Bahasa Melayu memiliki keunikan dan kelebihan tersendiri khususnya dalam kalangan negara ASEAN dan ia diyakini boleh dijadikan salah satu bahasa rasmi ASEAN.
Oleh itu, skop kerjasama antara negara-negara ASEAN perlu dirancang dengan lebih rapi supaya Bahasa Melayu kembali dijadikan 'lingua franca'," kata Perdana Menteri ketika merasmikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Matlamat simposium tersebut dilangsungkan adalah bagi menyahut kenyataan YAB Perdana Menteri bahawa Bahasa Melayu perlu diperluas penggunaannya di peringkat ASEAN dan antarabangsa.
“Banyak negara telah mencapai status negara maju dengan mendaulatkan bahasa sendiri. Kita sepatutnya mempunyai jati diri dan membuktikan bahawa mendaulatkan Bahasa Melayu tidak mengekang kemajuan negara,” kata beliau.
Ismail Sabri berkata, di peringkat ASEAN penyatuan sistem ejaan Rumi dan peristilahan telah tercapai melalui forum kerjasama seperti Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA).
Justeru, Bahasa Melayu perlu dimartabatkan dalam negara, termasuk meminda Akta DBP 1959 bagi memberi kuasa kepada DBP untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap kesalahan pengunaan bahasa berkenaan.
Ismail Sabri menjelaskan, peranan dan tanggungjawab DBP sebagai badan perancangan bahasa, sastera dan penerbitan negara perlu diperincikan dengan lebih jelas supaya pelaksanaan peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan dan undang-undang lain yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan lebih berkesan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha sewajarnya juga perlu dilakukan untuk memperluaskan pengajaran dan penggunaan Bahasa Melayu di institusi pendidikan tinggi di negara ini.
Beliau menegaskan Malaysia dan rakyatnya sepatutnya mempunyai jati diri dan membuktikan bahawa mendaulatkan Bahasa Melayu tidak mengekang kemajuan negara kerana banyak negara yang mencapai status negara maju dengan mendaulatkan bahasa sendiri.
Sehubungan itu, seluruh Keluarga Malaysia, terutama penjawat awam seharusnya memberikan komitmen untuk melaksanakan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.
Perdana Menteri menegaskan pentingnya semua sektor menggunakan Bahasa Melayu dengan seluas-luasnya kerana ia adalah bahasa urusan rasmi kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Awam. Perluasan penggunaan Bahasa Melayu perlu dilaksanakan di semua jabatan dan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta.
"Jadikanlah peribahasa "di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung" sebagai pegangan kerana cara itu barulah Bahasa Melayu benar-benar boleh dijadikan alat perpaduan negara," katanya.
Usaha mengantarabangsakan Bahasa Melayu di persada dunia sudah menjadi dasar kerajaan, dan ia antara bidang keutamaan kerangka Dasar Luar Negeri Malaysia yang dilancarkan pada 7 Disember tahun lalu, iaitu diplomasi kebudayaan.
Katanya, semua surat yang dihantar kepada pemimpin dunia juga dalam bahasa kebangsaan, dengan terjemahan Bahasa Inggeris.
"Persidangan juga menggunakan bahasa Melayu. Ketika Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS) bersama Presiden AS (Joe Biden), saya menggunakan bahasa Melayu. Mesej yang saya sampaikan jelas diterima presiden walaupun saya berbahasa Melayu," kata Perdana Menteri.
Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang bermula 22 Mei hingga 24 Mei adalah kerjasama antara Pejabat Perdana Menteri dengan DBP serta Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
