WAWANCARA | Perubahan landskap pekerjaan yang semakin menuntut kemahiran teknikal dan kecekapan praktikal mendorong semakin ramai ibu bapa beralih kepada laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pendekatan lebih relevan dalam mempersiapkan anak-anak menghadapi keperluan industri masa kini.
Trend itu mencerminkan peralihan persepsi masyarakat terhadap TVET yang kini bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya laluan pendidikan teknikal yang kini diarusperdanakan dalam membina kerjaya berdaya saing serta selari dengan keperluan ekonomi negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebelum ini mendedahkan jumlah permohonan melonjak daripada 28,098 pada 2022 kepada 58,263 tahun lalu, ia satu isyarat jelas TVET kini menjadi rebutan.
Ikuti temubual Malaysiakini bersama tiga ibu yang mendorong anak-anak mereka untuk mengikuti laluan pendidikan yang strategik, fleksibel dan berorientasikan kerjaya jangka panjang.
Pemacu ekonomi masa hadapan
Pegawai Teknologi Maklumat, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Rahmatulfathiah Samsuri yang anaknya kini mengikuti kursus Pengurusan Perniagaan di institusi TVET menyifatkan sistem pendidikan negara kini berada di landasan tepat dengan menyatukan STEM dan TVET sebagai teras utama seawal peringkat sekolah menengah.
Menurut beliau, hala tuju itu dapat dilihat menerusi pelaksanaan pelan pendidikan jangka panjang Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2030 selain sokongan peruntukan besar kerajaan bagi memperkasa sektor berkenaan.
“Bagi saya, hala tuju negara sekarang memang jelas STEM membekalkan asas teori dan pemikiran logik, manakala TVET pula menjadi platform aplikasi kemahiran tersebut.
“Pendedahan kepada bidang ini juga semakin awal bermula dari Tahun Satu di sekolah rendah melalui Kurikulum Persekolahan 2027 dengan fokus bertujuan membina kemahiran teknikal dan menarik minat pelajar ke bidang teknologi.
“Kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM7.9 bilion untuk TVET dalam Belanjawan 2026 selain memberi sokongan dari segi pembangunan latihan dan kemahiran dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan kenderaan elektrik (EV), ini menunjukkan sokongan serius daripada segi pelaburan Malaysia ke atas STEM dan TVET,” katanya.

Pada masa sama, Rahmatulfathiah melihat akses kepada pendidikan TVET kini semakin meluas dengan kewujudan kira-kira 1,398 institusi di seluruh negara.
Jaminan kobolehkerjaan graduan
Seiring dengan perkembangan ekonomi berasaskan kemahiran dan perkhidmatan di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) beliau melihat laluan TVET sebagai satu pilihan yang relevan dan praktikal untuk masa depan.
“Peluang untuk masuk ke laluan ini sebenarnya sangat terbuka, terutama bagi pelajar yang ingin membina kemahiran praktikal dan teknikal sejak awal,” katanya.
Mengulas keputusan memilih laluan TVET untuk Wan Nurzafirah Balqis Wan Abdul Jalil, 18, Rahmatulfathiah menyatakan kepuasan dan komitmen penuh dalam menyokong pendidikan anaknya itu hingga ke peringkat lebih tinggi.
Beliau yakin laluan itu mampu menjamin kestabilan kerjaya jangka panjang, memandangkan kadar kebolehkerjaan graduan yang tinggi serta hubungan erat antara institusi dan industri.
“Saya amat berpuas hati dan menggalakkan anak saya menghabiskan Sijil Vokasional Malaysia dan seterusnya Diploma Vokasional Malaysia.
“Jika keputusan cemerlang, saya akan terus menyokong hingga ke peringkat tertinggi dalam bidang TVET.
“Saya melihat kadar kebolehkerjaan graduan TVET mencecah 99 peratus, ini antara bukti kuat bahawa laluan ini memang relevan dengan pasaran kerja. Hubungan industri juga rapat,” katanya.
Tambah Rahmatulfathiah, pendekatan pembelajaran TVET yang menekankan 70 peratus latihan praktikal dan 30 peratus teori memberi kelebihan kepada pelajar untuk menguasai kemahiran sebenar yang diperlukan di tempat kerja.
Pada masa sama, beliau mencadangkan beberapa penambahbaikan bagi memperkukuh sistem TVET, termasuk memperluas pendedahan industri, menyeragamkan standard kualiti institusi serta meningkatkan persepsi masyarakat terhadap laluan tersebut.
“TVET perlu lebih praktikal dan dekat dengan industri, lebih berkualiti dan konsisten serta lebih dihargai masyarakat,” katanya.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan laluan pendidikan yang lebih fleksibel serta jelas untuk pelajar menyambung pengajian, di samping meningkatkan latihan kepada tenaga pengajar.
Melatih usahawan muda
Menurut suri rumah, Raja Adella Raja Kamarulzaman, kecenderungan anaknya terhadap pembelajaran berasaskan kemahiran menjadi faktor utama beliau mendorong remaja tersebut menyambung pengajian di kolej vokasional dalam jurusan kosmetologi.
Beliau menekankan penguasaan teori semata-mata tidak lagi menjamin survival dalam industri hari ini.
“Zaman sekarang memerlukan kemahiran. Ada pelajar yang mungkin boleh jawab peperiksaan dengan baik, tetapi apabila masuk alam pekerjaan, mereka kurang pengalaman praktikal.
“Dengan kemahiran yang ada, anak saya sudah mula menjana pendapatan sendiri, tegas beliau ketika mengulas mengenai kelebihan sistem pembelajaran TVET.
Menurutnya, pendedahan awal kepada persekitaran kerja sebenar memberikan kelebihan buat pelajar vokasional berbanding rakan sebaya mereka di aliran perdana.
Seruan buat ibu bapa
Raja Adella, 51, berkata, selain peluang kerjaya makan gaji, bidang kemahiran seperti kosmetologi membuka ruang yang luas untuk anak muda bergelar usahawan pada usia muda.
Menurut beliau, hal itu terbukti apabila anaknya kini sudah mula mengaplikasikan ilmu yang dipelajari untuk menjana pendapatan sendiri.
“Dengan kemahiran yang ada, anak saya sudah mula menjana pendapatan sendiri dan berpotensi untuk pergi lebih jauh, termasuk membuka perniagaan sendiri seperti spa atau salon kecantikan pada masa hadapan,” katanya.

Raja Adella mengharapkan agar masyarakat, terutamanya ibu bapa, membuang stigma negatif terhadap laluan TVET dan melihatnya sebagai platform membina kerjaya yang kukuh.
“Jangan hadkan kejayaan hanya kepada akademik semata-mata. TVET memberi ruang untuk mereka membina kemahiran dan mencipta peluang kerjaya sendiri,” katanya.
Sementara itu, Penolong Guru Tabika Perpaduan, Raja Aida Raja Kamarulzaman berkata, keputusan membenarkan Wan Arif Rusyaidi Shamsul Kamar, 19, mengikuti kursus seni bina dan pelukis pelan (arkitek) di bawah laluan TVET adalah langkah selari dengan keperluan industri semasa.
Menurut beliau, minat anaknya cenderung kepada sektor pembuatan berasaskan bahan seperti kayu, kertas dan perabot - antara bidang yang turut diberi penekanan di bawah MITI menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Mendepani cabaran industri teknikal
Beliau sedar bahawa sektor pembuatan dan pembinaan kini memerlukan integrasi teknologi moden yang hanya boleh dikuasai melalui latihan teknikal yang intensif.
Mengulas hala tuju pendidikan anaknya dalam menghadapi cabaran ekonomi masa depan, Raja Aida, 47, berkata, perubahan landskap pekerjaan kini lebih menuntut kecekapan praktikal berbanding pencapaian akademik semata-mata.
Justeru, beliau mengakui berpuas hati dengan keputusan tersebut, malah yakin bidang yang diceburi anaknya berpotensi menawarkan kestabilan kerjaya dalam jangka panjang bergantung kepada permintaan industri.

“Kemahiran lebih diperlukan pada zaman sekarang. Kini banyak sektor industri yang menggunakan teknologi yang memerlukan asas kepada kemahiran.
“Permintaan pekerjaan lebih kepada kemahiran praktikal dan pengalaman,” katanya.
Sejajar dengan aspirasi NIMP 2030, laluan TVET dilihat sebagai pemangkin utama dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu menyokong sektor perindustrian bernilai tinggi, termasuk reka bentuk, pembuatan dan pembinaan.
