Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
Bank Islam Menyokong Kelangsungan Hidup OKU di Sabah
Diterbitkan:  Nov 15, 2022 12:15 PM
Dikemaskini: Feb 27, 2023 8:29 AM

Pada akhir 2021, hujan lebat yang berterusan telah mengakibatkan banjir di beberapa kawasan utama di Sabah. Pusat (AMAL) Latihan dan Amali Orang Kelainan Upaya (OKU) Sabah, yang menjadi salah satu saluran penting dalam mendidik golongan OKU agar lebih berdikari serta mampu menjana pendapatan sendiri, juga terjejas teruk berikutan bencana yang melanda. 

Pusat berkenaan merupakan sebuah institusi yang melatih individu kelainan upaya mempelajari kemahiran baharu seperti ilmu pertukangan, pembuatan perabot dan kemahiran vokasional lain bagi menambah pendapatan hidup mereka. 

Keadaan bertambah buruk apabila Tuaran sekali lagi mengalami banjir dengan kejadian tanah runtuh di beberapa kawasan pada April lalu. Ekoran cabaran yang dihadapi termasuk kerosakan infrastrukur dan peralatan, pusat latihan vokasional yang terletak 20 minit perjalanan dari bandar Tuaran, ini terpaksa menghentikan operasinya. Langkah tersebut memberi kesan kepada 22 pelatih OKU fizikal dan mental berusia antara 20 sehingga 40-an di pusat itu.  

Prihatin dengan cabaran yang dialami, Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menjalin kerjasama dengan Yayasan Sabah College of Technology (YSCT) untuk menyediakan bantuan yang diperlukan Pusat (AMAL) Latihan dan Amali OKU Sabah demi manfaat dan kelangsungan hidup pelatih terlibat. Bank Islam telah menyumbang dana berjumlah RM35,000 bagi kos baik pulih, pembelian peralatan pertukangan baharu dan pendawaian semula elektrikal yang disempurnakan oleh 20 pensyarah dan penuntut YSCT secara sukarela.  Usaha ini secara tidak langsung turut membuka peluang bagi para pelajar terlibat untuk mengaplikasikan kemahiran dan ilmu yang dipelajari mereka di lapangan. 

“Inisiatif ini bukan sahaja membolehkan Bank Islam terus mendekati dan memberi manfaat kepada masyarakat, tetapi juga memberi peluang kesamaan dan pekerjaan kepada individu kelainan upaya. Kami melihat kemudahan dan latihan yang disediakan oleh Pusat (AMAL) Latihan dan Amali OKU Sabah mampu memberikan manfaat jangka panjang kepada pelatih-pelatih terlibat dan usaha seperti ini merupakan sebahagian daripada aspirasi kemampanan ESG Bank Islam kepada mereka terlibat,” kata Nona Baria Saruddin, Pengarah Pengguna Negeri, Wilayah Timur (Sabah) Bank Islam.

Beliau menambah, “Pada masa yang sama, kami juga berbesar hati atas kesudian YSCT untuk bekerjasama dalam inisiatif yang turut membolehkan pelajar di kolej tersebut mempraktikkan pengetahuan mereka di dunia sebenar. Semoga usaha ini memberikan kelebihan apabila mereka melangkah ke dunia pekerjaan kelak.” 

“Pusat latihan ini adalah pusat pertama di Malaysia yang mengumpulkan 7 kategori OKU pendengaran, penglihatan, pertuturan, mental, fizikal, pelbagai dan juga masalah pembelajaran yang membimbing mereka untuk menjana pendapatan sendiri demi menampung kehidupan mereka. Setiap pelatih yang mempunyai kekurangan dari segi fizikal akan membantu pelatih yang mempunyai kekurangan dari segi mental. Sokongan seperti ini yang membuatkan pusat latihan kami unik kerana usaha yang saling melengkapi kekurangan sesama sendiri,” kata Haji Azman Saidin, Pengerusi Pusat (AMAL) Latihan dan Amali OKU Sabah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YSCT, YBhg. Tuan Haji Samin Ongki menjelaskan kerjasama antara Bank Islam dan YSCT bermula apabila Puan Nona Baria berkunjung ke YSCT dan bertemu beliau yang ketika itu baru melaporkan diri sebagai Ketua Eksekutif kolej berkenaan pada 1 Ogos lalu. 

Samin mengakui bahawa Bank Islam merupakan bank yang terawal bertemu dengannya untuk berbincang mengenai pelbagai urusan termasuk dalam meneroka potensi kerjasama untuk membantu Pusat (AMAL) Latihan dan Amali OKU Sabah.

Dengan objektif untuk memberi penekanan kepada kemajuan pendidikan berkualiti dan kebolehpasaran tinggi graduannya, YSCT telah bersetuju dan menawarkan sokongan tenaga kerja para pensyarah dan pelajarnya untuk menjayakan usaha tersebut.

“Kami amat berbesar hati kerana diberi peluang untuk menyumbang bakti kepada masyarakat. Matlamat YSCT adalah bukan hanya untuk melahirkan insan yang berpendidikan, malah membentuk individu yang bersedia berkhidmat dan berkongsi ilmu serta pengalaman kepada masyarakat, khasnya kepada golongan yang memerlukan. Kolej ini memandang inisiatif bersama AMAL Bank Islam sebagai satu medan latihan yang baik untuk pensyarah dan pelajar kami,” tambah beliau.

Tonton video yang dibawakan khas oleh Bank Islam melalui cabang tanggungjawab korporatnya, AMAL Bank Islam: “Bank Islam sokong kebajikan golongan OKU di Sabah” DI SINI.

Kandungan ini disediakan oleh Bank Islam.


Sebarang pertanyaan kerjasama untuk sebarang kandungan media, sila hubungi kami melalui talian +60162716516 (Aisha) atau +60176190307 (Syahirah).



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS