Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
Bajet 2023 Penting Untuk Pemulihan Pasaran Buruh Secara Berterusan
Diterbitkan:  Nov 4, 2022 1:57 PM
Dikemaskini: 5:57 AM

Peningkatan kos sara hidup yang berterusan kebelakangan ini telah mengekang pendapatan boleh guna isi rumah. Memandangkan dua pertiga daripada pendapatan isi rumah adalah dalam bentuk gaji bulanan, lonjakan kos sara hidup sudah pasti akan memperlahankan perbelanjaan penggunaan dan membantut permintaan,” kata Prof. Madya Dr. Mohd Yusof Saari, Ketua Pakar Ekonomi di Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA).

Indeks Harga Pengguna (CPI) untuk makanan dan minuman bukan alkohol telah meningkat secara mendadak sebanyak lebih 4% sejak Mac 2022 berbanding kadar biasa sebelum ini. Walaupun kadar pengangguran telah menurun daripada 4.2% pada Januari kepada 3.7% pada Julai, iaitu yang terendah sejak Februari 2020, namun kadar tersebut masih lebih tinggi daripada paras sebelum krisis (3.3% pada 2019). Oleh yang demikian, kenaikan harga makanan dan minuman sudah pasti akan memberi kesan kepada pendapatan isi rumah terutamanya bagi golongan B40 dan M40 rendah.

Inisiatif Bajet 2022 yang dibentangkan pada September 2022 lalu tidak menjangkakan peningkatan kos sara hidup yang dipercepatkan oleh konflik Ukraine-Rusia, gangguan rantaian bekalan global akibat dasar sifar COVID-19 di China, inflasi global serta pengetatan dasar monetari Rizab Persekutuan Amerika Syarikat. Demi mengimbangi kesan ketidaktentuan ini, kerajaan terpaksa meningkatkan jumlah subsidi daripada RM31 bilion kepada RM77.3 bilion.

Kerajaan telah membentangkan Bajet 2023 dengan salah satu matlamat penting untuk menambah baik lagi keadaan pasaran buruh. Agenda ini membangkitkan persoalan sama ada Bajet 2023 ini merupakan bajet pilihan raya, dan adakah bajet ini memenuhi keperluan ekonomi negara dan rakyat.

“Tinjauan Pasaran Buruh 2023 – Meneliti momentum pemulihan pasca-pandemik susulan peningkatan daya tahan dan reformasi”, yang diterbitkan oleh Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) baru-baru ini bertujuan menilai kepentingan Bajet 2023 terhadap pasaran buruh. Hasil penemuannya mendapati, dasar dan inisiatif yang terkandung dalam Bajet 2023 harus diteruskan (dan ditambah baik apabila perlu). Terdapat dua aspek penting dalam Bajet 2023 bagi memantapkan pasaran buruh Malaysia.

Pertama sekali, Bajet 2023 memperuntukkan sekurang-kurangnya RM99.7 bilion yang merangkumi penyelesaian hujung ke hujung bagi ekosistem pasaran buruh. Ini termasuk pembekalan buruh, pasaran pekerjaan dan permintaan buruh (lihat Rajah 1). Bajet tersebut dapat meningkatkan bekalan buruh dengan memperkasakan kumpulan fokus B40, M40, wanita dan belia, dengan peruntukan sebanyak RM18.6 bilion. Di samping itu, komponen permintaan buruh akan tertumpu kepada kewujudan peluang pekerjaan kepada Rakyat secara langsung dan tidak langsung dengan peruntukan sebanyak RM80.9 bilion. Akhir sekali, langkah pengukuhan pasaran pekerjaan melalui insentif mencari pekerjaan dan pemadanan untuk meningkatkan peluang pekerjaan yang dijangka menelan belanja sebanyak RM208 juta.

Rajah 1. Bajet 2023 untuk ekosistem pasaran buruh

Sumber: Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA)

Berkenaan dengan penyelesaian hujung ke hujung bagi ekosistem pasaran buruh, Bajet 2023 menangani dua aspek utama berikut:

Langkah penting untuk meningkatkan hasil bekalan buruh.

Pendekatan pelbagai dimensi seperti memberi insentif kepada orang ramai untuk bekerja dan menyelaraskan semula kemahiran dan kecekapan tenaga kerja untuk memenuhi permintaan industri adalah kunci utama untuk menyokong pengeluaran ekonomi. Pengangguran belia, kebolehpasaran siswazah, perlindungan pekerja dan pembangunan bakat adalah antara fokus utama Bajet 2023. Golongan sasaran tersebut diseru untuk memanfaatkan teknologi tinggi dengan menggiatkan pertumbuhan berasaskan digital. Usaha ini akan mengukuhkan lagi tenaga kerja berkemahiran tinggi di samping peningkatan taraf hidup.

Meningkatkan permintaan buruh untuk pertumbuhan yang lebih tinggi dengan mewujudkan pekerjaan "sebenar". 

Bajet 2023 menggariskan hala tuju yang jelas untuk merancakkan lagi ekonomi dengan merangsang pelaburan berkualiti tinggi dalam sektor strategik, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan memberi insentif kepada pendigitalan dan automasi. Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) digalakkan untuk menerokai rantaian nilai secara mendalam dengan menghasilkan produk dan perkhidmatan berkualiti dan  berinovasi tinggi. Langkah-langkah tersebut penting untuk mewujudkan pekerjaan "sebenar" untuk rakyat Malaysia.

Mengoptimumkan penciptaan pekerjaan melalui pengambilan pekerja secara inklusif dan menggunakan mekanisme pemadanan pekerjaan yang lebih baik.

Akibat pandemic Covid-19, sektor ekonomi negara mengalami kekurangan tenaga kerja. Langkah inklusif yang boleh dilaksanakan termasuk mengisi kekosongan dengan bakat tempatan. Insentif pengambilan pekerja di bawah PERKESO mampu menggalakkan majikan menyediakan peluang pekerjaan kepada orang kurang upaya, orang asli, bekas banduan dan wanita. Menambah baik mekanisme pemadanan pekerjaan adalah penting untuk mengurangkan halangan mencari kerja. Bajet 2023 turut mencadangkan penubuhan Pusat Satelit MYFutureJobs di seluruh negara dan Pusat Penempatan Nasional untuk membantu pencarian pekerjaan.

Kedua, dasar dan inisiatif Bajet 2023 yang menyokong pasaran buruh dan sejajar dengan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). Hasil kajian menunjukkan bahawa Bajet 2023 merangkumi aspek penting dari segi strategi pemerkasaan pasaran buruh, yang sejajar dengan RMKe-12 (lihat Rajah 2). Sebagai contoh, dana pembiayaan melalui peruntukan RM235 juta mampu menggalakkan lebih ramai wanita untuk berusaha meningkatkan lagi kapasiti perniagaan dan menambah baik strategi pemasaran mereka di bawah: Skim Semarak-Nita BSN, Tekunita TEKUN, DanaNita MARA dan Biz Lady Bank Rakyat. Semua inisiatif tersebut dijangka dapat meningkatkan penyertaan buruh wanita dan menyokong secara langsung hala tuju dasar Bab 10 dalam RMKe-12 berkenaan Pembangunan Bakat Masa Hadapan.

Rajah 2. Perbandingan ramalan antara inisiatif menggiatkan pasaran buruh di bawah Belanjawan 2023 dan Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025

Sumber: Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA)

Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS