dan menghubungkan kami dengan rakan strategik, penyelidik, malah program CSR syarikat-syarikat di Pulau Pinang, sokongan ekosistem seperti inilah yang menjadikan pemuliharaan lebih mampan,” katanya.

Sama ada Amir membina jaringan untuk komuniti kreatif, Zulhafiz memetakan sejarah tersembunyi, atau MNS Pulau Pinang memulihkan tanah lembap, semuanya berpegang pada satu keyakinan yang sama: penduduk setempat yang paling memahami cara untuk menghidupkan semula tempat mereka.

Kepercayaan ini menjadi teras kepada LUSP. Sepanjang tahun lalu, Think City merekodkan lebih 2,500 titik libat urus menerusi kaji selidik, sesi dialog awam, dan bengkel komuniti. Daripada menawarkan penyelesaian seragam, pasukan ini memilih untuk mendengar terlebih dahulu - memahami keperluan sebenar penduduk serta mengenal pasti kekuatan sedia ada dalam pekan dan komuniti setempat.

Para penggiat kraf di Seberang Perai diberikan pendedahan kepada kemahiran pemasaran penting menerusi bengkel yang dianjurkan bersama Think City.

Sebanyak 65 projek telah dibiayai melalui program Geran Pekan Kecil Seberang Perai, dengan setiap inisiatif dirangka mengikut keperluan sebenar komuniti setempat - merangkumi bidang eko-pelancongan, ruang kreatif, keterjaminan makanan, serta keterangkuman digital.

Matlamatnya bukan untuk meraih hasil segera, tetapi untuk memupuk pemilikan komuniti yang kekal dalam jangka panjang. Tiga inisiatif yang diketengahkan ini hanyalah sebahagian kecil daripada momentum yang sedang terbina.

Projek-projek ini membuktikan bahawa apabila pembangunan digerakkan dari bawah, ia bukan sahaja memperkukuh sumber pendapatan, malah mengukuhkan identiti komuniti. Warisan diraikan, inovasi dipupuk, dan keyakinan dipulihkan semula - terutama di pekan-pekan yang sebelum ini sering terpinggir.

Pendekatan ini dirumuskan oleh Think City sebagai 4D: Diagnose, Design, Deliver, Demonstrate. Diagnose merujuk kepada proses mendengar suara komuniti dan mengumpul data; Design ialah usaha mereka bentuk idea bersama penduduk; Deliver pula bermaksud bekerjasama rapat untuk merealisasikannya; manakala Demonstrate ialah berkongsi keberkesanan yang terbukti agar boleh dicontohi oleh pihak lain.

Universiti Sultan Azlan Shah, dengan kerjasama Think City, telah menganjurkan bengkel pembangunan bertema ‘Merapatkan Jurang Digital: Pengenalan Pendidikan AI untuk golongan Nelayan Muda’ di Sungai Tembus, Penaga.

Bagi pembuat dasar dan pelabur, pendekatan ini membuktikan bahawa pemilikan komuniti mampu menterjemahkan matlamat nasional kepada tindakan harian. Bagi penduduk pula, ia menjadi bukti bahawa suara mereka didengari diambil kira.

Kini, Seberang Perai bergerak dengan semangat yang baharu. Kisah yang dikumpulkan dalam fasa pertama ini menggambarkan sebuah wilayah yang bersedia untuk pertumbuhan yang lebih terhubung.

Penduduk mahukan mobiliti yang lebih baik, akses yang lebih mudah kepada alam semula jadi, asas budaya yang lebih kukuh, serta peluang yang seiring dengan aspirasi mereka.

Pusat Pendidikan Hutan Paya Bakau PIFWA di Kuala Sungai Acheh menjadi ruang rujukan untuk orang ramai memahami kepentingan dan ekosistem hutan paya bakau.

Dapatan ini menunjukkan Fasa 2 amat tepat pada masanya - dan sememangnya diperlukan. Fasa seterusnya akan memberi tumpuan kepada Pesisir Utara, kawasan eko berasaskan sungai, serta jaringan yang menghubungkan pekan, komuniti dan ekosistem.

Walaupun skala kerja selepas ini lebih besar, prinsipnya kekal sama - pembangunan mesti berpaksikan manusia. Dengan asas daripada Fasa 1 yang semakin kukuh, Seberang Perai kini bersedia mencorak halatujunya sendiri, berteraskan rasa bangga, kerjasama, dan keyakinan baharu terhadap apa yang mampu dicapai.

Ketahui lebih lanjut tentang Levelling Up Seberang Perai dan sertai perjalanan ke bab seterusnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS