Pembangunan secara terancang dan terurus yang bersesuaian dengan aspirasi komuniti tempatan adalah antara agenda penting yang menjadi tumpuan di Kepala Batas, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang selama ini.
Perancangan jangka panjang
Perancangan fokus jangka panjang yang dilaksanakan di sini menekankan pembangunan holistik dan seimbang antara luar bandar dan bandar demi memastikan kedua-dua kawasan tersebut menerima nikmat pembangunan yang sama rata.
“Komitmen pembangunan sebegini akan terus dijalankan pada masa akan datang,” kata penyandang kerusi parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican, ketika melancarkan ‘Ikrar Aku Janji Demi Kepala Batas’ di Bangunan UMNO Kepala Batas.
“Track record (rekod pemerintahan) Barisan Nasional di Kepala Batas telah terbukti membawa limpahan ekonomi serta kemakmuran kepada penduduk tempatan dari segi infrastruktur, pendidikan, pelancongan, perusahaan makanan dan sebagainya,” kata beliau dengan memberi penekanan terhadap usaha memperkasa usahawan tempatan terutamanya dalam kalangan anak muda.
Perancangan berasaskan keperluan dan kehendak rakyat
“Segala perancangan bukan sekadar retorik kerana ia adalah berdasarkan keperluan dan kehendak rakyat,” tambah beliau yang berikrar membawa pembangunan berterusan untuk merancakkan ekonomi setempat di samping meningkatkan pendapatan penduduk tempatan.
Satu lagi usaha penting untuk membangunkan ekonomi tempatan adalah pembukaan taman tema air tidak lama lagi. Produk pelancongan yang bertaraf dunia ini dijangka dapat mempergiatkan lagi industri pelancongan di Kepala Batas.
Kerancakan aktiviti komersial
Kewujudan bank-bank utama termasuk Maybank, CIMB Bank, Affin Bank, Bank Rakyat, Bank Islam, Public Bank dan Hong Leong Bank di Kepala Batas jelas menunjukkan kerancakan aktiviti komersial bagi komuniti peniaga dan penduduk tempatan di bandar ini.

Komuniti peniaga yang semakin meningkat termasuk penjaja tepi jalan berlesen adalah antara nadi komersial yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi di Kepala Batas. Salah seorang daripada mereka ialah Muhammad Bakri, 39, penjual ikan.
“Sebelum ini saya bekerja dalam industri penghotelan di Juru. Selepas perkhidmatan saya diberhentikan semasa pandemik Covid-19, saya terpaksa mencari jalan meneruskan kehidupan dan saya mula dengan berniaga,” kata Bakri yang berhijrah dari Kedah.
Sebagai seorang peniaga, harapan Bakri adalah polisi yang memudahkan golongan peniaga semasa berurusan dengan pihak kerajaan seperti permohonan lesen berniaga. Beliau turut menekankan keperluan menyediakan pinjaman khas untuk peniaga mikro dan menyeru kerajaan mengambil inisiatif menangani isu kenaikan harga barang yang membebankan rakyat.

Bagi Mak Wan Bie yang menjaja murtabak di Kepala Batas, persekitaran berniaga yang disokong oleh komuniti institusi pendidikan dan penjawat awam memainkan peranan yang penting dalam pembangunan ekonomi setempat.
“Sini banyak orang yang kerja. Petang-petang golongan pekerja ini akan datang membeli dan sebagainya. Gerai-gerai seperti kami menjadi tumpuan cikgu, pelajar, pekerja pejabat dan juga mereka yang lalu pekan ini,” kata beliau.
Bagi golongan peniaga yang serba kekurangan seperti Mak Wan Bie, bantuan dari segi modal pusingan yang boleh digunakan untuk menaiktaraf gerai makanannya termasuk pembelian mesin serta sewa yang berpatutan adalah antara yang inisiatif yang dapat memanfaatkan komuniti peniaga berskala kecil.
Pemimpin yang disenangi rakyat
“Saya mengharapkan seorang pemimpin yang jaga rakyat, bantu rakyat dan disenangi rakyat,” kata beliau sambil menekankan kepentingan peluang pendidikan untuk anak-anak tempatan.
Soal pendidikan adalah salah satu agenda penting yang dipertahankan oleh Reezal Merican.
“Pertambahan sekolah serta pelbagai institusi pendidikan yang lain daripada 12 ke 46 jelas menunjukkan pendekatan pembangunan seimbang yang dilaksanakan di Kepala Batas,” kata anak jati Pulau Pinang yang mendapat mandat rakyat selama dua penggal sebagai ahli parlimen Kepala Batas semenjak tahun 2013.
Kepala Batas yang dikenali sebagai ‘kota ilmu’ ini turut mendapat limpahan pembangunan perumahan untuk golongan B40, susulan pengumuman Program Perumahan Rakyat (PPR) oleh Perdana Menteri Dato' Sri Ismail Sabri baru-baru ini.
Inisiatif pembangunan sosioekonomi yang lain
Projek perumahan mampu milik PPR dengan peruntukan sebanyak RM170 juta ini akan dibina di atas tanah seluas 20 ekar di Pongsu Seribu, Kepala Batas. Ia meliputi 700 unit rumah termasuk 7 unit untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Bagi anak-anak muda, Kepala Batas Youth Centre (KBYC) yang bernilai RM45 juta dengan kelengkapan bertaraf dunia akan memanfaatkan dibina di atas tapak seluas 25 ekar di Paya Keladi, Kepala Batas.
Reezal Merican juga berikrar mengkhaskan 30 peratus daripada peruntukan parlimen beliau untuk pembangunan wanita Kepala Batas, sekiranya beliau mendapat mandat rakyat.
Kerusi parlimen P041 Kepala Batas
Kawasan parlimen Kepala Batas yang terdiri daripada Penaga, Bertam dan Pinang Tunggal akan dipertahankan oleh penyandang kerusi tersebut, iaitu Datuk Seri Reezal Merican daripada Barisan Nasional yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 19 November 2022 ini.
Ikrar Aku Janji Demi Kepala Batas
Layari www.demikepalabatas.com untuk maklumat lanjut tentang ikrar tersebut.
