Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Kandungan Berjenama
Air bersih - Berbaloikah pelarasan tarif air?
Diterbitkan:  Jun 7, 2022 5:02 PM
Dikemaskini: Jul 19, 2022 10:22 AM

Tahukah anda bahawa tarif air Malaysia adalah terendah di Asia Tenggara? Dengan sendirinya, kedudukan sedemikian bukanlah sesuatu yang negatif, sekiranya infrastruktur yang sedia ada sudah cukup baik kerana pelaburan yang telah dibuat di masa lalu. Ini mungkin benar di zaman 1970an dan 80an. Malangnya, sistem bekalan air kini amat memerlukan infrastruktur baharu serta penaiktarafan infrastruktur sedia ada.

Dalam memastikan bekalan air yang berterusan, operator-operator bekalan air berhadapan dengan pelbagai cabaran. Antaranya adalah sistem bekalan air yang usang, pencemaran sumber air, kos pengoperasian yang kian meningkat dan sebagainya. Untuk menangani isu-isu ini, operator memerlukan sumber kewangan yang kukuh. Namun, buat masa ini, terdapat segelintir operator yang mempunyai kedudukan kewangan yang sangat lemah dan tidak mampan sehingga menyebabkan ketidakupayaan menampung kos pengoperasian apatah lagi kos perbelanjaan modal (Capex) untuk pembangunan infrastruktur.

Berbanding utiliti lain seperti elektrik yang tarifnya kerap disemak, pelarasan tarif air telah lama tidak berlaku yang mana terdapat negeri melebihi 20 tahun seperti negeri Perlis (26 tahun) dan Pahang (39 tahun).

Industri perkhidmatan air di Malaysia telah bertahun-tahun menghadapi masalah isu semakan tarif justeru mengakibatkan tarif rendah yang tidak mencerminkan kos keseluruhan sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air oleh operator.

Berdasarkan data Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) 2020, purata tarif semasa yang dicajkan kepada pengguna adalah RM1.37/m³ di Semenanjung Malaysia dan WP Labuan. Manakala purata kos pembekalan air adalah lebih tinggi iaitu RM1.68/m³.

Secara keseluruhannya, kesan daripada kedudukan kewangan yang lemah, terdapat beberapa operator yang tidak dapat mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan oleh SPAN, seperti mempunyai margin rizab air yang terlalu rendah, kualiti air terawat yang tidak mencapai piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), gangguan bekalan air yang kerap dan sebagainya. Perkara ini seterusnya menjejaskan kualiti air dan tahap perkhidmatan yang ditawarkan oleh operator kepada rakyat.

Kementerian Alam Sekitar dan Air melalui SPAN telah membangunkan Tariff Setting Mechanism (TSM), untuk mewujudkan mekanisme penetapan tarif air yang telus, adil, progresif dan sistematik yang akan digunapakai di seluruh Semenanjung Malaysia dan WP Labuan.

Pelaksanaan TSM dilihat akan meningkatkan  tarif air. Adakah pelarasan tarif air ini berbaloi?

Secara amnya, pelarasan tarif air perlu dilaksanakan bagi membolehkan operator air untuk memperoleh sumber kewangan yang kukuh dan seterusnya melaksanakan pembangunan infrastruktur sistem bekalan air dengan lebih terancang seperti pembinaan sistem bekalan air baharu, penaiktarafan dan pembaikpulihan sistem sedia ada serta penggantian paip. Operator air akan berhadapan dengan cabaran dalam memenuhi permintaan air oleh pengguna yang kian meningkat sekiranya Capex terbantut akibat kekangan kewangan. Lebih buruk lagi ianya turut menjejaskan pembangunan ekonomi negara kerana pembangunan industri air tidak bergerak seiring dengan pembangunan negara.

Dalam pada itu, tarif yang mencukupi perlu untuk menampung keperluan perbelanjaan operasi (Opex) bagi pengoperasian sistem bekalan air. Ini jelas kerana peningkatan harga barangan dan perkhidmatan setiap tahun seperti kos elektrik, bahan kimia dan penyenggaraan turut memberi impak kepada kos rawatan dan agihan air.

Dengan semakan kadar tarif air yang dicadangkan, impak kepada pengguna secara amnya adalah kecil dan tidak membebankan. Dalam hal ini, pengguna adalah dinasihatkan untuk menggunakan air secara berhemat bagi mengurangkan kesan ke atas bil air. Sebagai inisiatif tambahan bagi memastikan pengguna domestik B40 tidak terbeban, terdapat mekanisme dalam memberikan bantuan secara bersasar kepada golongan ini. Pengguna komersial atau industri juga digalakkan untuk menggunakan alat/produk cekap air dan mengitar semula air bagi meminimumkan implikasi pelarasan tarif.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS