Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melaksanakan pelbagai insentif dan pakej rangsangan ekonomi yang berjumlah lebih RM530 billion bagi membantu meringankan beban rakyat Malaysia dan juga usahawan tempatan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
Pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan sebelum ini termasuk Prihatin, Prihatin PKS Tambahan, Penjana, Kita Prihatin, Permai, Pemerkasa, Pemerkasa+ dan juga Pemulih.
Kesemua pakej rangsangan ini dilaksanakan bagi memastikan kehidupan dan kebajikan rakyat sentiasa terbela. Sewaktu Perikatan Nasional mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan, negara diuji dengan krisis kesihatan dan ekonomi yang getir. Namun, PN sedar bahawa dalam keadaan yang sukar ini, rakyat bergantung kepada keprihatinan kerajaan untuk membantu mereka meringankan beban dan seterusnya keluar daripada permasalahan yang dibawa oleh pandemik COVID-19.
Agenda prihatin rakyat merupakan antara tumpuan dan teras utama kerajaan PN untuk membantu rakyat Malaysia terutamanya golongan berpendapatan B40 dan M40 melalui beberapa langkah bantuan tunai secara langsung.
Baru-baru ini, tinjauan wartawan Malaysiakini di Arena Warna, DUN Semarang, mendapati rata-rata golongan industri kecil dan sederhana (IKS) di situ telah berjaya memanfaatkan pelbagai insentif dari tahun 2020 sehingga tahun 2021.

Menurut Ramlah, 59, peniaga hasil laut, semasa waktu pandemik melanda negara, beliau telah mendapat bantuan kewangan Geran Khas Prihatin (GKP) yang berjumlah RM1,500. GKP adalah bantuan kewangan secara one-off kepada Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) yang layak bagi meringankan beban kewangan perniagaan di samping meningkatkan produktiviti pengeluaran dan perkhidmatan.
Hampir sejuta pengusaha PMKS di seluruh negara telah mendapat bantuan GKP semasa pentadbiran PN yang berjumlah RM6.1 bilion.

Selain itu, Karya, 23, peniaga di Arena Warna juga berkata bahawa beliau telah menerima pelbagai insentif ketika pandemik seperti Pemerkasa dan Pemerkasa+. Bantuan kewangan tersebut amat membantu beliau meneruskan kos sara hidup kerana waktu tersebut banyak peniaga tidak dapat meneruskan perniagaan mereka.
Di bawah Pemerkasa, kerajaan telah memberi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sebanyak RM500 kepada golongan B40 yang mempunyai pendapatan kurang dari RM1,000 atau yang telah hilang kerja. Sebanyak RM1.2 bilion telah diperuntukan bagi BPR ini telah dimanfaatkan oleh 2.4 juta rakyat Malaysia.
Tambahan pula, kawasan ini juga merupakan satu kawasan pelancong, jadi jika sempadan sudah dibuka ramai pengunjung dari Singapura akan datang membeli-belah, dan ini akan dapat memajukan lagi banyak sektor PMKS di sini.

Zainab, 65 berkata beliau telah mendapat insentif dari pakej Kita Prihatin sewaktu pentadbiran kerajaan PN dan insentif tersebut telah banyak meringankan beban beliau. Pakej Kita Prihatin yang diumumkan pada tahun 2020 telah banyak membantu melalui Bantuan Prihatin Nasional 2.0 berjumlah RM7 bilion, Program Subsidi Upah 2.0 (RM2.4 bilion) dan inisiatif Geran Khas Prihatin sebanyak RM600 juta.
“Saya berharap pada masa hadapan kita akan dapat insentif seperti ini dari kerajaan,” katanya.

Calon PN DUN Semarang, Shazani A. Hamid berkata nilai keprihatinan adalah prinsip panduan utama kerajaan Perikatan Nasional. Sebuah kerajaan yang baik mestilah sentiasa prihatin kepada rakyat, di mana kebajikan rakyat adalah perkara yang harus diutamakan. Prinsip tersebut telah pun diterjemahkan dalam pakej-pakej rangsangan ekonomi.8 pakej rangsangan yang dilancarkan kerajaan PN ini telah memanfaatkan lebih 20 juta rakyat, serta 2.4 juta pengusaha perniagaan sepanjang tempoh pandemik COVID-19.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan slogan 'Demi Bangsa Johor' pada 2 Mac yang lalu. Ikrar yang telah ditawarkan adalah sebuah komitmen realistik dan praktikal bahawa PN adalah sebuah gabungan parti politik yang bersih, cekap dan prihatin rakyat.
Pentadbiran kerajaan negeri yang bersih dan cekap mestilah ditunjangi oleh kepemimpinan yang berintegriti dan bebas rasuah.
Oleh itu, PN akan membentuk kerajaan yang sentiasa mendukung pemimpin berintegriti, bebas rasuah dan menolak penyalahgunaan kuasa sekiranya diberi mandat oleh pengundi Johor.
Kempen PRN Johor telah bermula pada 26 Februari lalu dan pengundi akan membuat pilihan pada 12 Mac ini.
