Ikrar tunjang ketujuh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memfokuskan kerancakan sektor pelancongan di negeri Johor. PN akan berusaha untuk mencipta produk pelancongan yang bernilai tinggi dengan memanfaatkan gabungan unik alam semula jadi dan warisan sejarah yang terdapat di negeri Johor.
Antara usaha yang akan diperkasakan adalah mempromosikan konsep agropelancongan melalui program “Johor Agro Visit” dan memanfaatkan keunikan alam semula jadi serta warisan sejarah Johor dalam mengoptimumkan penawaran produk pelancongan bernilai tinggi.

Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama, Mohamad Alias Rasman, 31, berhasrat untuk mempromosikan warisan sejarah di kawasannya dengan konsep “heritage tourism” yang akan menarik kehadiran pelancong yang ramai serta menyumbang kepada ekonomi di kawasan kampung dan FELDA.
“Lokasi Kota Tinggi sangat berdekatan dengan Johor Bahru, jadi penduduk di dini banyak bergantung kepada Johor Bahru untuk mencari peluang pekerjaan dan hasil pendapatan. Oleh itu, jika diberi mandat, saya akan memperkasakan pelancongan berkonsepkan “heritage dan rural tourism” di kawasan sini serta memperluaskan aktiviti mempromosikan tempat tarikan pelancong supaya dapat meyumbang kepada ekonomi di Kota Tinggi” katanya.
Menurut beliau, Johor Lama juga sangat berdekatan dengan Teluk Sengat yang mempunyai pelbagai jenis produk pelancongan seperti produk ternakan ikan belangkas dan makanan laut. Selain itu, di Teluk Sengat juga terdapat Crocodile World, sebuah taman sarang buaya yang terbesar di Semenanjung Malaysia tetapi ramai yang tidak tahu kewujudannya.
Di samping itu, dari segi warisan sejarah pula, Johor Lama mempunyai Muzium Kota Johor Lama yang merupakan satu-satunya muzium di Johor yang terletak di bawah pentadbiran Jabatan Muzium Malaysia. Muzium ini mempamerkan maklumat tentang sejarah Kota Johor Lama, yang merupakan pusat pentadbiran selepas kejatuhan Kesultanan Melaka pada tahun 1511.
Seterusnya, menurut beliau, jaringan internet merupakan satu asas yang penting bagi pelajar menjalankan sesi pembelajaran atas talian.
“Jika saya diberi mandat, saya akan memastikan DUN Johor Lama mempunyai jaringan Internet asas yang baik untuk pelajar-pelajar di sini melaksanakan sesi pembelajaran tanpa gangguan Internet” ujarnya.
“Bagi belia pula, saya akan tingkatkan infrastruktur sukan seperti pembinaan mini stadium untuk belia meluangkan masa yang berfaedah di sini serta tidak perlu berulang alik ke bandar untuk menghabiskan masa, saya juga ingin memastikan Kota Tinggi tidak akan menjadi sebuah bandar yang sunyi pada masa akan datang, tambahnya”
Tambahan pula, beliau menjelaskan bahawa terdapat segelintir isu lot Felda yang berkaitan dengan soal pewarisan kepada generasi kedua serta kebanyakan daripada mereka yang bekerja tanpa slip gaji dan dokumentasi perniagaan, hal ini mengurangkan peluang mereka untuk mendapatkan pinjaman tunai dan bantuan perniagaan.
“Antara fokus bagi isu Felda, saya akan berurus dengan pihak yang bertanggungjawab untuk memastikan setiap pekerja di sini mendapat slip gaji atau dokumentasi yang sewajarnya untuk memudahkan mereka bekerja serta mendapat pinjaman yang sewajarnya” ujarnya.
Beliau juga mengatakan bahawa cadangan PN untuk menetapkan kadar premium tanah sebanyak RM1.00 sekaki persegi bagi semua lot tanah yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri di bawah Program Pemberimilikan Lot Tanah Generasi Baharu FELDA sangat bermanfaat untuk generasi kedua Felda di sini.
Harapan Pengurus Destinasi Pelancong di Kota Tinggi pada masa akan datang

Cecilia Ng, 55, pengurus Crocodile Farm di Teluk Sengat mengatakan bahawa pada waktu PKP dahulu, beliau terpaksa menutup Tasik Buaya tersebut selama 15 bulan dan ia amat menjejaskan pendapatannya. Dengan pembukaan sempadan, beliau berharap inisiatif ini boleh menarik ramai lagi pengunjung dari Singapura untuk datang terutamanya melalui lawatan sekolah.
“Saya harap calon DUN kawasan Johor Lama yang akan dilantik nanti, perlu mempromosikan tempat ini dengan lebih giat dan tempat ini akan dibuka setiap hari kepada semua pengunjung yang hadir serta meningkatkan pengetahuan mereka untuk ketahui pelbagai jenis buaya dan fahami ilmu sejarah buaya di sini” katanya.
“Kebanyakkan penduduk di Malaysia tidak tahu kewujudan tempat ini” tambahnya.

Mohamad Harith, 39, pengurus Muzium Kota Johor Lama berkata Pembukaan sempadan juga menyumbang kepada peningkatan kehadiran pelancong ke sini, sebelum COVID-19 kami pernah terima kehadiran pelancong dari Singapura dan negara lain ke muzium ini. Walaubagaimanapun pengunjung sangat kurang sekarang dan sejak waktu PKP dahulu.
Walaupun kami di bawah institusi kerajaan dan tidak begitu terjejas dari segi pendapatan, tetapi statistik pelawat juga penting terutamanya ke tempat warisan bersejarah di Johor yang mempunyai bahan artifak yang dipelihara sejak dahulu lagi.
Kerajaan PN juga ingin mengoptimumkan potensi di negeri Johor sebagai negeri yang terkehadapan dalam pelbagai sektor seperti pelancongan, agrikultur, pembangunan ekonomi dan sebagainya jika diberi mandat pada pilihan raya nanti.
