Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Kemajuan keseluruhan kapal tempur pesisir pertama LCS TLDM capai 77%, penyerahan kekal mengikut jadual

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan program Littoral Combat Ship (LCS) atau Kapal Tempur Pesisir pertama Tentera Laut Diraja Malaysia mencapai kemajuan keseluruhan sebanyak 77.46 peratus bagi kesemua lima buah kapal setakat April 2026, dan penyerahan kapal kekal mengikut jadual asal.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke LCS1 di Lumut Naval Shipyard (LUNAS), Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak, hari ini.

“Sukacita saya maklumkan, setakat bulan April ini, kemajuan kerja bagi setiap kapal adalah memuaskan. LCS1 sebanyak 84.30 peratus, LCS2 sebanyak 79.48 peratus, LCS3 sebanyak 71.22 peratus, LCS4 sebanyak 60.52 peratus dan LCS5 sebanyak 49.71 peratus.

“Perbezaan kemajuan ini adalah kerana setiap kapal dilaksanakan secara serentak pada fasa pembinaan dan integrasi yang berbeza, menunjukkan pendekatan program ini lebih tersusun dan berdisiplin.

“Kemajuan ini juga menandakan bahawa jadual penyerahan LCS tidak bertukar, iaitu LCS1 pada Disember ini, LCS2 pada Ogos 2027, LCS3 pada Disember 2027, LCS4 pada Ogos 2028 dan LCS5 pada April 2029,” katanya. 

Khaled ketika lawatan sekitar kapal LCS1 yang menjadi kapal pertahanan utama bagi keseluruhan program tersebut

Sepanjang lawatan tersebut, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin diiringi Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan (MINDEF), Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain, wakil LUNAS dan agensi-agensi kerajaan. 

Pada masa sama, beliau berkata pembinaan kapal LCS turut selari dengan agenda Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang menekankan kemandirian negara melalui pembangunan bakat tempatan serta pengurangan kebergantungan kepada teknologi asing.

Jelasnya, sebanyak 30 peratus komponen yang diintegrasikan dalam kelima-lima kapal LCS dibekalkan oleh pengusaha industri tempatan, sekali gus membuktikan keupayaan negara membangunkan teknologi pertahanan secara domestik.

Menurut Khaled, sekiranya perkembangan itu diteruskan, ia membuka peluang buat agensi-agensi di bawah MINDEF seperti TLDM untuk mempertingkat kolaborasi dengan pengusaha tempatan, misalnya LUNAS.

Usaha itu penting khususnya selepas pembatalan lesen eksport sistem peluru berpandu Surface-to-Surface (NSM) oleh Norway baru-baru ini yang menjejaskan kapal-kapal LCS serta KD Jebat dan KD Lekiu. 

Khaled ketika sidang media di LUNAS, Pangkalan TLDM, Lumut, Perak, hari ini

Walaupun tiga lagi jenis persenjataan iaitu Surface-to-Air, Surface-to-Submarine dan Electronic Warfare tidak terjejas, ketiadaan NSM memberi kesan kepada integrasi sistem, ujian dan latihan kru kapal sungguhpun kapal dijangka siap mengikut ketetapan jadual.

Khaled berkata, pembatalan tersebut dibuat secara unilateral atas dasar baharu negara tersebut bagi mengehadkan eksport teknologi sensitif kepada sekutu terdekat seperti negara NATO. 

Susulan itu, beliau berkata TLDM dalam usaha mencari alternatif bagi sistem peluru berpandu itu untuk memastikan kapal dilengkapi persejentaan seperti yang dirancang.

“Jumlah keseluruhan kontrak perolehan NSM adalah sebanyak RM634.7 juta, dan Malaysia telah membuat pembayaran sebanyak 95 peratus atau RM583.4 juta kepada syarikat tersebut.

“Malaysia telah menghantar notis tuntutan kos langsung (jumlah yang telah dibayar) dan tidak langsung (kos pembukaan semula pemasangan sedia ada) kepada syarikat Norway. 

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan tuntutan dijangka melebihi RM1 bilion,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi peringatan kepada negara serantau untuk mengambil iktibar daripada insiden tersebut agar tidak berurusan dengan Norway dalam perolehan pertahanan.

Katanya, apabila komitmen dibatal secara sepihak, ia merosakkan keyakinan terhadap keseluruhan sistem perjanjian dan kontrak antarabangsa.

Pada masa hadapan, beliau berkata Malaysia akan mengelakkan sebarang pembelian pertahanan daripada Norway.

Pembinaan dan ujian keatas kapal-kapal LCS kini dilaksanakan di LUNAS, Pangkalan TLDM, Lumut, Perak yang secara tidak langsung mengangkat bakat tempatan dalam rantaian bekalan industri pertahanan

Buat masa ini, LCS1 telah memulakan ujian laut sebagai fasa pengesahan sebelum melalui Sea Acceptance Trials (SAT) bersama TLDM, manakala LCS 2 dijadualkan berlayar buat kali pertama pada suku keempat tahun ini.

LCS3 pula kini berada dalam fasa pembinaan berintensiti tinggi, sementara LCS4 dijadualkan menjalani penurunan ke air pertama pada penghujung tahun ini. 

LCS5 juga menunjukkan kemajuan yang stabil dalam fasa pembinaan, dengan empat blok siap, kesemua empat Main Diesel Generator berjaya dipasang dan Combat Management System berjaya menamatkan Factory Acceptance Test (FAT). 

Tegas beliau, LCS merupakan projek yang sangat penting dalam landskap pertahanan negara dan melibatkan jumlah perolehan yang sangat besar, maka sewajarnya ia diberi perhatian oleh bukan sahaja Kementerian tetapi juga rakyat. 

Sehubungan itu, beliau berkata MINDEF akan terus memantau kemajuan pelaksanaan program tersebut bagi memastikan ia dijalankan dengan baik dan mengikut jadual, sekali gus menjamin keupayaan TLDM diperkukuhkan selaras keutamaan pertahanan negara. 

Program LCS adalah inisiatif pembinaan frigat siluman (stealth frigate) bertujuan memperkukuh keupayaan TLDM dalam mempertahankan negara, dengan kos sebanyak RM9 bilion dan bermula pada tahun 2015. 

Menjelang penyerahannya, kapal LCS dijangka menjadi kapal kombatan permukaan terbesar dan paling moden dalam armada TLDM.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS