Kuala Lumpur, 18 Ogos 2026 –KPJ Healthcare Berhad ("KPJ Healthcare" atau "Kumpulan"), rangkaian hospital swasta terbesar di Malaysia dan Sistem Kesihatan Akademik swasta negara, hari ini mengumumkan peningkatan keuntungan bersih (“PATAMI”) sebanyak 27% tahun ke tahun kepada RM104 juta bagi suku kedua, dengan hasil meningkat 17% kepada RM1,197 juta bagi tempoh tiga bulan berakhir 30 Jun 2026. Pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan jumlah pesakit serta peralihan kepada rawatan kes yang lebih kompleks dan memerlukan tahap penjagaan lebih tinggi. Dalam tempoh tersebut, jumlah pembedahan meningkat 12%, kemasukan pesakit dalam sebanyak 10%, manakala purata hasil bagi setiap pesakit meningkat 7% bagi segmen pesakit dalam dan pesakit luar.
Bagi enam bulan pertama TK2026, Kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM2,247 juta (S1 TK2025: RM1,991 juta) dan PATAMI sebanyak RM174 juta (S1 TK2025: RM139 juta).

Margin PATAMI meningkat kepada 9%, disokong oleh campuran kes yang lebih kukuh serta kecekapan operasi yang lebih tinggi. Margin EBITDA sebanyak 23% pula mencatatkan penurunan satu mata peratusan berbanding tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh peningkatan kos operasi susulan pertambahan aktiviti hospital, khususnya kos pelaburan berkaitan teknologi bagi mempertingkat pengalaman pesakit, menambah baik penyampaian perkhidmatan serta menyokong operasi hospital yang lebih cekap. Walau bagaimanapun, Kesan ini sebahagiannya diimbangi oleh pengurusan kos berdisiplin yang berterusan.

Chin Keat Chyuan, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare berkata, “Prestasi suku ini memperlihatkan kekuatan strategi KPJ serta pelaksanaan secara kolektif di seluruh Kumpulan. Semakin ramai pesakit memilih KPJ untuk mendapatkan rawatan bagi kes yang lebih kompleks, mencerminkan kekuatan pasukan klinikal, kepimpinan hospital dan pengurusan di seluruh rangkaian. Keuntungan meningkat 27% meskipun berdepan tekanan kos dalam industri. Margin PATAMI bertambah baik, manakala margin EBITDA sedikit terjejas akibat inflasi dan kos penambahan kapasiti. Pasukan kami mengambil langkah terancang untuk menambah kapasiti bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat. Kadar penggunaan katil sebanyak 68% menunjukkan bahawa peluasan rangkaian hospital kami berada pada landasan yang tepat untuk menyokong pertumbuhan masa hadapan.”
Pemacu Pertumbuhan Strategik
Pelaksanaan Pelan Strategik Kumpulan 2026–2030 menerusi KPJ Health System ("KPJHS") terus mencatat kemajuan melalui enam pemacu pertumbuhan utama pada suku ini:
1. Penjagaan Kes Lebih Kompleks dan Pusat Kecemerlangan

Pencapaian klinikal pada suku ini mencerminkan peralihan rangkaian hospital KPJ ke arah penjagaan kes yang lebih kompleks dan khusus, yang menjadi pemacu utama kepada peningkatan 7% dalam intensiti hasil. Damansara Specialist Hospital 2 menjadi hospital pertama di Asia Tenggara yang menawarkan rawatan Supine High-Intensity Focused Ultrasound ("HIFU") bagi rawatan fibroid rahim tanpa pembedahan. KPJ Selangor Specialist Hospital pula melaksanakan pembedahan skru simen invasif minimum HOBBIT yang pertama di rantau Asia Pasifik. Johor Specialist Hospital berjaya melakukan prosedur pembaikan mastoid dan gegendang telinga ketika pesakit dalam keadaan sedar yang pertama di Malaysia, KPJ Kluang Specialist Hospital menjadi hospital pertama di selatan Malaysia yang menjalankan prosedur FARAPULSE pulsed-field ablation bagi merawat fibrilasi atrium; Tawakkal Specialist Hospital memperkenalkan perkhidmatan pemindahan buah pinggang pertama dalam rangkaian KPJ serta turut berjaya melakukan pemasangan implan pendengaran Cochlear Nucleus Nexa generasi terkini yang pertama. Pada masa yang sama, Ipoh Specialist Hospital meraikan kejayaan pembedahan jantung terbuka yang ke-3,000 sejak tahun 2000. Selepas tempoh suku kedua, Kumpulan juga telah melancarkan Pusat Kecemerlangan Ortopedik dan Reumatologi di KPJ Penang Specialist Hospital, yang merupakan pusat pertama seumpamanya di bawah KPJHS.
2. Pemacu Sistem Kesihatan Akademik

KPJ Healthcare University memeterai kerjasama strategik dengan Royal College of Surgeons of England bagi memperkukuh pendidikan pembedahan dan kecemerlangan klinikal di seluruh rangkaian, seiring dengan khidmat perundingan berterusan Kumpulan bersama Mayo Clinic serta kerjasama strategiknya dengan SingHealth. Dengan lebih 40 program akademik yang ditawarkan oleh KPJU, kerjasama ini turut membangunkan keupayaan dan kepakaran yang diperlukan untuk menyokong aspirasi klinikal Kumpulan, sekali gus memperkukuh kedudukan KPJ sebagai satu-satunya sistem kesihatan swasta di Malaysia yang mengintegrasikan amalan klinikal, pendidikan, penyelidikan dan inovasi pada skala sistem.
3. Peluasan Rangkaian dan Penjagaan Ambulatori
KPJ Perdana Specialist Hospital memulakan pembinaan fasiliti baharunya di Kota Bharu yang akan menambah kapasiti perkhidmatan pakar di Pantai Timur pada masa hadapan. Tiga Pusat Penjagaan Ambulatori Kumpulan terus memperluas akses penjagaan kesihatan di luar fasiliti hospital, termasuk pembukaan KPJ Centre for Sight di PJ33 baharu yang membawa perkhidmatan oftalmologi pakar lebih dekat kepada komuniti. Dengan kadar penggunaan katil di seluruh rangkaian hospital Kumpulan yang meningkat kepada 68% berbanding 62% pada tahun sebelumnya, rangkaian hospital KPJ terus mengoptimumkan kapasiti sedia ada sambil menambah kapasiti baharu bagi menyokong pertumbuhan seterusnya.
4. Penjagaan Kesihatan Berasaskan Digital, AI dan Data
Kumpulan terus memperkukuh integrasi kecerdasan buatan (AI), genomik dan penjagaan berasaskan nilai dalam sistem kesihatan akademiknya. Usaha ini turut disokong oleh platform digital untuk pengguna meerusi aplikasi KPJ Cares serta KPJ Cares Junior yang baru dilancarkan, yang merupakan program literasi kesihatan khusus untuk kanak-kanak.
5. Pelancongan Kesihatan dan Pesakit Luar Negara
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, segmen pelancongan kesihatan Kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM146 juta daripada 86,170 pesakit, meningkat 21% tahun ke tahun. Segmen pesakit luar negara kekal sebagai pemacu pertumbuhan jangka panjang, menerusi International Patient Centres serta disokong oleh kedudukan Malaysia sebagai destinasi serantau bagi perkhidmatan pakar berkualiti tingi pada harga yang berdaya saing.
6. Akses, Pembiayaan dan Pencegahan
Kumpulan menyambut baik MediASAS, pelan asas insurans/takaful kesihatan yang diumumkan oleh Kerajaan pada Julai 2026 sebagai sebahagian daripada reformasi pembiayaan penjagaan kesihatan negara. Inisiatif tersebut dijangka memperluas akses kepada perlindungan insurans dan menyokong permintaan jangka panjang yang mampan terhadap kapasiti penjagaan kesihatan swasta.
Pada suku ini, Kumpulan turut melancarkan kempen Digestive Care 4 Life di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia, termasuk menyediakan 500 prosedur endoskopi dan kolonoskopi secara percuma kepada pesakit awam yang layak. Inisiatif ini melengkapi peranan berterusan rangkaian Klinik Waqaf An-Nur dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti.
Kumpulan turut memperkukuh kepimpinan transformasinya pada suku ini melalui pelantikan Pegawai Strategi, Perancangan dan Transformasi yang pertama.
Mengulas mengenai hala tuju Kumpulan, Chin berkata, “Setiap pemacu yang sedang dibangunkan oleh pasukan kami, termasuk Pusat Kecemerlangan, Sistem Kesihatan Akademik, kapasiti baharu, penjagaan digital, pesakit luar negara mahupun peluasan akses pembiayaan mempunyai matlamat yang sama, iaitu membina sistem kesihatan yang berupaya merawat kes-kes kompleks, melahirkan generasi profesional yang akan menerajui penjagaan kesihatan pada masa hadapan serta mewujudkan nilai yang mampan kepada pemegang saham. Prestasi yang dicatatkan hari ini merupakan petunjuk awal kepada kemajuan ini, sekali gus mencerminkan kekuatan kolektif pasukan kami yang merangkumi barisan pakar, pasukan klinikal, kepimpinan hospital dan pengurusan di seluruh Kumpulan.”
Dividen
Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 1.10 sen sesaham bagi TK2026 berjumlah RM48.7 juta yang akan dibayar pada 9 Oktober 2026 kepada pemegang saham yang berdaftar setakat 18 September 2026.
Prospek Operasi
Bank Negara Malaysia (“BNM”) melaporkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (“KDNK”) sebanyak 6%, didorong oleh pertumbuhan eksport yang lebih kukuh, perbelanjaan isi rumah yang kekal mampan serta aktiviti pelaburan yang kekal stabil. BNM menjangkakan pertumbuhan KDNK Malaysia berada pada kadar 4% hingga 5% bagi tahun 2026, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan serta aktiviti eksport yang berterusan.
Seiring permintaan yang berterusan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta yang berkualiti, Kumpulan terus melaksanakan program pengoptimuman aset dan memperkukuh kecekapan operasi, di samping meneruskan peluasan kapasiti di seluruh rangkaiannya. Meskipun berdepan cabaran ekonomi dan geopolitik global yang berterusan, Kumpulan kekal optimis secara berhati-hati terhadap prospeknya bagi tahun kewangan 2026.

Perkembangan Selepas Suku Kedua
Selain pelancaran Pusat Kecemerlangan Ortopedik dan Reumatologi di KPJ Penang Specialist Hospital, Kumpulan terus memperkukuh agenda klinikal, akademik dan digitalnya termasuk memperluas kerjasama strategik bersama SingHealth serta meneruskan khidmat perundingan bersama Mayo Clinic.
Kandungan ini disediakan oleh KPJ Healthcare Berhad.
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected]
