Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) terus memperkukuh pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang kebersihan negara apabila seorang individu menjadi pesalah kedua di Negeri Kedah yang dikenakan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) bagi kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam.
Pesalah, seorang lelaki warga asing berusia 39 tahun yang telah berkahwin dengan warganegara tempatan serta bermastautin di negara ini, telah didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar atas kesalahan membuang puntung rokok di kawasan awam sekitar Menara Alor Setar. Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 77A(1), Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), sekali gus membuktikan bahawa penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara tegas tanpa mengira status individu.
Mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM300.00 dan sekiranya gagal membayar denda tersebut, pesalah boleh dipenjarakan selama tiga (3) bulan. Mahkamah turut memerintahkan pesalah menjalani Perintah Khidmat Masyarakat selama enam (6) jam dalam tempoh dua (2) bulan dengan pelaksanaan maksimum satu (1) jam sehari, selaras dengan peruntukan Seksyen 77B(1) Akta 672.
Sehingga 25 Januari 2026, Negeri Kedah telah merekodkan sebanyak 120 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) yang dikeluarkan melibatkan 103 kes warganegara tempatan dan 17 kes warganegara asing. Daripada jumlah tersebut, 57 kes telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan 37 kes telah memperoleh izin dakwa, manakala dua (2) kes dijadualkan untuk sebutan di mahkamah masing-masing pada 12 Februari 2026 dan 16 Februari 2026.
Secara keseluruhannya, sehingga kini SWCorp telah mengeluarkan sebanyak 494 NPK di tujuh (7) negeri yang melaksanakan Akta 672 tersebut. Daripada jumlah tersebut, 377 kes melibatkan warganegara tempatan manakala 117 kes melibatkan warganegara asing. Statistik ini membuktikan bahawa pendekatan penguatkuasaan yang diadakan secara menyeluruh, konsisten dan berfokus kepada pembentukan disiplin masyarakat terhadap penjagaan kebersihan awam.
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Tuan Khalid bin Mohamed dalam kenyataannya memaklumkan bahawa SWCorp turut melaksanakan operasi PKM secara menyeluruh di kawasan Rehat dan Rawat (R&R). Sepanjang operasi tersebut, sebanyak 27 Notis Pemberitahuan Kesalahan telah dikeluarkan kepada individu yang ditangkap melakukan kesalahan membuang sampah kecil di kawasan berkenaan.

Beliau turut menegaskan bahawa SWCorp akan terus mempergiatkan penguatkuasaan secara konsisten dan berterusan di seluruh negara tanpa kompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang kebersihan.
Seiring dengan itu, orang ramai digesa untuk memainkan peranan bersama dengan melaporkan sebarang kesalahan berkaitan kebersihan kepada SWCorp melalui talian WhatsApp 013-210 7472 atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di https://swcorp.spab.gov.my bagi memastikan persekitaran Malaysia kekal bersih, indah dan sejahtera.
Kandungan ini disediakan oleh SWCorp
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected]
