Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan McDonald’s Malaysia telah dirasmikan di Dewan Anjung Seri Budiman, UiTM Shah Alam untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui Program Perantis McDonald’s.
Secara keseluruhan, UiTM dan McDonald’s telah berganding bahu dalam tiga program perantis iaitu Management Apprentice Program (MAP), Graduate Employability Program (GEP) dan Internship Program (IP).
Misi program perantis ini adalah untuk menyediakan peluang kerjaya untuk para pelajar daripada pelbagai latar belakang, termasuk pelajar B40 dan individu berkeperluan khas. Selain itu, program ini bukan sahaja akan mengukuhkan kebolehpasaran graduan malah ia akan menyediakan pelajar dengan peluang kerjaya yang cerah.
MoU tersebut telah ditandatangani oleh pihak UiTM yang diwakili Naib Canselornya, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor dan YBhg. Profesor Dr. Mohamad Hariri Hj Abdullah, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN), UiTM manakala pihak McDonald’s Malaysia telah diwakili oleh YBhg. Dato’ Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan dan Encik Hilmy Sulaiman, Pengarah Kanan Undang-Undang dan Francais.
Menurunkan kadar pengangguran siswazah

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB Senator Dato’ Dr Ahmad Masrizal Muhammad, telah merasmikan majlis perjanjian ini.
Menurut YB Senator Dato’ Dr Ahmad Masrizal Muhammad, kolaborasi ini akan menterjemah aspirasi negara dan menjunjung iltizam “Wawasan Kemakmuran Bersama 2030”.
“Apabila mahasiswa disiapsiagakan lebih awal dengan padanan kriteria keperluan bakat oleh industri, saya yakin kadar pengangguran dalam kalangan siswazah akan turun,” kata beliau.
Aktiviti komuniti bersama Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC)

Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor berkata, “Program Perantis McDonald’s dan UiTM adalah selari dengan agenda terkini UiTM bagi memperkukuhkan inisiatif kebolehpasaran graduan. Menerusi pemurniaan kurikulum yang digabung suai bersama dengan kandungan program perantis dari McDonald’s, program ini akan memberi nilai tambah dalam kurikulum UiTM dengan kelebihan input-input relevan berteraskan industri dari McDonald’s.
Tambahan pula, menerusi aktiviti komuniti bersama Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC), ia membolehkan mahasiswa UiTM terlibat dalam Service Learning.
Program “Raikan Senyuman” kerjasama antara UiTM dan RMHC telah melibatkan seramai 20 orang anak yatim yang dibantu oleh 19 orang mahasiswa sukarelawan UiTM.

Untuk menggalakkan kebolehpasaran belia dan graduan, McDonald’s turut menawarkan beberapa program pekerjaan seperti Program Perantisan Vokasional McDonald’s di bawah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), selain MAP, GEP dan IP. Sehingga 2021, McDonald’s Malaysia telah melatih lebih 900 graduan kolej dan universiti di bawah program MAP, GEP dan IP, yang kini sedang bekerja dalam industri hospitaliti.
McDonald’s Malaysia berhasrat memainkan peranannya dengan menyokong dan melancarkan lagi pelaksanaan agenda negara melibatkan pembangunan belia. Tahun ini, McDonald’s terus menumpukan perhatiannya kearah kebolehpasaran belia, dan menyasarkan untuk menyediakan 50,000 peluang pekerjaan baharu menjelang 2026.

“Dengan pertumbuhan perniagaan McDonald’s di negara ini, kami membuka banyak peluang baharu untuk bakat-bakat muda. Kami komited untuk mengembangkan dan membangunkan tenaga kerja kami, memandangkan mereka adalah keutamaan jenama kami,” kata Dato’ Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia.
