Menjelang suku akhir setiap tahun, perhatian ramai memang akan tertumpu ke arah pembentangan belanjawan negara tahun hadapan. Bajet 2023 akan dibentangkan pada 7 Oktober 2022.
Sebagai rakyat, kita lazimnya mengharapkan kerajaan memberi lebih banyak peruntukan untuk digunakan ke arah pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat. Bukan itu sahaja, “goodies” daripada kerajaan juga amat ditunggu-tunggu termasuklah mengharapkan adanya pengurangan cukai. Walau bagaimanapun, masih ramai yang belum benar-benar faham tentang kepentingan cukai kepada negara.
Bayangkan, jika cukai dikurangkan, kurang jugalah dana yang boleh digunakan oleh kerajaan untuk menampung pentadbiran dan pengurusan serta perbelanjaan pembangunan negara. Di Malaysia, separuh pendapatan negara datangnya daripada hasil cukai.
Cukai boleh dikelaskan kepada cukai langsung dan cukai tidak langsung. Cukai langsung ialah cukai yang dikenakan terus ke atas pendapatan dan kekayaan mengikut akta-akta yang diluluskan seperti Akta Cukai Pendapatan 1967. Contoh cukai langsung ialah cukai pendapatan, duti setem dan cukai ke atas keuntungan hartanah. Urusan hal ehwal cukai pendapatan ini ditadbir oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL), sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan Malaysia. Cukai langsung ini menyumbang hampir 40% untuk digunakan sebagai perbelanjaan negara.

Cukai tidak langsung pula ialah cukai yang dikenakan secara tidak langsung ke atas individu dan cukai ini hanya dikenakan apabila seseorang individu membeli atau menggunakan sesuatu barangan atau perkhidmatan. Agensi utama yang mengutip cukai tidak langsung seperti cukai eksais, cukai perkhidmatan dan cukai jualan ialah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) manakala cukai jalan dikutip oleh Jabatan Pengangkutan Jalan.
Kerajaan memperuntukkan cukai yang dikutip ini untuk dibelanjakan bagi tujuan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat; pembangunan fizikal dan infrastruktur seperti jalan raya, hospital dan sekolah; serta pembangunan ekonomi dan sosial seperti perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan kebajikan rakyat.
Bayangkan jika kerajaan mengabaikan tanggungjawabnya mengutamakan kebajikan rakyat dengan menyediakan kemudahan awam seperti membina sekolah dan hospital ataupun klinik kerana kesuntukan wang. Ngerikan?
Secara ringkasnya, cukai itu kunci kepada pentadbiran negara yang berkesan dan kita tidak akan dapat lari daripadanya. Kita juga perlu faham bahawa hasil kutipan cukai yang diperoleh daripada rakyat akan dapat dimanfaatkan dan dinikmati semula oleh seluruh rakyat Malaysia.

Sejak tahun 2014, belanjawan negara terus meningkat. Untuk menampung peningkatan perbelanjaan negara, kerajaan memerlukan dana yang mencukupi.
Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang pesat dari tahun ke tahun seharusnya memberi kesan positif kepada kutipan cukai. Ini bermakna, semakin berkembangnya ekonomi, semakin tinggi jumlah kutipan cukai yang dapat dikutip. Oleh kerana itu jugalah Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan HASiL sentiasa berganding bahu berusaha mencari sumber baru cukai.
Namun demikian, usaha kerajaan dan HASiL sahaja tidak memadai. Ianya perlulah mendapat sokongan daripada rakyat. Jika kita sebagai individu gagal dan mengelak membayar cukai, adalah sukar bagi kerajaan menyediakan kemudahan dan pembangunan yang diperlukan oleh rakyat itu sendiri.
Lebih-lebih lagi, sejak dua tahun lalu, perbelanjaan kerajaan telah naik mendadak untuk membantu rakyat menghadapi kesan dan cabaran COVID-19. Program-program seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kepada golongan B40 dan M40, Geran Khas Prihatin (GKP) kepada peniaga, pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) diwujudkan semata-mata untuk memastikan nasib rakyat terbela dan aktiviti ekonomi terus berkembang.

Selain pemberian bantuan kepada rakyat, perbelanjaan untuk menangani wabak COVID-19 seperti pembelian peralatan, bekalan perubatan, kelengkapan perlindungan diri (PPE) serta vaksinasi juga hasil daripada cukai yang dibayar oleh pembayar cukai. Semuanya ini adalah demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Dengan perbelanjaan yang berkesan, Malaysia telah beralih dari fasa pandemik ke endemik pada April 2022.
Selain itu, program bantuan rakyat sedia ada, seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang disalurkan kepada golongan B40, dan program Jaringan PRIHATIN yang bertujuan mengurangkan beban kewangan golongan B40 untuk mendapatkan kemudahan internet turut menggunakan hasil kutipan cukai.
Dari segi kadar cukai individu, kadar 30% di Malaysia itu rendah berbanding negara-negara ASEAN lain seperti Vietnam, Indonesia dan Thailand yang mempunyai kadar cukai 35%. Kadar cukai negara-negara maju di Eropah rata-rata melebihi 40%.
Di Malaysia, individu layak mendaftar fail cukai jika pendapatan bersih tahunannya melebihi RM37,333 (selepas potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KWSP). Walau bagaimanapun, individu ini tidak semestinya dicukai kerana kita boleh menuntut lebih daripada 22 jenis pelepasan cukai yang layak seperti pelepasan diri, isteri, anak dan lain-lain. Jadi, manfaatkan pelepasan cukai sepenuhnya untuk mengurangkan jumlah cukai pendapatan yang sepatutnya dikenakan dan memaksimumkan bayaran balik cukai anda.
Hasil negara tidak mencukupi untuk membiayai belanjawan negara, apatah lagi jika rakyat gagal membayar cukai yang sepatutnya. Oleh itu, kerajaan terpaksa meminjam untuk membiayai defisit belanjawan ini. Hutang kerajaan persekutuan sehingga akhir Jun 2022 berjumlah RM1.045 trilion, atau 63.8% daripada KDNK.
Jika individu patuh membayar cukai, kita dapat mengelakkan negara menjadi muflis akibat daripada bebanan hutang daripada bank dunia atau kerajaan negara lain. Pembayar cukai individu khususnya perlu ada rasa tanggungjawab dan menekankan konsep menyumbang dalam diri masing-masing iaitu apa diberi akan mendapat manfaat dan dinikmati semula di masa depan. Justeru, bukan semata-mata memenuhi tuntutan undang-undang cukai, sebaliknya menanamkan kesedaran dan bekerjasama dengan kerajaan untuk membangunkan negara demi kesejahteraan kehidupan bersama.
Ayuh sama-sama kita berkongsi rezeki. Cukai yang dihulurkan akan memberi manfaat bukan sahaja kepada kita sebagai pembayar cukai malah kepada seluruh rakyat, Keluarga Malaysia.
