mk-logo
Pengumuman
Beruas Sebagai Destinasi Pelancongan Bersejarah Di Bawah Inisiatif Strategik Vale–MPM
Diterbitkan:  Jan 26, 2026 1:36 PM
Dikemaskini: Jan 28, 2026 4:52 AM

Vale Malaysia dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) baru-baru ini melancarkan perasmian Dataran Gangga Negara sebagai sebuah pusat komuniti dan destinasi pelancongan yang penuh sejarah. Ia direalisasikan sebagai penghargaan terhadap sejarah pekan Beruas yang menempatkan salah satu tamadun tertua di Asia Tenggara.

Gambar di atas: YAB Dato’ Seri Haji Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak (tengah/lapan dari kiri) merasmikan Dataran Gangga Negara bersama YDh. Toh Seri Bijaya Lt. Kol (B) Dato’ Shaharudin Haji Nazari, Orang Besar Jajahan Manjung (keenam dari kiri), YBrs. Tuan Muhammad Faizal Shah Safian Suri, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (kedua belas dari kiri), YBrs. Tuan Shamsul Ridzuan Idris, Pegawai Daerah Manjung (kelima dari kiri), YB Encik Azman Noh, Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Baharu (kesembilan dari kiri), YDh. ACP Tuan Hasbullah Abdul Rahman, Ketua Polis Daerah Manjung (keempat belas dari kiri), YBrs. Tuan Suhaimi Abu Hassan Shari, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak (kesebelas dari kiri), Leonardo Paiva, Ketua Pegawai Eksekutif Vale Malaysia (ketujuh dari kiri) dan Afzal Mohsin, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat dan Kelestarian (kesepuluh dari kiri), serta ahli majlis.

Sempena pelancaran Dataran Gangga Negara, satu majlis penanaman pokok telah diadakan, menampilkan pokok Beruas yang menjadi lambang asal-usul nama bandar tersebut.

Perasmian ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pembangunan berteraskan warisan yang dilaksanakan secara bersama, dengan nilai pelaburan hampir RM5 juta, bertujuan memperindah dan meningkatkan ruang awam utama serta memperkukuh kedudukan Beruas sebagai destinasi budaya dan pelancongan di Perak, selari dengan kempen Tahun Melawat Perak 2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Berlandaskan kekayaan warisan, kepelbagaian budaya serta hubungan sejarahnya dengan tamadun purba Gangga Negara, Beruas telah dipilih sebagai destinasi utama di daerah Manjung bagi kerjasama strategik ini, sekali gus menjadikannya lokasi yang ideal untuk mempamerkan keunikan dan dinamisme daerah tersebut kepada pengunjung serta penduduk setempat. 

YAB Dato’ Seri Haji Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak, menandatangani plak, disertai oleh YBrs. Tuan Muhammad Faizal Shah Safian Suri, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung, sebagai simbol pelancaran Dataran Gangga Negara.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Haji Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan. Beliau turut mengadakan lawatan sekitar kawasan pekan Beruas yang telah dinaik taraf, menampilkan landskap jalanan bermural serta laluan pejalan kaki yang dihias indah, sekali gus menyerlahkan daya tarikan Beruas dan meraikan semangat komuniti yang harmoni dan sejahtera.

YAB Dato’ Seri Haji Saarani Mohamad mengiktiraf inisiatif ini atas pendekatan holistik dalam meraikan sejarah serta memperkukuh pembangunan komuniti setempat di negeri Perak, di samping mengoptimumkan potensi masa hadapan. Beliau berkata, “Usaha pemuliharaan dan penambahbaikan Beruas ini menekankan kepentingan memelihara warisan sejarah negeri sambil memenuhi keperluan komuniti semasa. Dengan menghargai legasi Gangga Negara, sebuah tamadun penting yang membentuk masyarakat awal, inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh semangat komuniti, malah menjenamakan semula Beruas sebagai sebuah pekan yang mesra rakyat dan inklusif. Ia juga meletakkan Beruas sebagai mercu tanda budaya yang signifikan, mencerminkan pertumbuhan sosioekonomi Perak sebagai destinasi pelancongan dinamik yang menggabungkan warisan sejarah, budaya dan keindahan alam semula jadi.” 

Mural-mural ini adalah hasil karya kolektif artis berpangkalan di Perak, Lakar by Mekar.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung, Tuan Muhammad Faizal Shah Safian Suri, menekankan peranan kerjasama strategik dalam merancakkan potensi pelancongan Beruas. Beliau berkata, “Beruas merupakan sebuah pekan yang kaya dengan nilai sejarah dan memiliki identiti tersendiri. Kerjasama kami bersama Vale menzahirkan usaha kolektif untuk memperindah tempat awam serta memulihara aset warisan utama, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih mesra dan menarik untuk penduduk serta pelawat. Penambahbaikan ini menyokong pembangunan Beruas sebagai sebuah hab pelancongan dan lokasi penganjuran aktiviti berteraskan komuniti.” Beliau turut mengimbas kejayaan penganjuran acara larian Manjung Run yang pertama di Beruas lebih setahun lalu yang telah menarik minat orang ramai serta merangsang aktiviti ekonomi setempat. Pelbagai aktiviti tambahan turut dirancang bagi terus menghidupkan suasana pekan ini.

Mural-mural ini menampilkan wajah, memori dan kehidupan seharian komuniti Beruas.

Ketua Pegawai Eksekutif Vale Malaysia, Leonardo Paiva, menegaskan komitmen jangka panjang syarikat terhadap pembangunan komuniti yang inklusif dan mampan di Manjung. Beliau berkata, “Beruas memiliki nilai sejarah dan budaya yang signifikan, disokong oleh komuniti yang dinamik serta identiti tempatan yang kukuh, menjadikannya sebuah aset berharga yang wajar dipelihara dan diketengahkan untuk generasi akan datang. Kerjasama strategik antara industri, pihak berkuasa tempatan dan institusi akademik ini mencerminkan pendekatan bersepadu dalam memperkasa penjenamaan tempat melalui elemen kreatif, penceritaan interaktif dan penambahbaikan pekan sekali gus meningkatkan kebolehdiaman serta pengalaman pengunjung.”

Sejarah Beruas, yang bermula dari tamadun Gangga Negara, dipamerkan.

Program penambahbaikan tersebut telah dilaksanakan dalam dua fasa sepanjang tempoh dua tahun bermula 2023. Fasa pertama memfokuskan kepada penghasilan mural oleh kolektif seni berpangkalan di Perak, Lakar by Mekar, telah menghidupkan naratif sejarah Beruas melalui wajah-wajah, kenangan dan pengalaman harian masyarakat setempat. Mural-mural ini turut menggambarkan kisah penubuhan pekan tersebut, kepelbagaian flora dan fauna tempatan serta diserikan dengan motif batik dan elemen ikonik seperti pokok Beruas. Karya ini dilengkapi dengan kod QR yang membolehkan pengunjung mengikuti kisah di sebalik mural secara interaktif.

Fasa kedua pula menumpukan kepada penambahbaikan landskap dan persekitaran pekan, termasuk naik taraf laluan pejalan kaki, kerja-kerja pengecatan semula deretan rumah kedai ikonik era kolonial, serta pembangunan Dataran Gangga Negara sebagai mercu tanda penyatuan yang meningkatkan keindahan persekitaran pekan Beruas. Usaha ini menggabungkan elemen warisan sejarah dengan ekspresi seni berteraskan budaya tempatan.

Mural dengan komponen 3D menampilkan dimensi dan realisme yang menarik perhatian.

Disokong oleh khidmat perunding daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak, inisiatif penambahbaikan ini dirangka dengan mengambil kira keseimbangan antara pemeliharaan warisan dan keperluan fungsi moden, sekali gus memperkukuh kebolehlaluan, kesinambungan landskap pekan dan keharmonian estetika, selaras dengan identiti serta keunikan pekan Beruas.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada Program Pembangunan Komuniti Vale (CDP) 2.0, sebuah program bernilai RM16 juta yang dilaksanakan dari tahun 2023 hingga 2025, dengan tumpuan kepada peningkatan kesejahteraan komuniti Manjung melalui pendidikan, pemuliharaan alam sekitar dan pemerkasaan sosioekonomi. Dalam masa terdekat, Vale akan mengumumkan pelaksanaan CDP 3.0 bagi meneruskan sokongan terhadap inisiatif komuniti, menaik taraf tempat awam serta mewujudkan lebih banyak lagi peluang kepada penduduk, di samping terus meraikan warisan dan identiti unik Manjung.


Kandungan ini disediakan oleh Vale Malaysia Minerals.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS