Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
ICP: Ke Arah Kemandirian Pertahanan daripada Teknologi Asing

Menteri Pertahanan (MENHAN), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika diminta mengulas selepas menyempurnakan Majlis Pemeteraian Kontrak dan Memorandum Persefahaman (MoU) Kementerian Pertahanan (MINDEF) sempena Pameran DSA dan NATSEC 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur berkata, fokus utama Malaysia mula beralih daripada negara pembeli kepada negara yang mampu menyelenggara, membaik pulih, menaik taraf, menghasilkan komponen dan akhirnya mampu membangunkan sistem sendiri bagi mendepani persekitaran strategik yang semakin kompleks.

Bagi memastikan perkara tersebut dapat dicapai, Industrial Collaboration Programme (ICP) yang dimeterai oleh lapan syarikat pada majlis itu adalah antara strategi MINDEF ke arah membangunkan inovasi teknologi pertahanan tempatan yang mampan dan berdaya saing, sekali gus mengurangkan kebergantungan pada negara luar.

ICP adalah program kerjasama industri yang mewajibkan syarikat luar memberi pulangan nilai kepada negara seperti pemindahan teknologi, pembangunan vendor tempatan, peningkatan kemahiran tenaga kerja, peluang pekerjaan bernilai tinggi dan akses kepada rantaian bekalan global.

MENHAN ketika sidang media di MITEC, Kuala Lumpur, semalam.

Jelasnya, ICP menjadi instrumen penting dalam meningkatkan keupayaan syarikat industri pertahanan tempatan untuk membangun melalui pemindahan ilmu dan teknologi agar mereka boleh menyumbang pengetahuan dan kepakaran mereka kepada negara. 

“ICP adalah pemberian oleh kerajaan kepada mana-mana syarikat yang layak menerima pemindahan ilmu agar mereka berupaya memantapkan penyertaan mereka dalam industri pertahanan negara.

“Usaha itu selari dengan matlamat MINDEF untuk menyokong dan membangunkan syarikat-syarikat tempatan supaya mereka boleh menyumbang kepada kejayaan kita dalam melaksanakan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN).

“Bagi memenuhi keperluan pertahanan dan keselamatan negara, ada beberapa perkara yang kita perlu pastikan dan salah satunya adalah keupayaan kita mengeluarkan produk-produk seperti roket, misil dan dron sendiri,” katanya ketika sidang media, semalam.

(dari kiri) Pengarah Eksekutif Barincorp Sdn. Bhd, Mohd Najib Abdul Rashid; Pengarah Urusan Rimbun Emas Defence System Sdn. Bhd, Muhammad Talhah Zainol; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Pengarah Jawaghih Sdn. Bhd, Syed Zulfahmi Syed Mustafa dan Pengarah Traumland Sdn. Bhd, Kapten (R) Halim Hashim Baba

Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Pengurusan Tertinggi Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pada majlis itu, sebanyak 24 instrumen strategik telah dimeterai dengan jumlah nilai keseluruhan direkodkan bernilai RM3.542 bilion, melibatkan 12 kontrak perolehan, empat Surat Niat (LOI) dan lapan Surat Tawaran ICP.

Hasil pemeteraian kontrak dan ICP bernilai RM3.54 bilion. 

Pemeteraian kontrak, LOI serta tawaran ICP itu memberikan manfaat strategik kepada negara, merangkumi peningkatan kesiapsiagaan dan keupayaan ATM agar kekal relevan dalam menghadapi ancaman semasa, pemerkasaan industri pertahanan tempatan, serta menggerakkan negara ke arah kemandirian (self-reliance) secara berperingkat.

Tegas MENHAN, kerajaan sedar bahawa cabaran peperangan akan datang bakal melibatkan sistem dan teknologi yang jauh lebih tinggi, maka negara harus bersedia dengan membangunkan lebih banyak syarikat tempatan bagi mengukuhkan kemandirian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS