Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
SPM 2025 catat kadar lulus tertinggi, prestasi orang asli cemerlang

Seramai 366,435 calon atau 94.29 peratus layak dianugerahkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, sekali gus mencerminkan peningkatan kadar kelulusan berbanding tahun sebelumnya serta menunjukkan keberkesanan usaha berterusan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam memperkukuh sistem pendidikan negara.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, keputusan SPM 2025 mencatatkan pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun dengan Gred Purata Kebangsaan (GPK) merekodkan 4.42 mata berbanding 4.49 mata pada SPM 2024 iaitu mengecil sebanyak 0.07 mata.

“Seramai 413,299 calon berdaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2025, mencatat peningkatan sebanyak 10,381 calon atau 2.58 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Daripada keseluruhan itu, seramai 366,435 calon atau 94.29 peratus layak dianugerahkan Sijil SPM,” katanya ketika mengumumkan keputusan SPM 2025 dalam satu sidang media di Putrajaya semalam.

Menurut Mohd Azam, pencapaian tersebut bukan sahaja menggambarkan peningkatan prestasi akademik murid secara menyeluruh, malah turut memperlihatkan jurang pencapaian pendidikan antara kawasan bandar dan luar bandar yang kian merapat.

Berdasarkan data yang diumumkan, GPK calon di bandar direkodkan pada 4.40 mata (SPM 2025) berbanding 4.47 mata pada SPM 2024 manakala calon di luar bandar mencatat 4.81 mata (SPM 2025) berbanding 4.92 mata bagi SPM 2024, sekali gus mencerminkan jurang pencapaian yang semakin mengecil berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Bagi kategori calon sekolah KPM, kadar kelayakan sijil meningkat kepada 94.51 peratus, melibatkan seramai 329,272 calon.

Dari sudut pencapaian cemerlang, seramai 376 calon meraih semua A+, sementara 92,347 calon atau 23.76 peratus mencatat sekurang-kurangnya Gred C berbanding 86,040 calon pada 2024.

Mohd Azam memaklumkan bahawa 141,728 calon, bersamaan 36.47 peratus, mencapai keputusan lulus minimum (gred E) bagi semua mata pelajaran SPM 2025.

Angka itu menunjukkan peningkatan 4,937 calon berbanding 136,791 orang (36.13%) pada SPM 2024, meningkat 0.34 peratus.

“Calon yang gagal sekurang-kurangnya satu mata pelajaran berjumlah 118,887 orang  atau 30.59 peratus, manakala calon yang semua gagal adalah 1,631 orang atau 0.42 peratus, menurun berbanding 2024,” katanya.

Prestasi Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) juga mencatat perkembangan memberangsangkan dengan 1,516 calon atau 80.72 peratus layak menerima sijil tahun ini.

Daripada kategori CBPK, pencapaian tertinggi dicatat oleh calon Kurang Upaya Penglihatan (Buta) dengan 96.43 peratus, diikuti oleh calon Kurang Upaya Fizikal yang merekodkan 92.52 peratus.

Prestasi Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) turut mencatat perkembangan positif, dengan 1,516 calon atau 80.72 peratus layak dianugerahkan sijil pada tahun ini, meningkat berbanding 1,377 calon atau 78.73 peratus pada 2024.

Antara kategori CBPK dengan kadar kelayakan tertinggi ialah Kurang Upaya Penglihatan (Buta) sebanyak 96.43 peratus, diikuti Kurang Upaya Fizikal pada 92.52 peratus.

Beberapa langkah utama yang menyokong peningkatan keputusan SPM 2025 termasuk keberkesanan intervensi awal dengan pelaksanaan Sistem Pengesanan Murid (SiPKPM) dengan integrasi kecerdasan buatan (AI).

Selain itu, pelaksanaan pelbagai program sokongan akademik seperti Program Tuisyen MADANI, Program Anak Kita oleh Yayasan Hasanah, serta kerjasama erat antara sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan komuniti setempat turut dikenalpasti sebagai faktor utama kejayaan calon.

Perbandingan bilangan pelajar SPM 5A dan ke atas pelajar orang asli (kredit imej IG Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi)

Kejayaan calon turut dipacu oleh pelaksanaan pelbagai program sokongan akademik, termasuk Program Tuisyen MADANI, Program Anak Kita anjuran Yayasan Hasanah, serta kerjasama rapat antara pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan komuniti setempat.

Seiring itu, usaha memperkukuh kualiti guru melalui komuniti pembelajaran profesional (PLC), berserta penempatan guru yang lebih seimbang di kawasan bandar dan luar bandar, turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi murid secara keseluruhan.

Beliau menekankan bahawa sejajar dengan visi pembangunan negara, Kementerian Pendidikan Malaysia komited untuk memperluas pelaksanaan inisiatif reformasi pendidikan sebagai sokongan kepada agenda Malaysia Madani yang inklusif dan mampan.

“Langkah ini bertujuan membentuk generasi yang menyeluruh, berpengetahuan, kompetitif serta menjunjung nilai murni,” katanya.

Sementara itu, kejayaan cemerlang pelajar Orang Asli dalam SPM 2025 menggambarkan komitmen berterusan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bersama pelbagai agensi dalam memajukan pendidikan komuniti tersebut.

Keputusan cemerlang dicapai oleh empat pelajar Orang Asli dengan 9A, sementara 114 pelajar lain memperoleh sekurang-kurangnya 5A, meningkat daripada 87 pelajar tahun sebelumnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS