Menurut Menteri Pertahanan (MENHAN), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pameran Defence Services Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) Asia 2026 mencatat sejarah dengan pengumpulan jumlah penyertaan sebanyak 48,347 pelawat perdagangan dari 116 buah negara sepanjang tempoh 20 ke 23 April 2026.
Penyertaan itu merangkumi 1,456 syarikat dari 63 negara, 37 pavilion antarabangsa dan kehadiran puluhan ribu pelawat perdagangan yang terdiri daripada pemimpin Kerajaan, Ketua Angkatan Tentera dan pemain industri pertahanan dan keselamatan dari seluruh dunia serta tempatan.
“Sebagai pemangkin kepada kerjasama strategik, penganjuran kali ini telah berjaya memeterai 12 kontrak perolehan bernilai RM1.132 bilion bagi meningkatkan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), penyerahan empat Surat Niat bernilai RM1.009 bilion bagi projek strategik susulan, dan penganugerahan lapan tawaran Industrial Collaboration Programme (ICP) dengan nilai kredit keseluruhan sebanyak RM 1.400 billion,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penutup DSA & NATSEC Asia 2026 yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur, semalam.
Majlis itu turut dihadiri oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Haji Malek Razak Sulaiman; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Pengurusan Tertinggi dan Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Pertahanan dan ATM.
Sepanjang program empat hari itu, sesi perbincangan dua hala dan pelbagai hala, persidangan strategik, perjanjian persefahaman kepada pembentukan kerjasama baharu, penerokaan teknologi inovatif serta pengukuhan hubungan antara pihak berkepentingan di peringkat serantau dan global telah berlangsung.
Sebanyak empat forum turut berjaya dikoordinasikan seperti Putrajaya Forum, APSA Malaysia Internasional Roundtable Dialogue, dan Forum bersama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Penganjur juga memaklumkan bahawa persiapan bagi edisi seterusnya telah dimulakan, berlangsung dari 17 hingga 20 April 2028, sebagai kesinambungan kepada kejayaan penganjuran edisi tahun ini.
Bersempena penutupan DSA 2026, Malaysiakini berpeluang menemu ramah beberapa pemain industri tempatan dan luar negara yang rata-rata berpuas hati dan berupaya memanfaatkan program kali ini.

Presiden Malaysia Aerospace Industry Association (MAIA), Naguib Mohd Nor berkata, NATSEC Asia 2026 semakin membesar khususnya bagi sektor pertahanan aeroangkasa negara yang sebelum ini teknologi lebih banyak tertumpu kepada sektor awam.
Beliau berkata, kebanyakan pengusaha industri pertahanan Malaysia menjadi pembekal kepada badan-badan kerajaan seperti Kementerian Pertahanan (MINDEF), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), ATM dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Pembesaran NATSEC Asia 2026, menurutnya, menumpukan Malaysia sebagai sebuah negara teknologi pertahanan yang memberi banyak manfaat kepada industri sektor awam untuk berkecimpung dalam bidang pertahanan serantau.
Pada masa sama, beliau menyeru MINDEF untuk terus memperkukuh usaha dalam mempertahankan negara dengan memacu pembangunan teknologi selaras keperluan pertahanan masa kini.
Beliau juga berharap agar industri aeroangkasa dapat membantu kerajaan itu untuk terus berkembang serta meningkatkan kemampuan MINDEF dalam membantu melindungi negara secara proaktif dan efektif.

Berkongsi sentimen yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Melaka Corporation (MCORP), Datuk Mohd Yusof Abu Bakar berkata, rakyat Malaysia boleh mengambil peluang memanfaatkan lapangan pertahanan.
“Berbanding dahulu, mungkin dalam bentuk sektor konvensional, apabila wujudnya industri pertahanan ini, mungkin akan membolehkan lebih ramai lagi anak tempatan mencari peluang dalam industri ini,” katanya.
Tambahnya lagi, melalui NATSEC Asia 2026, industri pertahanan mendapat pendedahan meluas dan ini bakal menarik ramai pelabur baharu.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Makine ve Kimya Endüstrisi (MKE), Anzeco Powertech Sdn. Bhd. dan Kerajaan Negeri bagi Pembangunan Hab Industri Pertahanan di Melaka.
MoU itu menyasarkan tahap penggunaan kandungan tempatan (localisation) sehingga 40 peratus yang melibatkan pembangunan vendor tempatan, peningkatan kemahiran tenaga kerja, serta pemindahan teknologi selaas dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN).

Dalam majlis yang sama, Pengurus Jualan & Pemasaran Antarabangsa MKE dari Turkiye, Sinan Şenliler berkata, DSA 2026 berperanan sebagai platform pertahanan antarabangsa yang penting, mengumpulkan delegasi dari pelbagai negara, khususnya di rantau Asia-Pasifik.
Menurut Şenliler, program itu menghubungkan organisasinya dengan ramai pihak untuk menawarkan solusi pertahanan bagi negara di rantau ini termasuk Malaysia, menjadikan pelaksanaan DSA 2026 sangat berkesan.
“Kami berada dalam pasaran ini selama bertahun-tahun dan matlamat kami adalah untuk mengembangkan kerjasama Turkiye dengan semua negara, khususnya Malaysia.
“Kami menghasilkan lebih daripada 400 produk sebagai penyelesaian untuk negara di rantau ini, dan gembira apabila solusi ini dapat ditawarkan kepada pihak yang berminat,” katanya.

Selain MKE, Pengarah Lembaga Resource Industries dari Arab Emiriah Bersatu (UAE), Mohammed Ayesh berkata, syarikatnya turut mengambil peluang untuk mengukuhkan kehadiran mereka melalui DSA 2026, sekali gus membuka saluran baharu dalam industri pertahanan rantau ini.
Katanya, negara-negara di Asia Pasifik terutamanya Malaysia, mempunyai banyak kepakaran siber keselamatan yang baik.
Susulan itu, beliau berkata syarikatnya telah mengadakan pertemuan dengan beberapa pengusaha industri tempatan untuk bertukar pengetahuan dan pengalaman dalam bidang tersebut.
Bagi Mohammed, program itu bukan sahaja pameran untuk berdagang atau memperagakan aset ketenteraan, namun medan penghubung yang penting untuk mengadakan banyak usaha sama ke arah keamanan global.

Naib Presiden bagi Perniagaan dan Pemasaran Antarabangsa Havelsan dari Turkiye, Sevket Unal berkata, syarikatnya dapat memperkukuh kerjasama dengan pengusaha industri tempatan seperti kumpulan Boustead Berhad melalui DSA 2026.
Peluang seperti itu, katanya, membuka ruang buat syarikat mereka menempatkan beberapa penyelesaian dalam sistem pertahanan Malaysia dan membangunkan operasi mereka secara domestik.
“Dalam tempoh 20 tahun lalu, industri pertahanan Turkiye meningkat dengan sangat tinggi sehingga sekitar 80 peratus produk pertahanan Turkiye dihasilkan dalam negeri pada 2026.
“Usaha itu dilihat sebagai inisiatif yang patut dihargai dan dihormati oleh banyak negara termasuk Malaysia, dan menjadi perintis kepada kerjasama antara kedua-dua negara untuk membangunkan sesuatu dengan keupayaan sendiri,” katanya.
